Jual Lukisan Kartun Sailormoon Ketika Sekolah Kini LINDA ROOS Teraju Bisnes Hiasan Dinding

Sememangnya anak adalah cermin dan pantulan daripada pelakuan ibu dan bapa. Setiap yang terzahir daripada sifat dan tabiat anak kebiasaanya mengikut ‘acuan’ dan apa yang dilihatnya menerusi perlakuan ibu dan bapa.

Asbab melihat kegigihan ibu dan bapanya aktif mengusahakan perniagaan sejak kecil telah membuka mata Linda Roos dan menjadikannya menyimpan cita-cita untuk bergelar usahawan. “Sejak daripada kecil lagi saya telah melihat dunia keusahawanan di depan mata.

Bersama keluarga. Foto: Koleksi Peribadi Linda Roos
Bersama keluarga mentua. Foto: Koleksi Peribadi Linda Roos

Arwah abah dan mama saya menjalankan perniagaan mereka sendiri. Arwah abah buat bisnes pembangunan projek perumahan Ampang Indah manakala mama pula mengusahakan perniagaan hiasan dalaman,” tutur wanita yang berasal dari Kuala Lumpur ini memulakan bicara.

Mengutip semangat ibunya yang optimis mengembangkan perniagaan menjadikan wanita lulusan Universiti Multimedia dalam jurusan Creative Multimedia & Media Innovation ini berazam untuk mempunyai bisnes sendiri. “Saya sering lihat ketabahan dan kesungguhan mama bekerja sendiri.

Jemputan untuk Indonesia Consumer Trade and Exhibition oleh Ikhtisas Wanita, Jabatan di bawah Kementerian Wanita. Foto: Koleksi Peribadi Linda Roos.

Sering kali saya mengikut mama pergi kerja dan kadang-kadang duduk di meja pejabat mama dan berangan-angan sebagai seorang ‘bos’ sehingga staf mama sendiri memanggil saya ‘bos kecil’.

Sejak zaman sekolah lagi saya menyimpan impian untuk mempunyai perusahan sendiri seperti mama. Berbekalkan bakat melukis yang ada, saya melukis karakter kartun Sailormoon dan Dragon Ball untuk dijual sebagai poster. Daripada sekolah lagi saya sudah mula membuat aktiviti jualan sesama rakan,” tutur Linda Roos atau nama sebenarnya Noor Fazlinda Roos Affandey.

Foto: Koleksi Peribadi Linda Roos
Melancong bersama suami. Foto: Koleksi Peribadi Linda Roos

USAHAWAN WANITA
Beruntung Linda Roos kerana mempunyai keluarga yang mempunyai latar belakang dalam bidang perniagaan yang sangat dicintainya ini. “Saya menjadi saksi melihat kehebatan mama dalam dunia keusahawanan ini. Mama saya selalu berpesan dunia bisnes tanpa ilmu dan keberanian tidak akan menjadikan kita berjaya dalam apa yang kita hendak lakukan.

B2B dan jemputan pameran di Beijing China tahun 2018. Foto: Koleksi Peribadi Linda Roos.
Menerima anugerah Young Exporter Award. Foto: Koleksi Peribadi Linda Roos.

Saya pegang hasrat untuk terjun dalam dunia perniagaan dan menjadi usahawan sehingga saya benar-benar yakin. Berbekalkan ilmu yang dipelajari dan pengalaman dalam industri ini serta networking yang saya ada barulah saya berani buka perniagaan Sendirian Berhad di usia 26 tahun,” ucap wanita yang kini berusia 36 tahun dan mempunyai hobi berbasikal.

Ibu kepada tiga orang cahaya mata ini telah mencipta kelainan dalam dunia niaga dengan mengetengahkan bisnes rekaan hiasan dinding. “Saya pilih untuk mewujudkan bisnes produk hiasan dinding sebab hasil daripada rujukan pasaran dan tinjauan yang saya lakukan, rata-rata orang sekarang mengabadikan foto istimewa mereka hanya di platform media sosial sahaja.

Foto: Koleksi Peribadi Linda Roos
Pilihan paint artwork and frames untuk client. Foto: Koleksi Peribadi Linda Roos

Kita sendiri boleh lihat sampai berpuluh ribu foto peribadi tersimpan dalam telefon pintar. Tabiat orang sekarang yang sentiasa ingin benda yang mudah dan cepat sebab masa memang berlalu bergitu pantas.

Jadi, produk hiasan dinding saya ini hanya ikut 3 langkah untuk dimuat turun dalam sistem dan akhirnya bila tempahan sampai di rumah tinggal pasang sahaja. Produk kami juga tidak memerlukan pelanggan menggunakan paku untuk mengetuk dinding kerana sudah disediakan pelekat khusus untuk hiasan dinding.

Lagipun, memang niat asal saya untuk mewujudkan kembali tangible value kepada generasi akan datang sebab generasi sekarang lebih memandang ke arah ‘comments and share‘ setiap foto yang dikongsi di media sosial.

Tapi sebenarnya foto atau memori kita ni lebih daripada itu. Tengok sahaja cara ibu bapa kita ambil setiap foto masa kecil dan simpan untuk tatapan masa depan di dalam album dan dinding rumah. Sebab mereka tahu value of appreciation,” terang Linda Roos panjang lebar.

Foto: Koleksi Peribadi Linda Roos
Foto: Koleksi Peribadi Linda Roos

SOKONGAN KELUARGA
Menjadi usahawan sangat penting mempunyai support system

yang bagus. Linda Roos bersyukur kerana mempunyai sebuah keluarga yang sangat menyokongnya. “Mama adalah inspirasi saya untuk sentiasa meneruskan dalam dunia perniagaan. Kata-kata nasihat dan pengalaman yang selalu beliau ceritakan buat saya kuat dan kena bersedia untuk face the worst in order to survive dalam dunia perniagaan.

Suami dan anak-anak pula adalah sumber semangat saya untuk buat yang terbaik kerana melihat mereka yang sentiasa terhibur dan berbangga dengan pencapaian membuatkan saya lebih seronok untuk berjalan lebih jauh lagi.

Saya percaya restu dan doa seorang suami yang buatkan saya masih kuat bertapak dalam dunia perniagaan ini. Manakala adik beradik saya mereka yang menjadi rujukkan terdekat dalam memberi pendapat dan sokongan moral,” ujar anak keempat daripada lima orang adik-beradik ini mengakhiri perbualan.

Linda Roos bersama 11 finalis lain bakal menemui anda semua menerusi Rancangan Pencarian Nona Superwoman 2021, di ASTRO PRIMA bermula 22 September, setiap Rabu jam 9.00 malam. Rancangan ini dibawakan oleh Nu Ideaktiv Sdn Bhd dan Majalah Nona, diperkasakan oleh USANITA.

Share
Published by
Hamizatul Maizan Binti Mohamed