Teruja melihat kepetahan Ramona Zamzam bertutur dalam bahasa Mandarin dengan fasih dan lancar. Patutlah Finalis Dewi Remaja 2009/2010 ini mampu bertutur bahasa Mandarin kerana belajar di sekolah aliran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina [SJK(C)]. Itulah kelebihan belajar di sekolah aliran tersebut kerana boleh menguasai bahasa cina dengan baik.
Wanita kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini memang sejak dari dahulu peramah dan mudah didekati. Bukan itu sahaja malah isteri kepada Rami Alashkar ini komited menjaga kesihatan dan kecantikannya.
Mungkin ini yang menjadikan wanita yang mempunyai nama sebenar Ros Ramona Qadira Mohd Zamzam ini nampak muda daripada usia sebenar. Wanita yang berusia 31 tahun ini juga akui gelaran sebagai ibu membuatkan dirinya bagai tak cukup masa.
“Sebenarnya saya tak ada sebarang rahsia kecantikan. Namun, bab jaga kecantikan saya memang rajin menjaga kecantikan daripada skin care, body care dan hair care. Tak boleh tahan jika diri itu rasa comot.
Saya rajin pergi pusat kecantikan macam untuk facial extraction, penjagaan seperti itu sangat penting sebenarnya. Mungkin sebelum kahwin macam tak terasa sangat tapi lepas ada anak kena usaha lebih sikit menjaga kecantikan,” ujar ibu kepada seorang anak perempuan ini.
Tambahnya, “Saya rasa effort untuk seorang ibu nak kena rajin tu memang subjektif, walau bagaimana kita kena try jugak. Tapi tengok keadaan, ada jenis orang yang tak cukup masa ada jenis yang terlalu hectic.
Saya sendiri yang mempunyai jadual kerja agak hectic tapi dalam masa yang sama saya cuba juga untuk meluangkan masa untuk me time. Dari segi saya punya me time tu yang saya guna untuk buat rutin kecantikan yang boleh. Saya buat yang ringkas seperti hair treatment dan sebagainya.
Tapi dalam semua tu main thing untuk jaga kecantikan lagi-lagi bila umur dah masuk 30 tahun semestinya senaman. Saya memang tak banyak buat benda lain lagi-lagi dalam keadaan kita kena lockdown saya cuba maintain dari segi bersukan. Saya tak lah pergi naik basikal dan nak pergi gym pun tak boleh.
Apa yang saya buat, banyak buat senaman kelass secara online seperti yoga. Asalkan dalam seminggu tiga atau empat kali sahaja akan work out itu pun kira okay sangat dah tu.
Kalau ikutkan time shooting lagi tak ada masa tapi saya cuba. Bila dah ada anak dia kena ada extra effort dia susah nak cari masa tu tapi kalau kita nak mesti kita boleh cari juga masa tu,” kata Ramona yang berketurunan Thailand di sebelah ibu dan Pakistan di sebelah bapanya.
Rezeki Ramona juga sekarang mencurah-curah dan kini begitu sibuk dengan jadual seninya. Selesai drama Love Elsa yang telah disiarkan di Mega Drama Astro Ria wanita cantik ini tengah tunggu masa nak masuk set baru untuk drama 28 episod.