Siapa yang tidak tertawan dengan personaliti menarik ratu gimnastik negara ini. Pesonanya cukup memukau. Malah, setiap gerak tari Farah Ann Abdul Hadi di gelanggang gimnastik bukan hanya menggetarkan jiwa atlet yang bertanding bahkan membuatkan penonton bersorak gembira dengan aksinya yang mempesona.
Sepanjang penglibatannya dalam arena sukan, Farah Ann berjaya meraih tujuh pingat emas di temasya Sukan SEA! Bukan calang-calang. Kejayaan itu sekaligus melonjakkan namanya hingga menjadi bualan dan kebanggaan negara sehingga sekarang. Kagum!
Kali terakhir Farah Ann membuat penampilan adalah di Sukan Olimpik Tokyo 2020. Walau tidak berjaya membawa pulang pingat untuk negara namun persembahan bertenaga daripada atlet ini sudah cukup menggembirakan peminat sukan.
Baru-baru ini nama Farah Ann hangat diperkatakan apabila dia dikhabarkan bakal meninggalkan sukan gimnastik. Persoalan itu timbul selepas Farah Ann dilaporkan tidak lagi menjalani latihan di Bukit Jalil.
Malah perkara tersebut turut disahkan jurulatihnya, Ng Shu Wai yang memberitahu Farah Ann sudah berhenti berlatih bersama skuad kebangsaan sejak dua minggu lalu.
Menerusi perbualannya bersama wartawan Nadi Arena, dia seakan tidak menolak kemungkinan atlet berkenaan akan meninggalkan sukan gimnastik memandangkan dia pernah menyatakan hasrat untuk bersara selepas penampilannya di Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Mengimbas kembali pembabitan awal Farah Ann dalam arena gimnastik, dia yang bakal berusia 28 tahun berkata sejak kecil ibu dan bapanya sudah mendedahkan mereka dua beradik dengan sukan gimnastik.
Tambah anak kepada pasangan Abdul Hadi Ahmad dan Kimberly Ann Gagnon ini lagi, galakan untuk menceburi bidang berkenaan adalah disebabkan ibu bapanya turut datang dari latar belakang yang sama. Selain menyimpan impian menjadikan anak-anak sebagai atlet negara.
“Disebabkan saya bersikap hiperaktif dan suka bermain monkey bar di taman permainan, ibu bapa saya memilih sukan gimnastik untuk kami ceburi. Justeru, seawal usia tiga tahun, saya sudah mula dihantar mengikuti kelas gimnastik bersama kakak saya, Katrina Ann yang pada masa itu berusia lima tahun. Katrina pula kini merupakan atlet renang berirama negara.
Memasuki umur enam tahun, saya sudah mula menyertai pertandingan di peringkat negeri Selangor. Manakala ketika menginjak umur tujuh tahun pula, saya berjaya mewakili
Selangor untuk bersaing di peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).
Melihat potensi saya untuk pergi jauh dalam arena sukan gimnastik, saya ditawarkan untuk menyambung pelajaran di Sekolah Sukan Bukit Jalil. Nyata penglibatan saya dalam sukan gimnastik mula serius setelah menghadiri latihan sebanyak enam kali seminggu di sekolah tersebut,” ujar gadis kelahiran Subang Jaya ini.
Tatkala ditanya mengapa dia memilih cabang sukan ini, Farah Ann ada jawapan tersendiri. “Saya sifatkan sukan gimnastik sebagai sukan luar biasa. Gimnastik membantu individu menjadi lebih kuat dan fleksibel.
Malah, saya berpendapat, sukan gimnastik menjadikan saya lebih kreatif untuk merancang aksi dan skil yang ingin ditonjolkan kepada umum.
Terbuka berkongsi sisi peribadi kepada umum, tanpa berselindung Farah Ann mendedahkan sikapnya yang tidak diketahui ramai. “Saya pun sama macam orang lain. Sebenarnya
saya seorang yang pemalu dan clumsy.”
Menjadikan Datuk Nicol David dan Datuk Pandelela Rinong sebagai idola, Farah Ann bercita-cita melibatkan diri dalam bidang media jika tidak lagi berada dalam bidang ini.