Berjiwa emas dan prihatin terhadap nasib rakyat tatkala dilanda krisis COVID-19, hasrat murni puteri sulung Yang di-Pertuan Agong, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan, yang dilantik sebagai Penaung Antarabangsa untuk Hari Kesihatan Mental Sedunia 2020 mencuri tumpuan.
Dalam satu hantaran Istana Negara pada 10 Oktober lalu, momen manis Tengku Puteri Iman Afzan yang mengenakan lencana reben hijau pada pakaian ayahanda dan bondanya membawa makna besar terhadap penghidap masalah mental.
Reben hijau ialah simbol kesihatan mental antarabangsa, selain sebagai tanda sokongan bagi kesedaran dan penyebab kesihatan mental serta membantu membina solidariti untuk komuniti itu.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta anakanda, Tengku Puteri Iman Afzan, berkenan mengenakan reben hijau bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2020 yang jatuh pada 10 Oktober setiap tahun.
Tengku Puteri Iman Afzan dalam pesannya meminta rakyat dan pemerintah di seluruh dunia untuk bersatu dalam usaha menegakkan hak mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental kerana itu adalah tanggungjawab bersama.
Pandemik COVID-19 cukup mencabar kehidupan rakyat di seluruh dunia. Banyak perubahan besar dan ketidakpastian yang memberi impak kepada kesihatan mental kita.
“With mental health now at the forefront, the pandemic has increased the pressure to address both pre-existing and newer issues. There has also been no shortage of coverage on staying mentally healthy – why it is important, how it can be done, and how we can support one another.”
Sebagai seorang isteri dan ibu, sikap Tengku Puteri Iman Afzan, 28 tahun, yang begitu menyanjungi tradisi adat Melayu sememangnya disenangi rakyat. Isteri kepada YM Tengku Abu Bakar Ahmad Bin Tengku Arif Bendahara Tengku Abdullah ini juga terlihat cukup penyayang dan aktif membantu golongan kanak-kanak serta remaja kurang berkemampuan.
Selain menjadi Penaung Antarabangsa untuk Hari Kesihatan Mental Dunia 2020, Tengku Puteri Iman Afzan turut menjadi Penaung Yayasan JKeb Malaysia (YJM), iaitu sebuah yayasan yang membantu menyediakan alternatif kepada anak dari institusi JKM yang sudah tamat tempoh perintah mahkamah, namun tiada atau dipinggirkan waris, selain tidak ada hala tuju dan tempat perlindungan.
This website uses cookies.