Kedudukan songsang bayi di dalam rahim adalah perkara biasa ketika awal kehamilan. Proses perubahan kedudukan bayi berlaku secara semula jadi pada minggu ke-28 hingga minggu ke-32.
Tapi jika kedudukan bayi masih tidak berubah, maka ibu hamil tersebut diklasifikasikan sebagai kandungan songsang. Namun, terdapat juga sebilangan kecil kes bayi mengubah kedudukan selepas dari tempoh tersebut.
Perkembangan bayi kandungan songsang
Seorang bayi terbentuk hasil persenyawaan sperma (daripada air mani lelaki) dan ovum (daripada kilang telur atau ovari). Proses yang berlaku di dalam salur Fallopian akan menghasilkan blastocyst.
Blastocyst itu pula akan berenang ke arah rahim dan seterusnya tertanam di dinding rahim. Blastocyst itu akan berkembang menjadi embrio. Embrio pula akan berkembang dan hidup dalam air mentuban (amniotic fluid). Kedua-duanya akan di kelilingi oleh selaput mentuban (membranes) dan uri (placenta)
Embrio seterusnya akan membentuk organ dalaman dan luaran di dalam semester pertama. Ini adalah waktu yang paling penting buat embrio tersebut. Kebanyakan embrio yang tidak sihat (akibat masalah kromosom atau jangkitan kuman misalnya) akan mengalami keguguran. Keguguran yang berlaku di dalam semester pertama kebanyakannya disebabkan oleh masalah pada bayi atau embrio.
Apabila masuk ke trimester kedua, kesemua anggota dan organ janin telah terbentuk. Proses tumbesaran berlaku dan organ-organ menjadi semakin matang. Trimester kedua bermula dari minggu ke-13 hingga ke-27.
Dalam masa yang sama janin akan menambahkan berat badannya. Pergerakan janin akan dirasai oleh ibu seawal usia kandungan 16 minggu (bagi ibu yang hamil kali pertama, mereka dilaporkan mula rasa pergerakan janin pada usia kandungan 20 minggu).
Trimester ketiga merupakan waktu di mana ibu dan janin menjadi semakin berat. Janin masih lagi bergerak dengan bebas dan aktif. Apabila usia kandungan mencecah 37 minggu, janin atau bayi akan mencari posisi yang sesuai untuknya. Pada waktu ini 3 peratus hingga 4 peratus bayi akan mengambil posisi songsang.
Tahukah anda?
Kandungan songsang bererti kedudukan yang paling bawah (berdekatan dengan pangkal rahim) adalah kaki atau punggung bayi. Kedudukan bayi songsang selalunya berlaku secara spontan, tidak ada sebab tertentu dan TIDAK dipengaruhi oleh cara kehidupan seseorang ibu tersebut.
Ramai yang bertanya adakah ia disebabkan oleh faktor pemakanan, faktor pekerjaan dan adakah kerana ibu hamil sering tidur ketika mengandung? Semuanya tidak berkaitan dan tidak menyebabkan kandungan menjadi songsang.
Namun ada beberapa faktor yang didapati boleh menggalakkan kedudukan songsang bagi bayi di dalam kandungan.
Faktor-faktor berikut adalah:
- Bayi yang besar dalam kandungan.
- Masalah air mentuban; terlalu banyak (polyhydramnios) atau kurang air ketuban (oligohydramnios).
- Ibu yang pernah mengalami kandungan songsang sebelum ini.
- Masalah uri di bawah atau placenta previa.
- Masalah kedudukan uri di sudut rahim (cornual placenta).
- Masalah bentuk rahim yang tidak normal (bicornuate misalnya).
- Masalah fibroid di dalam rahim ketika hamil.
- Kandungan kembar.
Kaedah membetulkan kedudukan bayi
Tidak ada cara tertentu untuk merawat kandungan songsang. Namun, ramai doktor boleh membantu untuk melakukan External Cephalic Version (ECV) untuk mengubah kedudukan bayi daripada songsang kepada cephalic agar lebih ramai wanita boleh bersalin secara normal.
Syarat-syarat sebelum prosedur ECV dilakukan;
- Bayi hendaklah matang.
- Kedudukan uri adalah normal.
- Air mentuban dalam keadaan normal.
- Dilakukan oleh doktor di hospital yang mempunyai kemudahan lengkap.
- Pesakit perlu sedar dan sanggup mengambil risiko-risiko yang diterangkan oleh doktor beliau.
Risiko-risiko yang dikaitkan dengan ECV termasuklah:
- Bayi akan bertukar menjadi songsang semula.
- Bayi boleh mengalami masalah lemas (fetal distress) ketika atau selepas prosedur ECV tadi.
- Ibu mengalami sakit atau sengal di bahagian otot abdomen selepas ECV.
- Ibu mengalami pendarahan akibat abruptio placenta yang berlaku akibat ECV.
- Ibu terpaksa tinggal di hospital selepas ECV untuk pemantauan ibu dan bayinya.
Memandangkan risiko-risiko tersebut, ECV tidak boleh dilakukan oleh bidan-bidan atau mana-mana kakitangan kesihatan di luar hospital. Begitu juga dengan kelahiran, bayi yang songsang hendaklah dilahirkan di hospital. Hamizatul Maizan Mohamed