Jururawat Paling Rajin, Zuraimi Ahmad Buat Bisnes Kek & Roti Selepas Waktu Kerja Demi Tambah Rezeki

Hidup ini ibarat putaran roda. Selepas gelap ada terangnya. Selepas susah ada senangnya. Dan jika sekarang miskin, tak mustahil satu hari nanti kaya-raya. Itulah yang dipegang jururawat berhati waja, Zuraimi Ahmad atau Amy kepada Majalah Nona.

Beberapa hari juga menanti jawapan temu bual ini daripada Amy. Namun sebagai frontliners yang berbakti di hospital COVID, Amy cukup sibuk hingga membataskan masanya untuk menjawab. Terasa berat beban kerjaya seorang jururawat, berbakti untuk kesihatan dan kebahagiaan orang lain.

Berusia 38 tahun, anak Pulau Pinang ini juga sebenarnya seorang pengusaha kek dan roti Mama Omey Bakery. Ibu kepada lima cahaya mata itu tekad mempelajari kemahiran bakeri sejak pendapatan keluarganya terkesan akibat pandemik.

“Permulaannya apabila suami saya terpaksa berhenti kerja sebagai pemandu lori kerana masalah kesihatan. Ketika dia masih bekerja, pendapatan keluarga kami dikira agak lumayan juga. Pendapatan saya pula sekadar cukup makan kerana menanggung banyak komitmen.

 

 

Jadi bila dia berhenti kerja, kami sangat-sangat terkesan. Banyak bayaran tertangguh sampaikan saya terpaksa berhutang dengan ibu bapa untuk belanja harian. Saya juga terpaksa hentikan bayaran perbelanjaan anak-anak seperti van sekolah dan tuisyen kerana tak mampu membayar.

Memang ketika itu hidup kami sekeluarga susah. Suami struggle cari kerja tapi rezeki masih tak menyebelahi kami.” 

Cerita Amy lagi, pelbagai ikhtiar dilakukan demi menambah pendapatan mereka. Antaranya berniaga di pasar malam, bazar Ramadan dan carboot sale, jual sabun dan minyak wangi tapi sayangnya kurang sambutan.

Banyak modal lebur dan kami terpaksa berhenti sebab kehabisan sumber. Letihnya hanya Allah yang tahu. Saya dengan bekerja lagi, Ya Allah, besarnya dugaan masa tu.

“Berkat doa yang tak pernah putus, Tuhan bukakan jalan untuk saya belajar buat kek dan roti. Asalnya belajar melalui YouTube je. Kemudian saya ambil kelas kemahiran secara PJJ sebab bekerja sepenuh masa. Di situlah bermulanya kerjaya part time saya sebagai pengusaha kek dan roti, sementara suami bekerja sebagai pemandu GRAB.” 

Tak dinafikan sejak pandemik melanda, banyak kehidupan yang terjejas. Amy sekeluarga tak terkecuali.

“Dulu boleh dikira mewah juga pendapatan GRAB. Tapi lama-kelamaan, pelanggan makin berkurang. Orang ramai takut nak keluar rumah, ditambah pula PKP dan kes COVID-19 yang saban hari meningkat tinggi. Bila pendapatan suami terjejas, semuanya terbeban di bahu saya.

Jadi saya tetapkan dalam hati nak belajar bersungguh-sungguh supaya dapat fokus bisnes roti dan kek, sekaligus menampung perbelanjaan keluarga kami.” Amy

 

DUNIA JURURAWAT

Ada sesuatu yang istimewa tentang Amy kala mendengar mengapa dia memilih kerjaya jururawat. Begitu besarnya hati seorang wanita yang mencintai profesion ini, melebihi rasa cintanya terhadap diri sendiri.

 

 

 

“Mula-mula memang tak minat tapi saya terima juga sebab mak dan abah mahu saya bekerja di sektor kerajaan. Alhamdulillah dan 13 tahun jadi jururawat. Memang saya jatuh cinta dengan kerjaya saya kerana dengan kerjaya inilah saya belajar segala-galanya.

Jururawat adalah satu kerjaya yang mulia dan tak kenal erti penat. Kami bekerja untuk kesihatan dan kebahagiaan orang lain. Di sebalik pengorbanan berbakti pada masyarakat, kerjaya ini mengajar saya erti perikemanusiaan, tanggungjawab dan kesabaran.

Tapi disebabkan pandemik dan faktor pendapatan suami yang terjejas, saya terpaksa bekerja lebih untuk membantu keluarga. Buat bisnes part time yang tak mengganggu kerja hakiki saya dan masa dengan anak-anak. Jadi bisnes yang paling tepat adalah buat kek dan roti. Balik kerja saya sambung dengan perusahaan bakeri sampai ke larut malam.”

Walau bagaimanapun, Amy turut berdepan cabaran persaingan dari rakan pengusaha yang lain. Lumrah pada waktu ini ramai yang kehilangan kerja atau bekerja dari rumah, maka banyaklah peniaga online yang turut meniaga kek dan roti seperti Amy.

 

 

 

 

“Sebab tu kita kena kerap promosi. Saya gunakan semua platform yang ada. Buang ketepi segala rasa segan dan malu. Saya cakap dalam hati… ‘Buat apa nak malu, aku susah bukan orang tahu. Biarlah.’ Dan saya beri kawan-kawan serta jiran-jiran rasa produk makanan Mama Omey Bakery.

Alhamdulillah. Saya bersyukur dapat feedback yang positif. Sambutan juga memberangsangkan bila ramai yang mula menempah. Cuma masa mula-mula dulu ada jugalah masalah penghantaran atau COD disebabkan saya bekerja.

Mujurlah suami membantu dalam urusan COD untuk hantar kepada pelanggan yang jauh. Kami juga ada gunakan servis runner bila tak cukup tangan. Tiada masalah yang tak mampu diatasi jika kita betul-betul nak berjaya.”

 

MULTITASKING

Sebagai jururawat yang bekerja tetap, Amy perlu fokus pada waktu bekerjanya iaitu dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Setiap hari Isnin hingga Jumaat, Amy sibuk dengan tugas-tugas di klinik dan menjaga pesakit.

“Boleh dikatakan hari-hari ada order. Kadang-kadang saya terpaksa buat senarai sebab tak mampu nak buat semua tempahan dalam satu masa. Biasanya saya balik kerja dalam pukul 6.00 petang, saya akan uruskan hal di rumah dan anak-anak dulu. Lepas Maghrib barulah saya mula membakar kek dan roti, sambil-sambil mengajar anak-anak buat kerja sekolah.

Bantuan anak-anak dan suami memang sangat penting. Merekalah yang menguruskan pembungkusan, jadi kerja saya jadi cepat sambil kami bergurau atau bersembang menyiapkan tempahan. Lewat malam baru selesai semua dan masuk tidur.” Amy

Begitulah rutin Amy setiap hari, tidak termasuk cuti hujung minggu yang dikhususkan untuk menyiapkan lebih banyak tempahan yang masuk tak berhenti-henti.

 

 

 

 

Rancangan untuk mengembangkan bisnes… “Kalau ada rezeki lebih, saya nk beli mixer dan oven industrial yang lebih besar supaya memudahkan, mempercepatkan serta boleh memperbanyakkan lagi order saya selepas ni. Sebab sekarang saya masih memggunakan breadmaker dan oven yang kecil, jadi order tu terhad kerana ia memakan masa yang lama.”

Mengakhiri temu bual kami, Amy sempat berkongsi impiannya dalam bisnes. “Saya bercita-cita mahu membuka sebuah kedai bakeri dan kalau boleh, produk Mama Omey Bakery menembusi pasaran Malaysia seperti Mamasab dan Azlina Ina. Harapan saya juga mahu memberi kehidupan yang selesa kepada keluarga saya, insyaAllah.”

Share
Published by
Norzalina