Ratu Balada Malaysia, Ziana Zain terus menggamatkan industri seni dengan pelbagai pencapaian cemerlang. Terkini, ibu tunggal itu dilantik sebagai duta rasmi CSA Academy, sekaligus membantu organisasi tersebut untuk mendidik para peminat Ziana agar merancang kewangan yang lebih tersusun dan cemerlang serta bebas hutang.
Ziana menyifatkan pelantikan sebagai duta rasmi CSA Academy sebagai satu penghormatan bukan hanya untuk dirinya, tetapi dia mempunyai tanggungjawab besar untuk menyebarkan informasi tentang pengurusan kewangan kepada semua.
“Saya melihat pelantikan ini sebagai sebuah penghormatan yang besar bukan untuk saya secara peribadi, tetapi bagaimana saya mampu mewakili, memikul tanggungjawab dan kepercayaan untuk menyebarkan informasi bagaimana kita semua mampu hidup bebas hutang melalui pengurusan kewangan yang betul dengan bantuan CSA Academy.
Sejujurnya saya sendiri suka perkara seperti ini (mewakili CSA Academy) kerana secara tidak langsung dapat bertemu ramai orang, dapat ilmu dan pengalaman baharu terutama bagaimana menguruskan kewangan.
“Maklumlah kadang-kadang kita berbelanja tidak sepadan dengan hutang, jadi CSA Academy membantu dengan memberi ilmu bagaimana menguruskan semuanya dengan bijak,” ujar Ziana.
Sementara itu, Pengasas & Pengarah Eksekutif CSA Academy, Dr Jay Ong berkata, pihaknya yakin pemilihan Ziana Zain adalah tepat memandangkan diva ini dikenali oleh berbilang kaum.
Ads
“Mengapa tidak Ziana Zain? Kami percaya sebagai rakyat Malaysia meski berbangsa India atau Cina dan tentu sahaja kaum Melayu semua kenal siapa Ziana Zain. Dia seorang legenda.
“Reputasi, integriti dan kredibiliti serta semangat juang yang ada dalam diri Ziana Zain adalah seiring dengan matlamat kami di CSA Academy untuk menuju kegemilangan serupa,” ujar Jay Ong.
Selain Ziana Zain, CSA Academy juga memiliki duta rasmi dalam kalangan individu berpengaruh termasuk Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan aktor berkaliber, Datuk Jalaluddin Hassan.
Majlis pelantikan pemilik nama sebenar Siti Roziana Zin sebagai duta rasmi CSA Academy berlangsung dengan jaya di Sunway Resort Hotel, Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor pada 9 Mac lalu.
Seiring dengan pelantikan ini, Ziana Zain juga dipertanggungjawabkan untuk menyanyikan sebuah lagu berjudul ‘Semangat Wira’ yang bakal dilancarkan pada Mei 2024.
Ads
“Semangat Wira menggambarkan keseluruhan perjuangan tanpa lelah dan putus asa yang dinyanyikan Ziana Zain khusus buat seluruh ahli CSA Academy,” ujar Dr Jay lagi.
Terdahulu CSA Academy diumumkan selaku penaja utama Konsert Ziana Zain 2024 yang bakal berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 25 Mei 2024.
Konsert Ziana Zain 2024 merupakan anjuran Anuar Zain Network Sdn Bhd dan Ziana Zain Network Sdn Bhd dengan kerjasama Altus ProHouse.
Bercakap mengenai kolaborasi mereka, Ziana berterima kasih kepada CSA Academy kerana menunaikan impian kembali mengadakan konsert selepas kali terakhir pada 2001 hampir menjadi realisasi.
Orangnya bukan saja tinggi lampai tapi memiliki rupa paras cantik dan kulit putih kemerahan. MasyaAllah, cantiknya ciptaan Tuhan. Pertama kali bertemu Ayana Jihye Moon, memang terpegun dengan kecantikan personaliti kelahiran Korea Selatan ini.
Dilahirkan pada 28 Disember 1995, Ayana menarik perhatian masyarakat di Malaysia dan Indonesia ekoran perjalanan hidupnya sebagai mualaf. Dia dikhabarkan tertarik dengan Islam sejak berusia tujuh tahun dan kemudian memutuskan untuk memeluk Islam ketika berumur 16 tahun dan masih menetap di Korea Selatan bersama keluarga.
Bagaimana pun, penghijrahan Ayana mendapat tentangan hebat daripada kedua-dua ibu bapa. Apatah lagi, komuniti Islam yang kecil di Korea Selatan dan kekangan peluang pekerjaan apabila dia berhijab memberi cabaran besar kepada jelitawan berusia 26 tahun ini.
Dalam temu bual Nona bersama Ayana tidak lama dahulu, wanita cantik ini mendedahkan, “Nama seperti Aishah atau Khadijah sudah menjadi pilihan ramai dan Ayana ialah nama Islam yang dipilih sendiri oleh saya kerana tertarik dengan nama tersebut yang membawa maksud bertuah.
Pada mulanya saya tidak begitu serius untuk memeluk Islam kerana saya hanya mahu ada pengetahuan tentang Islam. Namun, apabila saya mula bertemu dengan rakan-rakan beragama Islam yang baik, saya tertarik dengan agama ini dan mahu merasai sendiri pengalaman bergelar seorang Muslim.
Pada awalnya ibu dan ayah tidak setuju dengan keputusan saya untuk peluk Islam. Keadaan ini adalah normal di sana kerana tidak semua rakyat Korea sukakan orang Islam termasuk ahli keluarga sendiri. Tapi sampai sekarang saya sentiasa menghubungi keluarga untuk bertanya khabar dan masih melawat mereka di Korea,” ujar Ayana yang merupakan anak sulung daripada dua adik-beradik.
Di samping ibu tersayang
Sementara itu, memetik kenyataan Ayana kepada portal Popbela.com, “Sebelum pergi ke Malaysia, saya harus lakukan banyak pekerjaan sampingan di Korea Selatan seperti menjadi guru Matematik, menjual ikan kering di pasar dan bekerja sampingan di restoran kecil. Alhamdulillah saya dapat biasiswa penuh kerana saya adalah siswa teladan.”
Ayana memilih Malaysia pada tahun 2017 kerana mempunyai kenalan di sini. Pada tahun 2018, dia berhijrah pula ke Indonesia untuk bercuti dan seterusnya menjadi model.
Bersandarkan bakat dan rupa paras cantik yang dimiliki, Ayana turut bergelar personaliti YouTube dan menjadi duta bagi produk kecantikan di Indonesia. Dia juga menulis sebuah buku mengenai perjalanannya menuju Islam yang bertajuk Journey to Islam.
Tidak hairanlah Ayana menarik perhatian ramai masyarakat kerana personalitinya yang santai, mesra dan gemar tersenyum. Terpikat dengan kulit wajah mulus Ayana, ini amalan kecantikan yang dipraktikkan.
“Sebenarnya saya tidak ada rutin kecantikan khas untuk diamalkan Cuma saya akan bersihkan make up sebelum tidur dan pastikan muka saya bersih daripada sebarang kotoran. Selain itu, saya juga akan sapu krim pelindung matahari setiap hari sebelum keluar rumah kerana ia mampu melindungi kulit wajah.”
Kredit foto: Instagram Ayana Jihye Moon
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Makin menginjak usia, makin terserlah kejelitaan milik Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Dato’ Seri Fatimatuz Zahra’. Beliau yang merupakan puteri bongsu Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Terengganu ini kian menarik perhatian khalayak dengan aura dan pesonanya.
YAM Tengku Dato’ Seri Fatimatuz Zahra’ binti Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin menyambut ulang tahun keputeraan ke-21 pada 19 April lepas.
Ke mana saja pergi, penampilan anakanda KDYMM Sultan Mizan dan KDYMM Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah ini pasti menjadi tumpuan lensa kamera.
Beliau menjadi bualan warga maya selepas video memaparkan dirinya ketika menghadiri Islamic Fashion Festival pada 20 November lalu.
Beliau kelihatan cukup anggun berbusana tradisi indah rona merah jambu dan sentiasa mengukir senyuman manis.
Sekaligus terserlah sisi penuh kelembutan dan sesiapa saja yang memandang pasti tertawan dengan pesona puteri diraja Terengganu Darul Iman berkenaan.
YAM Tengku Puteri Daulath Raja memiliki tiga orang kekanda iaitu YAM Tengku Puteri Utama Raja Tengku Dato’ Seri Nadhirah Zahrah, Duli Yang Teramat Mulia Yang Di Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail dan Yang Amat Mulia Tengku Sri Setia Mahkota Raja Tengku Muhammad Mua’az.
16 Ogos lalu, beliau bersama YAM Tengku Puteri Utama Raja yang juga Pengerusi Yayasan Tuanku Nur Zahirah (YTNZ) berkenan melawat bengkel songket dan bengkel batik di Penjara Marang.
Untuk info, Tengku Fatimatuz Zahra’ dikurniakan Darjah Kemuliaan dan gelaran Tengku Puteri Daulath Raja menurut Adat Istiadat Negeri Terengganu Darul Iman pada 22 Julai 2019 bersamaan 19 Zulkaedah 1440 Hijrah.
Gelaran itu dikurniakan ayahandanya, KDYMM Sultan Terengganu Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.
Alhamdulillah, makin melimpah ruah rezeki Nor Farhatul Fairuzah Panut sejak dinobatkan selaku Johan Qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) pada April lalu. Selain sibuk menghadiri jemputan majlis ilmu… gadis berusia 19 tahun ini juga bijak merencana masa depan dan memanfaatkan kemenangan yang diraih ke jalan kebaikan. Memang patut dijadikan sumber inspirasi!
Hampir tiga bulan menyandang gelaran Johan Qariah termuda dalam sejarah MTHQA, Farha terus melangkah setapak ke hadapan dengan menceburi bidang perniagaan muslimah. Hujung Julai lalu, anak bongsu daripada lima beradik ini telah melancarkan koleksi hijab miliknya di bawah label Farha Looks. Selaku pengasas, dia bertanggungjawab memastikan produk keluarannya berkualiti dan paling utama ialah menepati syariah.
Bangga dengan pencapaian anak jati kelahiran Selangor ini. Muda-muda lagi sudah ada wawasan dan menambah ‘bekalan’ dunia serta akhirat. Dengar khabar, tudung bawal shawl Farha Looks dah banyak yang sold out! Di samping mengajak para muslimah menutup aurat dan berjinak-jinak dalam dunia keusahawanan, Farha turut mengambil pendekatan berdakwah melalui muzik.
10 Ogos lepas, single dakwah pertama Farha bertajuk ‘Bukti’ diperdengarkan kepada umum. Tumpang bahagia tengok kejayaan demi kejayaan yang dilakar gadis muda ini. Sudahlah pandai mengaji, punya ilmu agama, berpekerti baik, dan sekarang… bijak berniaga pula.
Masih segar lagi kenangan bertemu Farha ketika sesi fotografi bersama Nona, Mac lalu. Ditemani ibu tersayang, Hajah Jaliah Haji Simin… Farha mengakui dirinya cukup dekat dengan Al-Quran dan gemar bertarannum. Kongsi anak bekas Qariah, Allahyarham Haji Panut Haji Markum ini, ada saja masa terluang dia pasti akan mengalunkan bacaan ayat-ayat suci sepuas-puasnya.
“Kalau saya rasa bosan, perkara pertama yang saya buat ialah bertarannum. Tarannum ni dah jadi minat saya sejak dulu. Kiranya macam menyanyilah… cuma saya ‘nyanyi’ dengan cara saya sendiri iaitu dengan bertarannum,” ujarnya sambil tersenyum.
Mengimbas semula detik kemenangan Farhatul yang telah berjaya mengharumkan nama negara dalam bidang hafaz Al-Quran, pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu ini menewaskan peserta dari Indonesia dan Thailand dengan catatan markah tertinggi iaitu 86.67 peratus. Hasil kemenangan itu, Farhatul membawa pulang hadiah kepingan emas bernilai RM70, 000, piala iringan dan wang tunai RM40, 000.
Turut mencipta rekod cemerlang ialah Qari Malaysia iaitu Abdul Khair Jalil yang menjadi Johan Qari dalam pertandingan sama. Moga kejayaan mereka berdua dapat menggalakkan lebih ramai generasi muda mendalami Al-Quran.
Kredit foto: Instagram Farhatul Fairuzah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.