Jurusolek Emma Mustafa Simpan Beg Mekap, Kini Berniaga Rendang Ayam

Kurnian Allah yang Maha Besar, punya bakat dan sentuhan air tangan yang mungkin tidak ada pada orang lain telah membuka jalan untuk makeup artist Emma Mustafa terus mencari rezeki dalam keadaan kita semua berada di bawah kawalan PKP. Usaha yang dilakukan ini boleh menjadi inspirasi buat semua untuk bijak menjalani kehidupan dengan kelebihan yang ada.

“Saya berkhidmat sebagai seorang makeup artist selama 24 tahun. Banyak pengalaman saya kutip dan belajar tentang kehidupan. Bukan senang untuk hidup senang, bukan susah untuk hidup susah. Alhamdulillah dengan pendapatan itu, cukuplah saya katakan amat bersyukur dengan apa yang saya lakukan selama ini,” jelas Emma Mustafa.

Dalam keadaan PKP, sejauhmana ia menjejaskan punca rezeki? “Ya, sangat menjejaskan. Bukan saya sahaja, semua makeup artist lain dan saya percaya seluruh masyarakat Malaysia pasti mengalami keadaan yang sama. Bagi kami yang kerjayanya makeup artist,

banyak job dibatalkan, makeup wedding terpaksa ditunda pada tarikh yang belum pasti dan keadaan ini sangat menjejaskan pendapatan kami.

Tidak meminta bantuan atau menerima bantuan? “Alhamdulillah, ada juga makeup artist yang menerima bantuan daripada kerajaan. Dan saya difahamkan makeup artist production banyak dapat bantuan dari PERFIMA. Bantuan berupa barangan dapur seperti gula, beras, minyak dan sebagainya.

Bagi saya, artis tidak semua senang dan tidak semua susah. Samalah seperti kami makeup artist, sebahagian daripada masyarakat Malaysia. Kalau nak minta bantuan pun biarlah berpada-pada, asal sama dengan orang lain dan kami juga tidak meminta yang lebih daripada biasa,” ujar Emma bila ditanya tentang isu artis turut meminta bantuan kerajaan.

Rendang Ayam Perak Emma Tapa

Dalam usaha untuk memperoleh pendapatan sekarang, apa yang telah dilakukan oleh Emma Mustafa. “Apa yang saya buat sekarang, kita rehatkan sekejap beg mekap. Kini saya menguruskan perniagaan Rendang Ayam Perak Emma Tapa. Idea ini bermula dalam suasana PKP ni, saya masak rendang untuk makan sendiri. Tiba-tiba terlintas dalam fikiran, jika saya buat jual rendang dengan nasi impit ini, insyaAllah ok!

Keesokan harinya, saya beli seekor ayam dan masak rendang. Saya buat beberapa bungkus dan jual pada teman-teman terdekat dahulu dengan harga RM20. Alhamdulillah makeup artist

Deqsha dan yang lain banyak menolong dan bantu mempromosikan rendang ayam saya.

Bermula dari situ permintaan semakin meningkat dan ada yang order set rendang dan nasi impit RM10 untuk dihantar ke hospital.

Sebenarnya untuk menceritakan perasaan saya ketka ini, hanya Allah Maha Mengetahui betapa gembira dan bersyukurnya saya sebab saya tidak membuang masa, makan tidur sepanjang PKP ini.

Bila saya mulakan perniagaan rendang, hari-hari saya semakin sibuk. Saya buat semuanya sendiri dan kadang-kadang jiran depan rumah, jika dia kelapangan datang membantu untuk memotong bahan memasak.

Bermula dari waktu petang saya pergi beli ayam, serai, kelapa, bawang dan sebagainya untuk bahan membuat rendang. Malam saya akan potong-potong semua bahan tersebut untuk persediaan memasak keesokan pagi harinya. Lepas masak saya akan buat packing dan kemudian terus edarkan.

Saya bersyukur sangat, Grab Rider banyak membantu menghantar semua pesanan. Jika anak buah free, dia akan datang tolong hantar dalam jarak penghantaran kurang daripada 10km,” cerita Emma Mustafa yang menyimpan hasrat untuk terus melaksanakan perniagaan Rendang Ayam Perak Emma Tapa ini selepas PKP.

Nasihat terbaik yang dapat berikan kepada mereka yang mungkin tertekan dalam keadaan PKP sekarang, “Sepanjang PKP ni, tak payah cakap la kalau ada yang tidak stres atau putus asa. Nasihat saya, kita jangan terlalu ikut perasaan emosi sehingga memberi tekanan pada diri sendiri dan menjejaskan kesihatan. Kita perlu banyak berdoa dan beristighfar.

Kita cuba fikirkan sesuatu untuk dibuat, saya percaya setiap daripada kita punya kelebihan dan kemahiran. Fikirkan apa yang kita boleh buat, mungkin anda pandai membuat kek, biskut, menjahit dan sebagainya yang boleh dijual. Lakukan sesuatu berfaedah untuk diri sendiri daripada kita duduk sahaja berfikir yang bukan-bukan.”

Kata-kata akhir dari Emma Mustafa, “Saya berharap kita semua bersabar, redha dan berdoa semoga COVID-19 ini cepat berlalu dan agar kita dapat kembali untuk bekerja seperti biasa. Buat semua makeup artist, marilah kita lakukan sesuatu yang berfaedah untuk mengisi masa lapang. Buat semua frontliners, terima kasih di atas pengorbanan kalian. Bertugas tanpa henti, hanya Allah sahaja dapat membalas pengorbanan kalian semua. Aamin…”

Share
Published by
KR