Isteri Putera Mahkota Brunei, Yang Teramat Mulia (YTM) Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah sememangnya mempunyai aura tersendiri. Bukan hanya dikurniakan raut wajah cantik dan penuh kelembutan bahkan memiliki keperibadian yang disenangi ramai.
Mendekati personaliti diraja Brunei ini, YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah dilahirkan pada 9 April 1987 di Bandar Seri Begawan. Pengiran Anak Sarah mendapat pendidikan awal di St. Andrew’s School dari tahun 1993 hingga 1998.
Kemudian menyambung pengajian di Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan dan berjaya lulus peringkat O Level pada tahun 2003 semasa berusia 16 tahun. Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah seterusnya menyambung pelajaran ke Universiti Brunei Darussalam dan menerima Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Dasar dan Pentadbiran Awam pada Oktober 2010.
YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah menjadi isteri Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al Muhtadee Billah pada 9 September 2004. Ketika itu, Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berusia 17 tahun sementara DYTM Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al Muhtadee Billah berumur 30 tahun.
Istiadat persandingan pasangan diraja ini diadakan di Istana Nurul Iman dengan penuh gilang-gemilang dan mendapat gelaran ‘Asian Wedding of The Decade’ oleh media antarabangsa.
Kedua-dua pasangan mempelai diarak dengan menaiki Kenderaan Diraja ke seluruh Bandar Seri Begawan sejauh lapan kilometer dengan diiringi 103 buah kenderaan kerabat diraja.
Ketika majlis istiadat bersanding, pengantin perempuan memakai persalinan songket Brunei warna biru laut, kerongsang, rantai leher dan tiara milik Raja Isteri Pengiran Anak Saleha. Manakala bunga tangan pula dikatakan keseluruhannya diperbuat daripada emas.
Majlis turut dihadiri Raja-Raja Melayu, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan orang kenamaan serata dunia antaranya Putera Mahkota Jepun, Putera Naruhito, Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo, Presiden Indonesia, Megawati Sukarnoputri dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsein Loong.
Hasil perkongsian hidup selama hampir 17 tahun, DYTM Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al Muhtadee Billah dan YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah dikurniakan dua putera iaitu Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Abdul Muntaqim dan Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman serta dua puteri, Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’ Raihaanul Bolkiah.
Kredit foto: Instagram Brunei Royal Family