Keadaan ekonomi negara yang tidak menentu susulan Covid-19 memaksa masyarakat dan usahawan khususnya untuk tampil lebih kreatif demi kelangsungan hidup. Selebriti yang juga adik-beradik kembar popular iaitu Nora’ashikin Rahmat atau Ekin dan Nora’ain Rahmat, Aen ini misalnya meraih pendapatan menguntungkan hasil jualan Polka Pops Dessert keluaran mereka berdua sejak lebih setahun yang lalu.
Ekin yang merupakan isteri kepada Mawi makin rancak merencana karier sebagai usahawan. Baru menyambut ulang tahun kelahiran bersama Aen pada 5 November lalu, kedua-duanya sangat akrab dan mempunyai rupa paras yang seiras. Apatah lagi, pasangan kembar ini suka bergaya sedondon, Dari dulu sampai sekarang, memang susah hendak cam mana satu Aenn dan Ekin!
Bagi Ekin, meskipun Mawi kini lebih selesa berkarya di sebalik tabir sebagai pengarah dan mampu menampung perbelanjaan mereka sekeluarga, namun ibu kepada Cahaya Malaika berusia lapan tahun tersebut enggan terlalu bergantung kepada suami dan selesa berdikari. Menceburi bidang pernigaan bukanlah satu perkara baru buat Ekin dan Aen kerana sebelum ini mereka turut pernah mengusahakan produk kesihatan, Unequein. Tapi hari ini kedua-duanya memilih meluaskan empayar mereka dengan menceburi perusahaan makanan pula.
Pernah bergelar pelakon, percaturan Ekin dan Aen untuk menjadi ahli perniagaan nyata membuahkan hasil. Satu per satu produk berjaya dihasilkan dan terbaharu, mereka mengambil risiko menjadi usahawan makanan dengan menjual sajian pencuci mulut Polka Pops Dessert. Difahamkan idea untuk menghasilkan dessert
ini bermula sejak Ogos tahun lalu.Menyedari kehendak dan cita rasa pelanggan masa kini, Ekin dan Aen mencurah keringat dan kreativiti demi memberikan dessert terbaik dan mampu dibeli orang ramai. Sebekas Polka Pops Dessert mengandungi pelbagai elemen pencuci mulut menyelerakan dan berwarna-warni seperti pearl (boba), cincau, mochi serta kuah sebagai pelengkap sajian. Ia juga paling sesuai dinikmati dengan ais atau sejuk.
Untuk memastikan pelanggan dan penggemar dessert tidak jemu dengan produk mereka, Ekin dan Aen kreatif mempelbagaikan Polka Pops Dessert mengikut edisi atau sempena sesuatu perayaan. Terdahulu, mereka pernah menghasilkan polka pops versi Olaf ketika perayaan Krismas dan sempena lebaran yang lalu pula terdapat polka pops versi raya mengandungi mochi berupa bentuk ketupat, kuih tart dan kuih makmur. Memang kreatif sangat!
Tidak ketinggalan, sempena Hari Kebangsaan ke-63 yang lepas… polka pops edisi Merdeka turut dihasilkan. Ia berupa bentuk buah-buahan tempatan seperti manggis, nanas dan bunga raya. Terbaharu, Polka Pops Dessert ditawarkan dalam bentuk ninja dan panda pula! Atas sambutan menggalakkan pelanggan, pada awal September lalu satu lagi produk baharu ditawarkan iaitu minuman Polka Jelly Drink.
Kongsi Ekin, “Korang boleh dapatkan Polka Jelly Drink. Kita dah start masuk Polka Jelly kat cawangan Shell terpilih. Don’t worry air kami ni tiada pengawet dan home made. Semua peringkat usia boleh minum.”
Moga kesungguhan Ekin dan Aen memajukan diri dan perniagaan ini mampu menjadi suntikan semangat kepada masyarakat untuk berjuang mengejar impian.
This website uses cookies.