Wajah cantik wanita ini sering menghiasi kaca televisyen sejak dulu lagi. Memulakan karier sebagai talent iklan sejak usia 10 bulan, Amelia Thripura Henderson kini semakin diterima sebagai pelakon drama Melayu.
Semakin popular dengan drama Pengantin Satu Malam, Amelia yang bergandingan dengan Nazim Othman kelihatan semakin bijak menjiwai watak yang dibawanya. Bercerita tentang pembabitan awalnya dalam dunia lakonan, “Sejak kecil saya telah diberi pendedahan dalam bidang komersil seterusnyan ke bidang lakonan. Jadi saya memasang impian untuk membuktikan keistimewaan yang dimiliki,” ujar wanita kacukan India, Sri Lanka dan Scotland ini.
Wajah Amelia Handerson kelihatan begitu berseri-seri dan cuba mencungkil rahsia cergasnya. “Saya tak mempunyai apa-apa rahsia untuk kekal cergas tetapi saya suka menari. Hampir kebanyakan masa dihabiskan dengan menari.
Tarian membuat saya kekal cergas dan bertenaga. Jika mempunyai masa yang terluang saya akan berenang dan menaiki tangga berbanding mengambil lif. Saya seperti kanak-kanak yang lain dahulu dihantar oleh ibu bapa untuk belajar ballet. Saya mula menari ballet sejak usia tiga tahun dan mula serius dalam tarian apabila usia menjangkau 13 tahun.
Ketika mula serius menari saya memberanikan diri menyertai The Dancer Society Classical Solo Ballet Competition. Tidak sangka menjadi juara dan saya ditawarkan biasiswa ke Australia. Dua minggu menimba pengalaman di sana benar-benar menyuntik semangat sementelah saya baru berusia 13 tahun ketika itu,” ujar Amelia yang pernah berlakon di dalam filem tempatan antaranya Talentime arahan Allahyarham Yasmin Ahmad.
Menurut wanita yang meminati rekaan fesyen dari Rizman Ruzaini, Alia Bastamam, Nurita Harith dan Adila Long ini tarian sukar untuk dipelajari. “Memang sejak kecil saya benar suka menari dan keluarga tidak pernah memaksa untuk terjun dalam dunia tarian ini.
Sebenarnya tarian sangat sukar untuk dipelajari. Jika menari tanpa minat yang mendalam pasti sukar untuk mengapai tahap tertinggi dalam bidang ini. Peperiksaan untuk lulus dalam tarian juga sukar. Tidak ada istilah belajar untuk lulus dalam tarian ini. Kini saya boleh menguasai tarian ballet, latin, ballroom, tap dan jazz dengan baik.
Tarian banyak mempengaruhi kehidupan seharian saya. Ballet adalah sukan yang sangat mementingkan disiplin. Disiplin yang tinggi ketika mempelajari tarian terutama balletmengajar saya menjaga masa dan disiplin diri. Malah, ballet menjadikan postur tubuh saya kelihatan lebih cantik.
Selain itu tarian ballet membantu saya kekal aktif dan cergas. Walaupun tarian ini nampak lembut dan berirama namun, kita perlu cekal dan bertenaga untuk melakukannya. Saya akan sentiasa menari sampai bila-bila,” bicara Amelia yang pernah mementaskan persembahan teater muzikal The King and I dan Peter Pan di Istana Budaya.
This website uses cookies.