Jovian Mandagie Derma HYGIENE KIT Untuk Masyarakat

Berbuat baik itu laksana wangian yang tidak hanya mendatangkan manfaat bagi pemakainya tetapi juga orang-orang yang berada di sekitarnya.

Dan manfaatnya dari segi psikologi, pemberian itu terasa seperti ubat-ubat mujarab yang dapat diperoleh di dalam hati orang-orang yang berhati baik dan bersih.

Alhamdulillah, semakin banyak pihak dan individu tampil untuk memberi pelbagai bantuan dalam langkah negara kita berusaha menghapuskan wabak COVID-19 ini. Semoga sokongan semua pihak ini dapat membantu mereka yang sangat memerlukan.

Percayalah apabila kita sering membuat kebajikan, nescaya ia akan melahirkan rasa gembira, senang dan bahagia pada diri sendiri… InsyaAllah.

Pereka fesyen terkenal Dato’ Jovian Mandagie turut sama prihatin dengan keadaan ini. Beliau mengambil inisiatif untuk memberikan sumbangan ‘hygiene kit’ kepada mereka yang sangat memerlukan.

Bagaimana bermulanya detik untuk membantu mereka yang memerlukan barangan hygiene ini?

Idea ini timbul apabila saya sendiri dapat merasakan impak terhadap perniagaan selama tempoh PKP ini. Maka saya mula terkenang nasib orang lain yang mungkin lebih susah daripada saya. Lantas timbul rasa ingin membantu dan saya terfikir untuk menyalurkan bantuan dengan mendermakan ‘Hygiene Kit’ yang saya kira amat penting dan diperlukan buat masa ini.

Selain itu, saya turut bekerjasama dengan pihak MERCY MALAYSIA untuk mengutip sumbangan ikhlas bagi membantu mereka yang memerlukan, terutama mereka yang kehilangan punca pendapatan semenjak PKP dilaksanakan.

Kesukaran untuk mendapatkan barang tersebut…

Bagi sumbangan ‘hygiene kit’ yang saya ingin dermakan ini, memang bukan mudah untuk dapatkan bekalan kerana kekangan bahan dan kawalan ketat pihak kerajaan yang membuatkan pergerakan kita sangat terbatas. Tetapi alhamdulillah, Tuhan permudahkan niat saya dan semuanya berjalan lancar dengan bantuan ‘supplier’ yang banyak membantu. Terima kasih.

Dalam keadaan sekarang, sumbangan sebegini amat diperlukan… Tapi ke mana semuanya dihantar?

Memang terlalu ramai yang menghantar DM kepada saya di Instagram untuk meminta bantuan tetapi saya terpaksa dahulukan mana yang paling penting dan benar-benar memerlukan, ini termasuklah golongan warga emas yang masih terpaksa keluar bekerja atau para frontliners yang turut menghadapi masalah bekalan sanitizer, topeng muka dan sarung tangan yang terhad dan tidak mencukupi.

Dalam satu hari berapa jumlah yang telah diedarkan?

Keseluruhannya dengan bantuan yang kami dapat, termasuklah dengan sokongan dan kerjasama daripada pihak Mercy Malaysia, insyaAllah ratusan rumah tangga akan dapat bantuan ini. Walaupun tidak banyak mana tetapi kami berharap sumbangan yang tidak seberapa ini, dapat membantu sedikit sebanyak perjalanan kehidupan seharian mereka.

Perkongsian perasaan Dato’ Jovian Mandagie bila dapat menyumbang kepada mereka yang memerlukan…

Saya berasa bersyukur kerana dapat menyumbangkan setakat apa yang termampu. Di dalam rezeki yang kita dapat, tetap ada rezeki dan bahagian orang lain. Jadi saya cuba untuk berkongsi mana yang mampu. It’s always a good feeling when you know you have helped another human being, regardless how small the help is.

Niat itu penting, semoga Allah memberkati segala usaha saya dan semua yang terlibat dalam usaha menjayakan misi bantuan yang tidak seberapa ini, insyaAllah. Kepada mereka yang mempunyai rezeki yang lebih dan ingin berkongsi dengan mereka yang memerlukan. Bolehlah sertai kami dengan menyalurkan bantuan di link ini: launchgood.com/JOVIANxMERCY

Sedikit kata-kata semangat untuk wira frontliners kita dan kepada seluruh rakyat Malaysia supaya duduk  di rumah dan stay safe

Mereka adalah hero kita. Tugas kita amat mudah, hanya perlu mematuhi arahan kerajaan untuk duduk di rumah sahaja supaya tugas-tugas frontliners juga lebih mudah dan terkawal. Belajarlah untuk bersyukur, bayangkanlah kalau kita berada di tempat mereka ketika ini, belum tentu kita sanggup. Jadi duduklah di rumah, habiskan waktu bersama keluarga dengan mencari aktiviti menarik yang boleh dilakukan bersama-sama.

Kepada para frontliners yang amat kami hormati dan sanjung tinggi… Please don’t give up because if you do, everything will fall apart. You are the inspiration for our future generation to look up to. Terima kasih di atas segala pengorbanan dari segi masa dan tenaga yang tak henti-henti siang dan malam. Kami hanya mampu mendoakan semoga Tuhan akan memberikan ganjaran yang setimpal untuk semua para frontliners, insyaAllah.

 

Share
Published by
KR