Tidak dinafikan untuk menjadi usahawan berjaya bukan saja perlu kreatif dan berani. Tetapi juga mesti pantas mencari peluang. Sedar Pilihan Raya Umum (PRU) 15 bakal berlangsung pada 19 November nanti, Nur Hazwani Abdul Zainal mengambil peristiwa itu untuk menghasilkan rekaan terbaharu koleksi tudung keluarannya.
Yang pasti, bahang PRU 15 nyata membuka pintu rezeki buat pengusaha tudung terkenal ini apabila rekaan tudung bermotifkan logo parti politik mendapat sambutan hangat di pasaran.
Pengasas bersama tudung bawal Kekaboo, Nur Hazwani Abdul Zainal berkata 11,000 helai tudung jenamanya dijual dalam tempoh kurang 20 minit!
Ini selepas rekaan eksklusif berkenaan dimuat naik di laman sesawang jenama itu pada 19 Oktober lalu. Luar biasa!
Difahamkan antara 13 logo parti politik yang dipilih sebagai motif tudung ialah Barisan Nasional, UMNO, PKR, PAS, BERSATU, AMANAH dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
Memetik kenyataan Nur Hazwani kepada Bernama, menerusi perusahaan Kekaboo miliknya dia ingin memeriahkan suasana PRU ke-15 dengan rekaan tudung baharu memandangkan sudah sekian lama tiada peristiwa besar di Malaysia susulan penularan Covid-19.
“Kekaboo memainkan peranan untuk menghangatkan dan memeriahkan suasana PRU-15. Ini adalah sesuatu yang manis untuk semua orang terutamanya untuk memberi kenangan setiap lima tahun sekali kita meraikan pilihanraya.”
Pertama kali mengeluarkan corak tudung dengan motif parti politik sejak menubuhkan jenama fesyen tersebut pada 2014, wanita berusia 31 tahun ini tidak menyangka menerima sambutan luar jangkaan dan menyasarkan pengeluaran lebih 50,000 helai tudung sehingga PRU ke-15.
Kata Nur Hazwani, idea menghasilkan rekaan itu bagi memenuhi permintaan pelanggan daripada pelbagai parti politik selain mahu mengeluarkan produk mengikut musim dan trend semasa.
Anak Buka Rahsia Kak Ton, ‘Mak Tak Tinggal Buat Solat Sunat Walau Pun Bisnes Makin Maju’. Dia Inspirasi Saya!
Nama Mohd Harris Shahrul Annuar atau lebih dikenali sebagai Harris Annuar mungkin kedengaran agak asing di kalangan masyarakat. Namun, apabila berbicara tentang usahawan yang terkenal dengan gelaran ‘Kak Ton’ pasti ramai yang sudah terbayang celoteh wanita berusia 58 tahun itu.
Walau pun kini kelibat Kak Ton jarang menghiasi mana-mana program TV tetapi figura yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Pravenus Beauty Sdn Bhd ini masih ligat berniaga. Baik secara dalam talian mahupun jualan terus, Kak Ton atau nama sebenarnya Zaiton Hassan tetap tidak menang tangan menguruskan tempahan pelanggan setia.
Perkara itu diakui sendiri anak bongsu Kak Ton, Harris Annuar yang terpilih antara 20 finalis Hero Remaja 2017. Menginjak usia 24 tahun pada 14 Mei lalu, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Seni Bina dengan Kepujian ini tanpa berselindung mengagumi personaliti ibu tersayang. Selain menyifatkan karakter ibunya sebagai seorang yang lucu, petah bercakap dan tegas, Kak Ton juga digambarkan ibarat srikandi yang tidak mengenali erti putus asa.
“Apa yang anda nampak dia di TV, begitu juga sikapnya di dunia realiti. Memang transparent habis sebab mak tak pandai bermuka-muka dan telus dengan sesiapa pun. Dia memang suka bercakap sampai kadang-kadang susah hendak suruh dia berhenti. Samalah juga situasinya bila bersiaran dalam program TV. My mom hanya akan berhenti bercakap bila dia sudah puas beritahu apa yang dia hendak sampaikan. Anak-anak semua sudah lali dengan perangai mak,” terangnya sambil tertawa.
Pernah berdepan perit maung sepanjang mengendalikan empayar Pravenus Beauty, Harris dan empat adik-beradik yang lain menjadi saksi kejatuhan perniagaan tersebut sekitar tahun 2004 apabila gerai jualan yang disewa terkena gangguan sihir. Turut terpalit dengan kesukaran hidup waktu itu, Harris terpaksa akur melihat dua kereta keluarganya dijual semata-mata untuk menyelamatkan keadaan.
“My mom mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan pada tahun 1999. Dari dulu lagi, rumah flat yang sama juga menjadi tempat kami sekeluarga berlindung sampai sekarang. Masa itu, mak cuma jual produk jamu dari rumah. Saya ingat lagi dia letak semua barang jamu dalam sebuah peti berwarna hitam. Apabila bisnes makin dapat permintaan, mak sewa sebuah kedai di Seksyen 18, Shah Alam.
Bayangkan, dia berkongsi ruang kedai itu dengan dua lagi peniaga lain. Mulanya tak ada apa-apa masalah sehinggalah perniagaan mereka terkena sihir. Jalan penyelesaian terakhir yang dia ambil adalah dengan menjual kereta yang ada. Saya ingatkan duit yang dia dapat untuk buat modal pusingan. Sebaliknya mak guna untuk menunaikan umrah bersama ayah. Sepanjang berada di sana, dia tak putus-putus berdoa meminta pertolongan daripada Allah.”
Murni sungguh jiwa Kak Ton yang berpaksikan keredaan dan rahmat Allah SWT untuk meneruskan perniagaan tersebut. Sekembalinya dari Tanah Suci, ibu kepada lima orang anak ini mendapat jemputan dari stesen televisyen untuk mempromosikan produknya. Dalam tempoh masa yang diberi selama lima minit saja, Kak Ton memperkenalkan produk Beauty Umaira.
Ajaibnya, sebaik melangkah keluar daripada program berkenaan talian telefon Kak Ton dihujani dengan panggilan orang ramai yang ingin membeli Beauty Umaira. Situasi yang tidak pernah dialaminya selama ini. Hasilnya, sebanyak puluhan ribu unit terjual.
“Dari dulu sampai sekarang mak percaya, lagi banyak kita memberi lagi banyak rezeki yang akan kita terima. Paling saya kagum dengan dia adalah hubungannya dengan Allah. Walau sudah dapat rezeki melimpah-ruah dan bisnes makin maju, mak tak tinggal buat solat-solat sunat setiap hari. Bagaikan satu rutin wajib baginya.
Malah, dia juga rajin berzikir sampai tertidur pun ada. Tahun pertama dapat duit jualan, mak bawa 40 stokis mengerjakan umrah. Tahun berikutnya pula dia tunaikan niat bawa golongan mualaf. Seterusnya anak-anak dan kawan rapat. Mungkin sebab itu Tuhan limpahkan rezeki meluas kepada mak.”
Berkali-kali meluahkan rasa kagum terhadap sifat tabah dan cekal ibunya, Harris tanpa segan silu menjadikan perjuangan Kak Ton sebagai inspirasi dalam menempuh titian kerjaya dan kehidupan.
Semoga pengalaman hidup anak dan ibu ini mampu dijadikan teladan kepada khalayak untuk mencipta kekayaan di dunia dan akhirat!SUZIANAABUDAUD
Kejar ‘Saham Akhirat’ Buat Content Berilmu, Usaha RAFIDAH IBRAHIM Ajak Buat Kebaikan Raih Pujian!
Terinspirasi dengan cara Rafidah Ibrahim mengajak orang ramai ke arah kebaikan. Jika kebanyakan individu menjadikan platform media sosial untuk berniaga dan berkongsi sisi peribadi, berbeza pula bagi pelakon dan pengacara ini.
Selesa disapa Fida, tidak dinafikan followers di media sosial anak seni ini juga semakin meningkat naik selepas ramai menyedari kandungan video bermanfaat yang dihasilkannya.
Mengulas inisiatif murni tersebut yang mahu membantu lebih ramai masyarakat memahami sunnah dan berbuat baik, Fida ketika dihubungi Nona terharu menerima penghargaan.
Ditanya kisah di sebalik kejayaan content video yang dikongsikan, Fida menjelaskan semuanya bermula selepas ibu tersayang, Norimah Derani meninggal dunia pada Mei 2017.
“Sebenarnya since 2017 lepas mak meninggal dunia, Fida ambil keputusan untuk tak aktif media sosial dan lebih kepada muhasabah diri. Waktu tu Fida banyak dengar ceramah-ceramah dalam YouTube sampai la satu hari tu Fida tekad untuk jumpa salah sorang ustaz yang Fida dengar iaitu Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi.
Ustaz Jafri banyak berkongsi amalan dan sunnah. Lepas dari tu, banyak yang Fida belajar untuk baiki diri dengan ikut syariat. Rupanya banyak yang Fida sendiri terlepas pandang sampai la Fida keguguran anak kedua pada Jun 2022.
Dari situ, Fida terfikir mungkin kat luar sana juga sama macam Fida yang sangat memerlukan ilmu untuk kehidupan seharian yang kita dah tinggalkan atau dah tak jadi kebiasaan.
Dan Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakan di media sosial berkaitan amalan doa-doa pendek dan sunnah ini. Content-content yang Fida buat kebanyakannya basic harian dalam kehidupan kita.”
Pernah membintangi drama Epilog Syurga Cinta dan popular menerusi lagu duet ‘Apo Kono Eh Jang’ bersama Datuk AC Mizal, Fida kini lebih aktif di media sosial dan memperlahan karier seninya.
Tidak memuat naik video tanpa fakta yang sahih, Fida akui dia terlebih dahulu memahami ilmu daripada sumber yang betul sebelum dikongsikan kepada umum.
“Rujukan Fida selain daripada ceramah-ceramah ustaz yang Fida dengar, adalah melalui website (mufti Malaysia) dan buku-buku rujukan seperti ‘Indahnya Hidup Bersyariat – Ustaz Ismail Kamus’, As Syamail Al Muhammadiyah – Imam At-Tarmidzi’, kitab-kitab dari Ustaz Jafri dan seumpamanya.
Fida mula belajar sedikit-sedikit pada 2017 dan waktu keguguran tu ada lagi ilmu baru yang Fida belajar. Jadi Fida kongsikan dalam media sosial dan tak sangka rupanya ada juga yang tak tahu macam Fida.
Dari situ, Fida terfikir why not kongsi apa yang Fida belajar sebab Abi-Ustaz Jafri ada pesan, kalau ada orang lain pun nak hijrah, kita kena bantu, jangan biarkan mereka tanpa arah dan kita seharusnya bagi galakkan.”
Tambahnya lagi, perkongsian berkenaan bukan hanya diterima baik masyarakat di negara ini bahkan di luar negara termasuk Thailand dan Papua New Guinea.
“Alhamdulillah rata-rata followers Fida di Malaysia dan Indonesia (juga tak ketinggalan followers dari Singapura, Brunei, Papua New Guinea dan Thailand) sangat supportive. Ada yang komen di public dan ada juga yang personal mesej, ramai yang mendoakan supaya Fida teruskan dengan perkongsian yang memberi manfaat buat semua.”
Rafidah Ibrahim sah bergelar isteri Shahzemir Shahzulkarib pada 5 Mei 2021.
Semoga perkongsian bermanfaat ini menjadi inspirasi dan melahirkan lebih ramai masyarakat berilmu!
“We Are Very Expensive!”- PROF DR MUHAYA Kongsi Ciri-Ciri Wanita Solehah
Wanita adalah ciptaan indah yang Allah SWT cipta. Tidak banyak syarat-syarat sebenarnya untuk menjadi wanita yang disayangi Allah. Pertemuan bersama dengan penceramah wanita terkenal Profesor Dr Che Muhaya Mohamad untuk satu sesi fotografi di kediamannya yang terletak di Country Heights, Kajang dimanfaatkan oleh Nona untuk bertanyakan tentang ciri-ciri yang perlu ada dalam diri setiap wanita untuk menjadi seorang wanita solehah.
“Pertama sekali, niat untuk menjadi wanita solehah. Ini kerana nilai seorang wanita solehah lebih besar daripada dunia dan seluruh isinya. Kalau mempunyai akhlak yang baik, seseorang wanita itu akan menjadi lebih berharga daripada barangan berjenama. Jadi, wanita solehah tidak akan perlukan branded item dan hanya wanita tidak solehah mahukan branded item kerana you value yourself based on the brand that you wear. Tapi sebenarnya nilai seorang wanita berdasarkan hati yang bersih dan tenang”, jelas Pakar Mata ini yang juga mempunyai PhD dalam bidang Ocular Immunology daripada Universiti London.
Selain itu, beliau turut menegaskan wanita solehah akan tahu apa manfaat dan tujuan hidupnya iaitu untuk sentiasa beribadah kepada Allah SWT dan melakukan kebaikan.
“Antara ciri wanita solehah ialah mempunyai akidah sangat mantap bererti tidak ada tuhan melainkan Allah. Tuhan dia bukan dia punya suami, whatsapp, instagram, darjat,dan rupa paras. Selain itu, wanita solehah juga tahu kenapa dia dilahirkan iaitu untuk ubudiyyah (menghambakan diri) kepada Allah. Bila akidah mantap automatik ibadah akan menjadi sempurna. Wanita itu akan menjaga ibadah solatnya seperti solat tepat waktu dan dilakukan secara berjemaah”, tambahnya lagi.
Mengulas lebih lanjut lagi tentang ciri-ciri untuk menjadi wanita solehah,beliau menegaskan wanita sangat berharga dalam Islam dan martabat wanita tidak pernah dipandang rendah kerana wanita itu ‘mahal’!
“Wanita solehah juga akan menjaga auratnya dengan sempurna. Ini kerana wanita yang menjaga aurat nilai dirinya akan meningkat. Siapa yang tidak menjaga aurat, dia sama seperti barang yang semua orang boleh tengok dan tidak eksklusif. Pergaulan juga perlu dijaga untuk menjadi wanita solehah. Selagi orang tak bernikah dengan kita, jangan biarkan dia sentuh kita sembarangan. We are very expensive item! Jadi jaga solat, aurat dan pergaulan. Kalau tak jaga tiga perkara ini confirm bermasalah”, katanya lagi yang tidak pernah lekang dengan senyuman.
https://www.instagram.com/p/Bon5_-rHJgD/?utm_source=ig_web_button_share_sheet
Selain niat menuju ke arah kebaikan dalam hidup, mempunyai akidah yang tinggi serta menjaga batas pergaulan dan menutup aurat, ciri wanita solehah itu akan lengkap sekiranya mempunyai kelembutan dalam dirinya.
“Mempunyai keperibadian dan akhlak yang lemah lembut akan membuatkan diri seseorang wanita itu lebih disayangi oleh Allah. Kalau tidak mempunyai sifat yang lemah lembut, takut nanti Allah tidak sayang. Jadikan kelembutan itu sebagai tujuan dalam kehidupan anda”, jelas isteri kepada Dr Azmi Jamion ini.