Masuk tahun ini, sudah sepuluh tahun Sharifah Aminah Syed Mohssain bergelar ibu kepada lima orang anak. Secara luaran, tiada apa yang membezakan wanita berusia 39 tahun ini dengan ibu-ibu lain yang mempunyai anak kecil dan dalam masa sama sibuk dengan kerjaya masing-masing. Naluri keibuan yang terpancar pada wajah Sharifah Aminah menutupi segala kekurangan diri.
Realitinya, lima anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang itu bukan berasal dari darah daging Sharifah Aminah. Sebaliknya, mereka adalah anak angkat yang telah dijaga dengan sempurna oleh Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Bandar Tun Razak itu sejak kecil lagi.
Dialah ibu dan dia jugalah bapa kepada lima anak bertuah Muhammad Mukhlis Daniel, 10 tahun; Muhammad Mohssain Danish, 9 tahun; Mysarah Aqeelah Wafaa dan kembarnya, Muhammad Aqeel Wafiyy, 8 tahun; dan Muhammad Aqmal Wafeeq, 3 tahun. Bayangkan tanpa bantuan insan bergelar suami dan menguruskan segala keperluan seorang diri Sharifah Aminah teguh mendepani hari mendatang.
Baginya, itu adalah kepuasan yang dicari selama ini. Berkongsi kasih bersama anak kecil yang memerlukan. Sungguh mulia!
Namun, tanggal 25 Disember tahun lalu… tugas yang digalas Sharifah Aminah selama ini dikongsi bersama lelaki bergelar suami. Selamat mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan keluarga, Muhamad Anizan Kadir… wanita berjiwa penyayang ini mengakui hidupnya lebih sempurna sekarang.
“Niat untuk ambil anak angkat ini bermula secara kebetulan waktu hari jadi saya yang ke-29. Masa tu tahun 2008 apabila seorang sahabat baik datang ke rumah saya dan membawa bayi lelaki yang baru berusia 53 hari.
Memandangkan dia belum berkahwin dan tak ada rumah yang sesuai, saya bersetuju membiarkan bayi tersebut tinggal di rumah sementara menunggu dia cari rumah. Diam tak diam, enam tahun juga saya jaga bayi tersebut dan kemudian baru kawan jaga sepenuhnya.
Bila sudah selalu bersama dan tiba-tiba terpaksa berpisah, memang saya rasa sedih. Kalau dulu, setiap hari dia ada bersama tapi selepas kawan turut jaga anak pertama saya, Mukhlis, kami bergilir-gilir jaga. Sebab sedih tak dapat selalu jumpa, adik perempuan saya pergi carikan anak angkat yang baru pula untuk saya secara sah. Dari situlah, saya mula ambil anak angkat kedua dan seterusnya.
Masa anak ketiga sebenarnya majikan saya yang mahu mengambil anak angkat sebab dia belum dapat anak lagi. Tapi bila bayi sudah lahir, lain pula jadinya dan dia beritahu belum bersedia lagi. Tak mahu hampakan keluarga bayi tersebut, saya yang ambil dan jaga anak kembar mereka.
Ingatkan sampai situ saja, tapi rupanya ada lagi anak kelima yang kawan saya bawa seorang wanita sarat mengandung ke rumah pukul 2 pagi. Seminggu kemudian dia bersalin dan sama seperti kes sebelum ini, pasangan yang mahu ambil anak angkat mungkir janji. Jadi, saya ambil juga anak ini dan ibunya sekali untuk tinggal bersama.
Ambil anak angkat ini bukan mudah sebab banyak proses yang perlu dilakukan. Kita kena berurusan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memaklumkan kita telah mengambil anak angkat, berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara dan menandatangani beberapa dokumen oleh ibu bayi terbabit sebelum diserahkan kepada kita. Selepas 2 tahun menjaga anak, baru secara rasminya proses pengambilan anak angkat berlaku.”
Membahasakan diri dengan gelaran Umi di hadapan anak-anak, Sharifah Aminah juga tidak terlepas daripada persepsi negatif masyarakat yang menganggap usaha murninya itu adalah semata-mata untuk melindungi status diri. Meskipun terkadang timbul sekelumit rasa benci dengan tohmahan khalayak, wanita cekal ini membulatkan hati untuk terus memperjuangkan nasib lima anaknya.
“Tak dinafikan saya terima banyak sangat feedback orang ramai. Ada yang menyokong dan tidak kurang juga yang mengata serta menjaja cerita. Kononnya saya yang melahirkan anak ini dan terpaksa menyorokkan mereka kerana saya sudah berkahwin dan menjadi isteri kedua.
Saya tak mahu ambil peduli dengan cakap-cakap orang luar. Cukuplah ahli keluarga sokong dan menerima anak saya seperti darah daging sendiri. Alhamdulillah, semua anak saya disusukan adik perempuan saya. Jadi kepada wanita yang ada keinginan mengambil anak angkat; jaga, sayangi dan lindungilah mereka macam anak sendiri.
Jangan sesekali abaikan kerana mereka adalah amanah Allah untuk kita walaupun realitinya kita bukan insan yang melahirkan mereka ke dunia. Paling penting, ambil anak ini dengan prosedur yang betul dan sah di sisi undang-undang supaya nasib mereka terbela kelak,” pesannya.
This website uses cookies.