Kahwin Dua Pupu, First Lady of Qatar Sheikha Jawaher Al Thani Miliki Sarjana Seni & Ibu Anak 4!

Sebagai sebuah negara Islam dengan anggaran populasi sekitar 3 juta orang, Nona tertarik melihat keanggunan ‘First Lady of Qatar’ iaitu Sheikha Jawaher Al Thani. Berusia 38 tahun, gaya elegan dan kecantikan semula jadi Baginda Permaisuri mencuit perhatian, ditambah lagi sifat cintakan ilmu yang menebal dalam jiwa isteri Emir Qatar tersebut.

Merupakan sebuah negara monarki diraja, Yang Mulia Sheikh Tamim menerima kuasa pemerintahan daripada ayahandanya, Yang Mulia Sheikh Hamad bin Khalifa Al Thani.

Ketika menaiki takhta pada tahun 2013, Sheikh Tamim yang ketika itu baru berusia 33 tahun mencatat sejarah sebagai raja termuda berkuasa di negara Teluk Arab.

Emir Qatar dan isteri ketika menghadiri istiadat pemakaman Ratu Elizabeth II

 

Namun sebelum itu pasti ramai yang masih mengingati keanggunan bonda Sheikh Tamim, Sheikha Moza bint Naseer yang cukup dikagumi oleh ramai wanita.

Seorang yang aktif dalam bidang kebajikan, Sheikha Moza juga terlibat dengan pelbagai kerja amal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta pernah diangkat sebagai di antara 100 Wanita Paling Berkuasa Di Dunia.

Kehebatan Sheikha Moza sering menjadi inspirasi pemimpin wanita. Kini selepas takhta Qatar diambil alih oleh anaknya, ramai yang berharap agar First Lady of Qatar yang terkini iaitu Sheikha Jawaher meneruskan legasi ibu mertuanya.

Fesyen Sheikha Moza sering menjadi inspirasi

 

INSPIRASI

Sebagai Emir Qatar yang disegani dunia, Sheikh Tamim banyak membawa perubahan kepada negara pengeluar petroleum dan gas asli itu.

Antaranya melakar sejarah sebagai negara pertama di Timur Tengah diberi penghormatan menganjurkan Piala Dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2022.

Sheikha Jawaher merupakan isteri pertama Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani. Baginda berdua berkahwin pada tahun 2005 dan bergelar permaisuri apabila suaminya menaiki takhta pada tahun 2013.

Sosok permaisuri berusia 38 tahun ini jarang menjadi perhatian media malah ketika baginda berkunjung ke Madrid, Sepanyol pada Mei 2022, ia menjadi penampilan perdananya secara rasmi, kira-kira sembilan tahun selepas diangkat sebagai Permaisuri Qatar.

 

 

Pertemuan pasangan diraja Sheikh Tamim dan Sheikha Jawaher bertemu Raja Felipe VI dan Ratu Letizia di Istana Zarzuela, Sepanyol itu ternyata menjadi perhatian media.

Tampil elegan dalam balutan kemeja dan celana panjang rona putih krim, penampilan Sheikha Jawaher disempurnakan dengan sepasang kot labuh Chanel juga dalam rona serupa.

Dalam pertemuan diplomatik tersebut, baginda telah dianugerahkan pingat Dame Grand Cross of The Royal Order of Isabella the Catholic oleh Raja Felipe.

 

 

Berdasarkan sumber, Sheikh Tamim dan Sheikha Jawaher merupakan dua pupu. Sheikha Jawaher adalah salah seorang kerabat diraja Qatar dan merupakan puteri bekas Menteri Sheikh Hamad bin Suhaim Al Thani.

Pasangan diraja Qatar ini melangsungkan pernikahan pada 8 Januari 2005 di Istana Al Wajbah. Baginda berdua dikurniakan empat cahaya mata terdiri dua putera dan dua puteri bernama Sheikha Al Mayassa, 16 tahun; Sheikh Hamad, 14 tahun; Sheikha Aisha, 12 tahun; dan Sheikh Jassim, 10 tahun.

Seorang yang cantik dan pintar, baginda Sheikha Jawaher berjaya menamatkan pengajian di Universiti Qatar dan menggenggam Ijazah Sarjana Seni pada tahun 2021. Namanya membawa maksud yang indah dalam Bahasa Arab iaitu jawaher yang bererti ‘permata’.

Share
Published by
Norzalina