Sifat seorang isteri yang banyak berkorban adakalanya membuatkan mereka sanggup bertahan walaupun perkahwinan tidak bahagia.
Menurut Ustazah Asma’ Harun yang merupakan penaung dan pengasas NGO Sahabat Amal Care, beliau risau melihat rumah tangga sekarang apabila isteri hilang rasa hormat pada suami.
Tambah isteri kepada Ustaz Tengku Fazli Tengku Yahya ini, kadangkala sifat lelaki sendiri yang menjadi punca isteri tertekan.
“Iya, kadang isteri juga teruji dengan segelintir sikap suami yang lepas tangan dalam mendidik anak, tidak bantu uruskan rumah, panas baran atau yang mengabaikan keperluan isteri.
Sesetengah suami menggunakan alasan itu semua takdir untuk menghalalkan perbuatan yang dilakukan, tetapi sebenarnya setiap tindakan manusia adalah pilihan.
Jika suami banyak melakukan perkara yang merosakkan rumah tangga dengan sengaja atau mempunyai matlamat tersendiri, maka wajar seorang isteri hilang rasa hormat terhadap suami.” Ustazah Asma’ Harun
“Saya sangat kagum dengan wanita-wanita yang menghadapi dugaan seperti ini. Mereka berusaha untuk bersabar dan kekal kuat demi rumah tangga serta anak-anak.
Namun tidak bermakna, mereka perlu menelan semua tohmahan dan derita yang diberikan suami bulat-bulat.”
Sambungnya, beliau pernah terbaca luahan seorang wanita yang mengadu tentang suaminya, berkahwin selama lebih 20 tahun tetapi sangat sabar dengan sikap suami yang panas baran, kaki pukul dan lepas tangan akan tanggungjawab terhadap keluarga. Bahkan anak-anak pun takut untuk berjumpa setiap kali ayah mereka pulang dari kerja.
“Allahu Akbar, telinga yang mendengar pun terasa berat apatah lagi bahu yang memikul ujian tersebut.
Namun saya percaya kalian sangat hebat kerana masih bertahan dan bersabar sehingga ke hari ini. Saya doakan semoga dengan berkat kesabaran menjadi asbab hidayah buat suami untuk berubah.”
Mengakhiri coretan, wanita asal Terengganu dan berusia 39 tahun ini menitipkan sedikit ilmu untuk renungan para isteri yang berdepan masalah sebegini.
“Andai tidak berdaya lagi, carilah kebahagiaan sendiri tanpa bergantung kepada suami, dalam masa yang sama banyakkan berdoa kepada Allah, jangan hilang kepercayaan kepada-Nya.
Dalam membina keluarga yang harmoni, cuba mencari titik persamaan antara pasangan.
InsyaAllah semua ini boleh menjadi penawar mujarab dalam membina sebuah keluarga, suami isteri menjalani kehidupan yang diisi suka dan duka, saling menghormati serta berkasih sayang sepenuh jiwa, agar akhirnya dapat dibangkitkan di dalam Syurga bersama.” Ustazah Asma’ Harun
Sumber: Facebook Ustazah Asma’ Harun
This website uses cookies.