Gelagatnya yang bersahaja dan mencuit hati menerusi video yang ditampilkan dengan cara tersendiri menggunakan loghat Siam menarik perhatian netizen. Video pertamanya yang bertajuk ‘Berhutang Tak Reti Bayar’ tular sekelip mata sekaligus melonjakkan jumlah pengikutnya di laman sosial.
Mesra disapa sebagai Yatt anak jati kelahiran Besut, Terengganu ini tak pernah menduga sejak bergelar instafamous kehidupannya akan berubah sejauh ini sekaligus mampu menjana pendapatan lumayan.
Pemegang Diploma Akauntansi dari Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah ini cukup bertuah kerana memiliki saiz fizikal yang kecil molek sehinggakan ramai yang beranggapan Yatt masih bujang. Namun hakikatnya Yatt adalah isteri orang. Kecantikan aslinya pula diwarisi daripada keluarganya yang berketurunan Melayu Champa, Siam, Jawa dan Cina.
“Sebelum ini saya pernah bekerja sebagai akauntan di beberapa buah syarikat. Setelah perkongsian video pertama menjadi tular di sosial media saya anggap ia sebagai satu rezeki. Saya ambil keputusan berhenti kerja. Ia membuka peluang untuk saya fokus kepada perniagaan secara online iaitu @sedap_uuuiii By Nurhayati Tahir seterusnya dapat berkongsi video-video yang bermanfaat.
Saya bersyukur ia kini menjadi sumber pendapatan utama sekaligus mengubah kehidupan saya menjadi lebih baik. Perniagaan saya juga mendapat sambutan yang sangat menggalakkan,” kongsi wanita berusia 27 tahun ini yang berketinggian 153 sentimeter.
KALIS KECAMAN
“Tipulah kalau saya kata tak pernah dikecam. Ada yang suka dan ada juga yang tak suka dengan cara saya. Waima kita menyampaikan tazkirah sekali pun masih ada yang mengecam dan cakap kita nak berlagak alim. Mereka bebas bersuara di sebalik papan kekunci yang membawa aura negatif, kadangkala mendorong kepada tekanan perasaan atau depresi.
Mana yang positif saya ambil sebagai penghargaan. Jika sebaliknya saya abaikan dan menjadi pembakar semangat untuk terus ke hadapan. Sejak kecil saya suka menghiburkan orang. Niat saya hanya ingin menyampaikan pesanan masyarakat dalam bentuk video parodi di sosial media tetapi tak sangka pula tular,” ungkap Yatt yang menjadikan Dr Amalina sebagai idolanya kerana kagum dengan kemampuan dan baktinya dalam mengangkat nama Malaysia ke persada dunia di samping semangatnya untuk menyelamatkan nyawa insan sejagat.
Yatt turut menjadikan ibunya sebagai sumber inspirasi di mana dia menyifatkan ibunya itu seorang yang sangat tabah, rajin bekerja dan pandai berdikari. Bagi Yatt, apabila dia berjaya mendapat sesuatu hasil titik peluh sendiri ia membuktikan dia berjaya memotivasikan dirinya untuk menjadi lebih matang dalam kehidupan.
IMPIAN
“Bagi saya apabila untuk menjadi seorang instafamous haruslah bijak dalam memberi impak dan pengaruh yang baik terutama apabila sudah diangkat sebagai role model
atau influencer kepada masyarakat. Jual bakat bukan jual maruah. Jadilah seorang yang beauty with brain. Jika ramai pengikut atau peminat yang sayangkan kita, mereka akan mendoakan kejayaan kita.Anggaplah peluang mempunyai platform di sosial media rezeki daripada Allah SWT. Jangan mudah alpa kerana hidup ini umpama roda. Apabila kita di atas gunakan peluang itu untuk membantu orang sekeliling, sebarkan aura positif.
Impian saya ingin menjadi seorang yang kaya ilmu dan berjaya dalam perniagaan seterusnya dapat menyumbangkan sesuatu buat masyarakat,” akhiri Yatt.
Kredit Foto: Instagram @nurhayatitahirr
This website uses cookies.