Pertama kali mengenali wanita cantik ini adalah ketika sesi fotografi kira-kira lapan tahun lalu. Disifatkan seorang yang mudah mesra dan manja, Datin Nina Sabrina Datuk Seri Ismail Sabri cukup bertuah kerana selain dikurniakan rupa paras cantik, beliau juga mampu membuatkan sesiapa saja tertawan dengan pesona dirinya.
Meniti usia 34 tahun pada 6 April lalu, ibu kepada Jeannelle Nika Mandagie ini mempunyai cita rasa fesyen yang tinggi. Apa sahaja busana yang digayakan pasti tampak memukau dan terletak cantik. Apatah lagi, Datin Nina merupakan isteri pereka fesyen terkenal, Datuk Jovian Mandagie. Pasti jelitawan ini dapat bereksperimentasi dengan fesyen dan memberi idea menarik untuk rekaan suami tercinta.
Malah, Datuk Jovian Mandagie sendiri mereka busana perkahwinan buat isteri tercinta hasil gabungan idea dan kehendak mereka berdua. Sangat sentimental!
Mengimbas kembali detik diijab kabul, Datin Nina sah bergelar isteri kepada Datuk Jovian dengan hanya sekali lafaz pada 11 Disember 2013. Apa yang lebih mengujakan ialah mereka mengadakan majlis pernikahan di Balairong Seri Istana Negara Lama dan menjadi pasangan pengantin pertama yang melangsungkan perkahwinan di sana sebelum ia dibuka secara rasmi kepada orang ramai.
Sepanjang mengenali Datin Nina, beliau sememangnya seorang yang menyenangkan. Walau berstatus anak kepada menteri ketika itu namun beliau cukup merendah diri dan bijak menyusun kata.
Bersempena pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri semalam… perkhabaran itu sudah tentu menjadi berita gembira buat Datin Nina yang menyaksikan sendiri betapa bapa tersayang komited dengan amanah yang diberikan kepadanya.
Berkongsi momen di samping bapanya sekitar tahun 2014 ketika sambutan Hari Bapa Jun lalu, ini luahan Datin Nina. “This picture was taken in 2014. When your hair was still black. Happy Father’s Day to the best Papa and Atok in the whole wide world. My only wish is for you to get your much needed sleep and rest soon. Love you.”
Berikut Nona kongsikan temu bual bersama Datin Nina ketika penggambaran Nona 3 Dekad kira-kira lapan tahun lalu. Melalui temu bual, jelas mencerminkan siapa dirinya yang sebenar.
Karakter anda?
Saya sangat sukakan kanak-kanak dan pernah menjadi sukarelawan untuk menjaga kanak-kanak ketika masih menuntut di University of Queensland, Australia. Rasa kagum terhadap perwatakan seorang puteri yang memiliki sikap penyayang dan cantik menyebabkan saya gemar berpenampilan anggun dan menawan persis seorang puteri.
Mantera fesyen?
Oh, I love colorful and pastel fancy things! Saya gemar mengenakan gaya feminin dengan memakai gaun berbanding pants. Dalam bergaya tidak perlu mengenakan banyak aksesori kerana bagi saya, less is more.
Aktiviti di waktu senggang?
Membaca, memasak dan saya suka ‘Google’ bermacam-macam benda untuk tahu sesuatu perkara itu dengan lebih lanjut. Resipi masakan saya tentunya masakan tradisional seperti ayam masak merah dan sambal belacan. Tambahan pula, Jovian sangat sukakan masakan tersebut.
Sumber inspirasi anda dalam dunia fesyen.
Saya kagum dengan personaliti Olivia Palermo dan Kate Middleton yang kelihatan sangat bergaya dan classy.
Jenama kegemaran anda?
Untuk kasut, saya sukakan jenama Prada dan Salvatore Ferragamo. Bagi aksesori dan beg tangan pula, Chanel menjadi pilihan. Sementara busana, Jovian Mandagie.
Destinasi percutian idaman?
Beach! Apabila bercuti di pantai atau pulau, saya tidak perlu bermekap atau mengusung gajet-gajet canggih. Cukup menenangkan! Destinasi percutian pilihan saya tentunya
di Vanuatu Island, Bali, Phuket, Pulau Perhentian dan Pulau Tioman.
Individu paling anda kagumi?
Tentunya kedua ibu bapa saya. Saya begitu kagum dengan semangat papa terutama dalam urusan perniagaan. Beliau bijak menguruskan perniagaan dan komited dengan pekerjaan yang dilakukan. Sementara sikap rendah diri dan penyayang mama dalam mendidik kami adik-beradik dan menjaga keluarga menjadi contoh terbaik yang wajar diteladani.
Tatkala ditanya impian beliau sekitar lapan tahun lepas, Datin Nina berkata beliau berhasrat untuk mengusahakan salun kecantikan rambut yang dikhaskan untuk golongan wanita berhijab. Tidak hanya pekerja salun bahkan pelanggan juga terdiri daripada kaum wanita sahaja di samping menggunakan hanya produk organik yang mendapat pengiktirafan sijil halal.
Kini, kakak kepada penyanyi Dafi ini membuktikan impiannya bukan sekadar angan-angan kosong. Berkat kerja keras dan sokongan padu keluarga, Datin Nina berjaya mengusahakan salun yang diimpikan iaitu Capello by Nina di empat lokasi strategik iaitu Shah Alam, Bangi, Ampang dan Johor.
Selain menguruskan Capello by Nina, isteri Datuk Jovian ini juga merupakan pemilik pusat asuhan kanak-kanak Peterana Kindergarten. Walau sibuk dengan perniagaan namun ibu seorang anak tersebut tetap aktif menjalani gaya hidup sihat dan gemar melakukan aktiviti berbasikal bersama suami tercinta. Kagum tengok semangat dan aura Datin Nina Sabrina!
Kredit foto: Instagram Datin Nina Ismail Sabri