Jual Koleksi Preloved Je, Tak Sangka Suri Rumah Ini Berjaya Raih Keuntungan Lebih RM3 Juta!

Peranan wanita sebagai seorang isteri dan ibu sangat besar serta menuntut pengorbanan yang tinggi. Hakikatnya, suri rumah sepenuh masa mahupun yang bekerjaya kedua-duanya bekerja. Tak sewajarnya mereka ini dibandingkan, mana yang lebih stres atau banyak kerja, mana lagi mencabar dan sebagainya. Kedua-duanya berat dan ada ujian tersendiri.

Bagi para wanita yang bergelar suri rumah sepenuh masa, boleh jadikan kisah Mona Meija ini sebagai inspirasi.

Nama Mona Mejia, wanita berusia 44 tahun ini yang menetap di Houston, Amerika Syarikat trending apabila tahun lalu dia berjaya meraih keuntungan jualan jutaan ringgit hanya dengan menjual koleksi terpakai.

Bergelar suri rumahtangga sepenuh masa memberi kelebihan kepada Mona Mejia untuk melakukan bisnes kecil-kecilannya itu sambil menjaga tiga cahaya mata. Niat asal hanya untuk membantu suami mencari ‘duit poket’ lebih. Apatah lagi, dia seorang yang tak boleh duduk diam, ada saja yang dilakukan demi menjana ekonomi keluarga.

Kisah Mona Mejia ini turut menjadi perhatian portal bisnes terkemuka, Business Insider. Menurut laporan Business Insider, Mona Mejia mula berjualan secara kecil-kecilan sekitar tahun 2015.

Bijak memanfaatkan media sosial seperti Instagram, Facebook, TikTok termasuk Live, Mona Mejia berjaya menjual koleksi baju terpakainya dan meraih keuntungan lebih RM3 juta! Wow, macam tak percaya tapi itulah realitinya. Kerja keras, kesungguhan dan minat itulah kunci kejayaan Mona Mejia sekaligus menjadi inspirasi wanita-wanita di luar sana.

Lebih membanggakan, ketika memulakan bisnes itu dia tidak pernah mengeluarkan sebarang modal (dollar). Sebaliknya, kerajinan Mona Mejia mempromosikan pakaian terpakai yang ada di dalam almarinya telah membuahkan hasil yang luar biasa.

Memetik portal Business Insider, keuntungan dari jualan itu Mona Mejia jadikannya sebagai modal pusingan. Dia turut membeli beberapa inventori tambahan serta menjualnya semula pada harga mampu milik.

DETIK PALING SUKAR
2015 merupakan tahun paling mencabar bagi Mona Mejia kerana dilanda masalah ekonomi keluarga. Sehinggalah dia diperkenalkan oleh kakaknya dengan platform preloved Poshmark, dia meneruskan jualan. Hasil jualan sangat pantas lalu Mona Mejia menambah lebih banyak item. Dengan keuntungan yang diperolehi dapatlah dia membantu menampung ekonomi keluarga.

Dua tahun berikutnya dia sekali lagi diuji apabila suaminya tidak dapat bekerja selepas menjalani pembedahan jantung. Hilang punca pendapatan keluarga utama. Namun, Mona Mejia seorang isteri yang setia. Dia tidak meratap sebaliknya bekerja lebih keras dengan meningkatkan jualan dan mempelbagaikan item di platform lain. Jualan akhirnya mencecah ribuan ringgit dalam masa seminggu.

Setelah bisnesnya makin berkembang, Mona Mejia kini tidak lagi menghadkan jualannya dengan koleksi peribadi. Dia mempelbagaikan item seperti kasut, aksesori, barangan kemas dan alat elektrik di jualan-julan gudang dan lelongan. Sebagai contoh, harga barangan berjenama yang serendah RM70 dia mampu menjualnya pada harga setinggi RM6,430.

Melihat kesungguhan isteri, sang suami turut membantu dan menjadi tulang belakang utama. Hasil keuntungan yang luar bias aitu, mereka kini mampu memiliki rumah sendiri serta menanggung pengajian kolej anak-anak.

Semoga kisah ini menjadi inspirasi buat semua wanita, tidak kiralah yang bergelar suri rumahtangga sepenuh masa atau bekerja. Apa yang penting minat dan usaha untuk sama-sama membantu menjana ekonomi keluarga. Percayalah, rezeki tak salah alamat.

Share
Published by
Amy Mohd