Semua orang tahu bahawa kecantikan itu satu nilai yang tinggi. Jika mahu memilih perhiasan rumah pasti akan dicari yang cantik. Pakaian juga begitu, nilainya pada kecantikan. Makin cantik, makin tinggi harganya. Kecantikan sebenar seorang wanita terserlah melalui jiwa sehingga membentuk keperibadian seorang Muslimah sejati.
Wanita yang memiliki kecantikan sebenar sentiasa berfikiran positif, yakin diri, sentiasa bersangka baik, tidak sombong, pemaaf, berlapang dada, positif menerima teguran, ringan tulang, ceria dan penyabar. Ustazah Sharifah Khasif Fadzilah Mohd Badiuzzaman atau lebih dikenali sebagai Ustazah Sharifah Khasif berkongsi 10 ciri-ciri kecantikan sebenar bagi seorang wanita di mata Allah SWT. Paling penting ialah cantik di mata Dia, bukan pada manusia.
Hakikatnya, kebanyakan kaum Adam mengimpikan pasangan yang cantik. Begitu juga wanita yang ingin memiliki pasangan yang tampan atau sedap mata memandang.
Tetapi benarkah cantik itu yang akan dinilai apabila bergelanggang di pentas rumah tangga? Dalam bab memilih pasangan, cantik memang dianggap sebagai nilai utama. Bahkan terdapat amalan dalam sesetengah masyarakat, semakin cantik si gadis maka semakin tinggi harga mahar dan hantarannya.
Percayalah, biarpun seorang suami inginkan pasangan yang cantik tetapi hakikatnya dia lebih perlukan yang matang sebagai teman. Maka asasnya, bukan isu utama anda itu cantik atau sebaliknya. Paling utama ialah pembentukan diri dan sikap anda dalam menuju alam rumahtangga.
Maka, siapakah wanita itu?
Berusahalah untuk menjadi wanita yang sentiasa menyenangi dan disenangi teman-teman, bertolak ansur, pandai mengurus diri dan rumah dengan baik. Belajar dan terus belajar. Jangan selesa dengan kecantikan dan paras rupa sehingga anda menjadi seorang yang rugi untuk tidak belajar dan terus ego untuk berubah.
Buang sifat negatif dan berusaha membentuk kematangan diri. Ingat, anda akan beralih kepada sebuah kehidupan yang sangat praktikal, bukan teori yang mengasyikkan lagi. Seorang wanita biasa akan terlihat lebih cantik di mata Allah SWT. Dan, seorang wanita cantik akan terlihat jauh lebih cantik di mata Allah SWT. Wallahualam.
This website uses cookies.