
Datuk Dr Mohd Nazri Khan Adam Rasol Khan yang terkenal dengan tagline ‘Tak Handsome Tak Apa Janji Kaya’ selamat bernikah dengan Tuan Nor Ernie Rossmeris Tuan Zahari, 25, yang juga pelajarnya. Mereka berdua selamat bernikah kelmarin, sebelum diraikan pada majlis gilang-gemilang di sebuah hotel di ibu kota, semalam.
Mohd Nazri berkata, bukan mudah untuk menambat hati isterinya itu kerana perbezaan umur yang jauh antara mereka.
“Beza umur kami 22 tahun. Bukan mudah nak tawan hatinya. Tapi Alhamdulillah kami selamat bernikah pada Jumaat. Sebenarnya hari ini (semalam) genap setahun kami berkenalan.
“Kami berkenalan ketika saya menyampaikan satu ‘talk’ di sebuah universiti. Asalnya saya mengajar saham. Tapi apabila dah lama kenal, saya jumpa keluarganya. Kiranya, jumpa September tahun lalu dan Februari kami mulai serius. Jadi, lebih kurang tujuh bulan saja perhubungan kami sebelum ambil keputusan berkahwin,” katanya.
Menurutnya, dia jatuh cinta pandang pertama dengan isterinya kerana lemah lembut dan keperibadian dimiliki. “Isteri sangat manja, dia pelajar, dengar cakap dan mudah dibentuk. Jadi saya rasa macam ada satu pengecualian dalam hidup saya sebagai orang korporat. Apabila jumpa dia, kami tak bincang mengenai dunia korporat. Jadi, ia lain daripada kehidupan saya.
“Pada mula saya tengok dia, saya suka dia sebab kelembutan dimiliki dan dia manja. Kami macam ada keserasian terus dan tak rasa saya ni macam orang tua. Bagi saya, beza umur ni tak ada masalah dari awal berkenalan. Saya tak pernah jumpa budak muda yang boleh berborak dengan orang tua macam saya macam kawan-kawan,” katanya.
Dalam masa sama, Mohd Nazri berkongsi itu adalah perkahwinan kedua buatnya selepas berpisah dengan isteri pertama. “Ini perkahwinan kedua saya. Secara rasmi, hidup menduda sekejap saja. Kalau tak rasmi dah lama tak tinggal bersama dan tak sehaluan tu sudah setahun,” katanya.
Sumber dan Foto: Sudirman dari HARIAN METRO
Terima Suntikan Vaksin COVID-19 Di Usia 94, Ratu Elizabeth II Antara Penerima Awal

Sebagaimana yang diketahui negara Britain merupakan antara negara yang merekodkan kes postif jangkitan pandemik COVID-19 tertinggi dunia. Negara itu telah memberi kelulusan kepada vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech, memberi keutamaan kepada golongan kategori berisiko termasuk mereka yang berusia 80 tahun ke atas.


Oleh itu, Ratu Elizabeth II yang kini berusia 94 tahun bersama Duke of Edinburgh, 99 tahun merupakan golongan kategori berisiko telah diberi keutamaan mengikut sistem pemberian vaksin Britain. Menurut jurucakap Istana Buckingham pemberian suntikan tersebut diberikan oleh seorang doktor di kediaman Istana Windsor.


Pewaris takhta, Putera Charles pernah dilaporkan positif COVID-19 dan menjalani kuarantin pada bulan Mac tahun lalu dan diikuti pula cucu Ratu Elizabeth iaitu Putera William yang dikesan postif COVID-19 pada April tahun lalu.


Sejumlah tokoh berprofil tinggi di Britain menyatakan komitmen secara terbuka untuk mendapatkan vaksin seperti yang dilaporkan oleh Daily Mirror. Antara yang menawarkan diri ialah bintang Monty Phyton, Michael Palin dan Bob Geldof.


Dalam pada itu, Ratu Elizabeth II ini telah mencipta sejarah dunia apabila menjadi raja pemerintah tertua di dunia iaitu selama 66 tahun. Baginda telah ditabalkan sebagai Ratu England pada 2 Jun 1953. Seperti yang kita tahu, Putera Charles merupakan pewaris takhta kerajaan ini. Pada 21 April akan datang Ratu Elizabeth II akan menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-95.



Jaga kesihatan masing-masing di musim pandemik dan banjir sekarang. Kalau ada yang mencari vitamin C atau suplemen lain boleh cari di sini.
Tragedi RUMAH TERBUKA, Kaum Wanita Patut Ambil Iktibar!

Bait-bait lagu Tan Sri P Ramlee menyergah petang yang damai, “Andai dipisah lagu dan irama, lemah tiada berjiwa, hampa”. Ahh, rindu aku pada Zaleha, aku rindukan gelak tawanya, gurau sendanya, lebih-lebih lagi keletah manjanya. Masih aku ingat saat perkenalan kami di rumah terbuka seorang teman. Dia kelihatan begitu anggun berbaju kebaya merah, rambutnya yang diikat rapi menyerlahkan lagi wajah mulusnya. “Cantiknya dia ni.” getus hati kecil ku. Siapa sangka perkenalan kami di situ membawa aku ke mahligai cinta. Saat awal perkahwinan semuanya indah, namun satu perkara yang aku tidak pernah tahu tentang dia, kompetitif! Suka membanding-bandingkan. Lama aku bersabar dengan sikapnya yang tidak suka kalah dari segala segi, penampilan, gaya dan apa sahaja yang dilakukan. Kesabaran aku sampai ke kemuncak dan aku menangis saat jatuhnya talak! Allahuakbar!
Segala-galanya bermula Ramadan tahun lalu, satu bulan yang amat aku nanti-nantikan. Umat Islam menadah syukur kerana dipertemukan dengan bulan penuh keberkatan ini. Aku? Bukan bulan biasa, bulan ini memberi aku satu ujian yang maha besar. Tibanya Ramadan, Zaleha bukan sibuk menggandakan ibadah, puas aku mengajaknya ke masjid namun ditolak mentah-mentah. “Alah abang malaslah saya nak pergi masjid, abang pergilah seorang. Bukannya saya ada kawan pun kat masjid tu. Saya solat kat rumah je.” Ujar Zaleha.
Bak kata lirik, kerana sayang aku turutkan, itulah aku. Namun jika ada majlis di masjid, Zalehalah yang paling berkobar-kobar, namun bukan kerana ibadah, semuanya untuk menunjuk-nunjuk juadah yang disediakan, segala-galanya over the top. Dari baju ke persalinan sembahyang semuanya berlebih. Bila ditegur dia melenting. “Alah abang ni, saya pakai cantik-cantik buat makanan yang mahal-mahal nak hidang ni abang juga yang bangga, orang puji saya.” Rungut Zaleha. Sayang, tahukah engkau aku mahu engkau seperti isteri-isteri yang lain, bersederhana dari segala segi. Tahukah engkau ramai yang merungut dan meluat dengan sikap mu yang suka menunjuk-nunjuk?
Semakin hampir dengan Ramadan, satu perkhabaran buruk singgah di meja. Syarikat mengalami masalah kewangan dan perlu ditutup. Satu perkara yang tidak aku sangka akan terjadi sebelum tibanya hari lebaran. Pulang ke rumah, aku khabarkan perkara ini kepada Zaleha. “Sayang, I just lost my job, everybody in my company. Syarikat I akan ditutup.” Luah aku pada Zaleha, mengharap suntikan semangat darinya. “What? U kene berhenti? Habis tu macam mana? Ehh kita ada duit lagikan? Siapa nak beli barang-barang persiapan raya. U jangan buat hal. Tahun ni I nak buat rumah terbuka besar-besaran. I dah bagi tahu kawan-kawan I semua tau!” Tegas Zaleha.
Tersentak jantung mendengar kata-kata Zaleha, bukannya tiupan semangat yang aku peroleh, malah amaran pula yang aku terima. Aku menerangkan kepada Zaleha, jangan risau kerana masih punya simpanan, namun harus berjaga-jaga kerana sekarang aku menganggur dan bukan mudah untuk mencari pekerjaan pada zaman yang mana ekonomi tidak menentu.
Lebaran hampir tiba, Zaleha hampir setiap hari keluar mencari barangan untuk rumah terbuka. Dengan hiasan rumah baru, tempahan perabot baru. Aku bertanya, “Sayang, kenapa membazir sangat, kan masih elok semua barang-barang yang sedia ada?” Dia hanya menjawab “Abang, saya guna duit saya tau, nak harapkan abang tak merasalah saya nak buat rumah terbuka besar-besaran. Dah la tu, bila saya suruh keluarkan wang simpanan abang tak mahu. Jadi jangan ambil tahu mana saya dapat duit ini semua.” Ya, semestinya itu duit yang aku berikan setiap bulan sebagai duit poket mu.
Lebaran tahun ini di sambut meriah di kampung, tiba sahaja hari kedua, Zaleha tidak senang duduk. Dia mahu pulang cepat ke rumah bagi menyiapkan persiapan rumah terbuka impiannya. ‘’Sayang, I tak puas lagi beraya kat kampung,” ujar ku kepada Zaleha. “Eh abang ni, macam budak kecil, lain kali kita balik lah lagi.. Lagipun dah rimas dah saya kat kampung ni. Saya nak balik, nak siapkan segalanya untuk rumah terbuka kita,” bebel Zaleha.
Tiba hari rumah terbuka, khemah dipasang seperti kenduri. Zaleha menjemput rakan-rakannya yang terdiri daripada kalangan VIP. Memang segala-galanya sempurna, hidangan yang begitu panjang mengalahkan bufet di hotel. Hati sedikit hairan memikirkan bagaimana Zaleha boleh mengadakan majlis sebesar ini. “Banyak sangat ke duit yang aku berikan setiap bulan sampai boleh buat majlis besar seperti kenduri?” Zaleha begitu bangga mendabik dada, bermegah-megah dengan teman-temannya yang kagum dengan majlis yang diadakan.
Aku tahu, Zaleha mahu menunjuk kepada teman-temannya yang rata-rata anak-anak orang kenamaan. Usai majlis aku sekali lagi bertanya lembut kepada Zaleha, “Sayang boleh abang tanya? Banyak sangat ke duit yang sayang simpan sampai boleh buat rumah terbuka macam kenduri ni? Paling tak makan belanja dua puluh ribu ni.” Zaleha hanya menjawab ringkas, “Alah abang, abang tak tengok ke semua orang kagum dengan kita? Maruah kita juga yang jadi tinggi kan? Kalau saya ambil duit abang pun tak salahkan? Bukannya habis pun!” Aku hanya mendiamkan diri mendengar kata-kata sinis isteri ku itu.
Hujung bulan tiba, seperti biasa bil-bil mendatang dan aku terkejut melihat bil kad kredit yang melambung tinggi. Bulan lepas penggunaan mencecah 22 ribu ringgit!! Mata aku seakan berpinar dan terkejut, tidak pernah aku menggunakannya seperti itu. Lantas aku teringat kata-kata Zaleha. Aku seperti orang gila dan terus menyergah isteriku itu, “Leha, u guna kad kredit I untuk rumah terbuka?” Dia hanya menjawab selamba, “Eh, salah ke saya nak guna, sayakan isteri abang! Lagipun abang dah ada kerja kan.. Bayar je la!”
Saat itu tahap kesabaran telah meninggi dan dengan lancarnya mulut ini berkata “ Zaleha binti Zaidi, aku ceraikan engkau dengan talak satu!” Saat itu wajah Zaleha berubah dan dia terjelepok ke lantai seperti orang meroyan. “Abang gila ke ceraikan saya, mana saya nak pergi. Saya sayangkan abang!!”
Sayang-sayang buah kepayang, tidak akan aku makan Zaleha. Aku berlalu pergi meninggalkan rumah demi mencari kedamaian. Kini lebaran tiba lagi, dan aku pasti teringat peristiwa itu. Dengarnya Zaleha ligat mencari kekasih baru, tetapi sayang semuanya tidak setia padanya. Selamat tinggal Zaleha, semoga Allah memelihara kesejahteraan.
Tema FAIRYTALE, Inilah Busana Fantasi Terbaik Rizman Ruzaini Buat Resepsi Sahabat Baik #FATTZURA

Berakhirlah sudah penantian peminat #fattzura untuk melihat pasangan romantis ini disatukan di atas mahligai serba indah yang ditunggu-tunggu selama ini.
Majlis resepsi Fattah dan Fazura yang diadakan di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur menjadi saksi pasangan sama cantik sama padan dalam busana perkahwinan penuh fantasi berarak menuju ke astana cinta seperti dalam kisah dongeng.
Pelaminan cinta dihiasi bunga segar dan penuh magis hasil rekaan Reka Teemor menemani Fattah dan Fazura dalam persalinan memukau rekaan pereka tersohor Rizman Ruzaini. Fairytale, menjadi tema dan konsep buat majlis resepsi pasangan sejoli ini.
Pada malam ini, pastinya busana yang dipakai kedua-dua mempelai menjadi perhatian ramai.
Mungkin ramai yang tidak tahu cerita di sebalik busana yang direka oleh sahabat baik mempelai iaitu Rizman Ruzaini. Penulis sempat menemu bual pereka terkenal ini untuk bertanyakan dengan lebih terperinci mengenai busana yang dipakai oleh Fattah dan Fazura.
Jom ikuti temubual eksklusif Nona bersama Rizman Ruzaini!
Boleh ceritakan sedikit tema & konsep busana perkahwinan Fattah & Fazura?
Tema dan konsep busana perkahwinan Fattah & Fazura ialah fairytale. Untuk Fattah, kami memilih rekaan yang lebih klasik dimana beliau memakai sut hitam yang dipadankan dengan bow tie dan vest putih.
Fazura pula akan menggayakan dua pasang busana iaitu busana pertama yang lebih bersifat Inggeris, timeless dan princessy manakala bagi busana yang kedua pula, berona merah jambu yang diberi suntikan couture dimana kami menyuntik perincian rama-rama buat busana tersebut bagi menyerlahkan tema dan konsep fairytale itu sendiri.
Bagaimana boleh tercetusnya idea untuk mengilhamkan busana ini?
Daripada perbincangan kami bersama Fattah dan Fazura sendiri. Fattah dan Fazura melontarkan idea busana bagaimana mereka inginkan termasuk dari segi pemilihan rona, potongan dan lain-lain lagi. Dari situ, kami berbincang lebih lanjut dan seterusnya kami buat lakaran busana kedua-dua mempelai dan terhasillah busana yang disarung oleh Fattah dan Fazura pada malam ini.
Apakah fabrik dan pilihan warna yang digunakan?
Untuk busana pertama Fazura, kami menggunakan fabrik sekuin, lace dan Italian tulle. Manakala untuk busana kedua, kami menggunakan fabrik fancy lace. Dari segi perincian untuk busana kedua ini, kami menghasilkan sendiri dimana kami membuat perincian berbentuk rama-rama menggunakan diamond. Selain itu, terdapat juga perincian lace bersama batu permata pada busana Fazura.
Apakah inspirasi di sebalik gaun resepsi Fazura?
Inspirasi busana Fazura ialah terjemahan Fazura sebagai seorang princess dalam dunia fairytale. Dalam erti kata lain, jika Fazura seorang princess, begitulah busana beliau. Jadi kami cuba hasilkan busana daripada inspirasi tersebut buat busana Fazura.
Adakah Fattah & Fazura menyumbang idea untuk merealisasikan busana perkahwinan mereka?
Memang benar, Fattah dan Fazura ada menyumbangkan idea dalam menghasilkan busana perkahwinan mereka. Dalam pada masa yang sama, kami turut curahkan idea kami bagi merealisasikan busana impian mereka. Kiranya, ia adalah gabungan idea kami bersama Fattah dan Fazura.
Berapa lamakah tempoh menyiapkan baju perkahwinan mereka?
Tempoh untuk menyiapkan baju perkahwinan mereka mengambil masa lebih kurang dua bulan untuk kesemua busana.
Apakah cabaran sepanjang menyiapkan busana perkahwinan Fattah & Fazura?
Sejujurnya, tiada cabaran dalam menghasilkan busana perkahwinan Fattah dan Fazura. Kami dan Fazura saling mengenali antara satu sama lain dan kami tahu cita rasa beliau dalam menghasilkan sesuatu busana. Pada kami, sememangnya tiada cabaran dalam menghasilkan busana perkahwinan beliau. Mungkin cabaran yang boleh dikatakan di sini ialah buat Fazura sendiri untuk menggayakan busana ball gown pada majlis resepsi beliau.
Apakah perkara yang paling istimewa tentang busana perkahwinan Fattah & Fazura yang orang tidak tahu?
Kami boleh katakan, perkara istimewa pada busana Fazura ialah dari segi perincian dimana kami mereka sendiri perincian pada busana Fazura. Perincian berbentuk rama-rama yang boleh dilihat pada busana Fazura adalah rekaan kami sendiri dan kami menghasilkannya sendiri menggunakan diamond.
Adakah baju perkahwinan Fazura merupakan rekaan yang paling istimewa sepanjang Rizman Ruzaini dan Faz bekerjasama?
Ya, busana ini merupakan busana paling istimewa yang pernah kami hasilkan buat Fazura. Bila bercakap mengenai busana perkahwinan, tentu sahaja ia menjadi busana paling istimewa buat Fazura. Kami mencurahkan seluruh ilham dan fokus sepenuhnya buat busana perkahwinan beliau.
Semua orang mengetahui Rizman Ruzaini dan Faz adalah BFF, jadi apakah perasaan Rizman Ruzaini dapat mereka sendiri busana perkahwinan Fazura?
Kami sangat berbesar hati dan berterima kasih pada sahabat baik kami, Fazura kerana memilih Rizman Ruzaini untuk menghasilkan semua busana perkahwinan beliau. Alhamdulillah, terima kasih tak terhingga diucapkan dan kami sebagai sahabat cuba memberi yang terbaik buat beliau.
Resepsi Fattah & Fazura adalah saat yang paling ditunggu-tunggu oleh netizen dan terutamanya para peminat #fattzura. Adakah Rizman Ruzaini merasa ia satu tanggungjawab atau mungkin satu ‘beban’ yang besar?
Sedikit sebanyak kami merasa terpikul dengan tanggungjawab ini kerana kita semua tahu majlis resepsi ini amat ditunggu-tunggu oleh semua peminat Fazura. Ia bukanlah beban, tapi mungkin dikatakan sedikit pressure buat kami. Namun, kami cuba buat yang terbaik untuk sahabat kami dan kami percaya jika kami buat dengan ikhlas, InsyaAllah ia akan berhasil dengan baik.
Adakah Rizman Ruzaini merasakan resepsi Fattah & Fazura layak digelar sebagai ‘Wedding of The Year’?
Kami rasa perkara ini akan dilabel oleh peminat-peminat mereka sendiri. Kami tiada komen cuma apa yang boleh dikatakan, kami berharap majlis ini berjalan dengan lancar dan sempurna. Kami amat mengenali Fazura dan Fattah dengan baik dan kami berharap agar majlis perkahwinan mereka dipermudahkan. InsyaAllah gelaran ‘Wedding of The Year’ akan menjadi milik mereka namun berbalik pada peminat mereka untuk melabelkannya.
Apakah emosi atau perasaan Rizman Ruzaini yang bermain di dalam jiwa saat melihat rakan baik anda disatukan? Boleh kongsikan sedikit?
Sudah tentu kami agak beremosi kerana Fazura merupakan sahabat kami. Sebagai sahabat, kami pasti merasa gembira saat beliau berkongsikan pada kami tentang lamaran Fattah dan ingin mendirikan rumah tangga. Lebih 10 tahun kami mengenali beliau, beliau seorang sahabat yang amat mementingkan persahabatan dan kami merasakan inilah detik paling penting buat beliau. Kami mengharapkan perkahwinan beliau berkekalan hingga ke anak cucu dan bahagia hingga ke Jannah.