Datuk Dr Mohd Nazri Khan Adam Rasol Khan yang terkenal dengan tagline ‘Tak Handsome Tak Apa Janji Kaya’ selamat bernikah dengan Tuan Nor Ernie Rossmeris Tuan Zahari, 25, yang juga pelajarnya. Mereka berdua selamat bernikah kelmarin, sebelum diraikan pada majlis gilang-gemilang di sebuah hotel di ibu kota, semalam.
Mohd Nazri berkata, bukan mudah untuk menambat hati isterinya itu kerana perbezaan umur yang jauh antara mereka.
“Beza umur kami 22 tahun. Bukan mudah nak tawan hatinya. Tapi Alhamdulillah kami selamat bernikah pada Jumaat. Sebenarnya hari ini (semalam) genap setahun kami berkenalan.
“Kami berkenalan ketika saya menyampaikan satu ‘talk’ di sebuah universiti. Asalnya saya mengajar saham. Tapi apabila dah lama kenal, saya jumpa keluarganya. Kiranya, jumpa September tahun lalu dan Februari kami mulai serius. Jadi, lebih kurang tujuh bulan saja perhubungan kami sebelum ambil keputusan berkahwin,” katanya.
Menurutnya, dia jatuh cinta pandang pertama dengan isterinya kerana lemah lembut dan keperibadian dimiliki. “Isteri sangat manja, dia pelajar, dengar cakap dan mudah dibentuk. Jadi saya rasa macam ada satu pengecualian dalam hidup saya sebagai orang korporat. Apabila jumpa dia, kami tak bincang mengenai dunia korporat. Jadi, ia lain daripada kehidupan saya.
“Pada mula saya tengok dia, saya suka dia sebab kelembutan dimiliki dan dia manja. Kami macam ada keserasian terus dan tak rasa saya ni macam orang tua. Bagi saya, beza umur ni tak ada masalah dari awal berkenalan. Saya tak pernah jumpa budak muda yang boleh berborak dengan orang tua macam saya macam kawan-kawan,” katanya.
Dalam masa sama, Mohd Nazri berkongsi itu adalah perkahwinan kedua buatnya selepas berpisah dengan isteri pertama. “Ini perkahwinan kedua saya. Secara rasmi, hidup menduda sekejap saja. Kalau tak rasmi dah lama tak tinggal bersama dan tak sehaluan tu sudah setahun,” katanya.
Sumber dan Foto: Sudirman dari HARIAN METRO
Leka Hidup Glamor & Tak Berhijab Sempurna, HALIMA ADEN Nekad Bersara Dunia Fesyen!
Jika Ilhan Omar berjaya mencipta sejarah selaku Anggota Kongres Wanita Pertama Amerika Syarikat yang beragama Islam, Halima Aden pula mengangkat martabat wanita Muslim di peringkat antarabangsa dalam bidang fesyen dan peragaan. Kalau sebelum ini masyarakat dunia agak skeptikal menerima wanita berhijab… kini penampilan dua ikon hebat ini semakin diterima baik dan menjadi inspirasi ramai wanita.
Dilahirkan pada 19 September 1997, Halima Aden merupakan aktivis dan model terkemuka kelahiran Amerika-Somalia yang sedang meniti puncak kerjaya hari ini. Meskipun baru ‘terjun’ ke dunia peragaan dan fesyen, wanita cantik ini sudah pun meraih pelbagai pencapaian membanggakan. Secara tidak langsung, penglibatan Halima dalam bidang glamor ini membuka mata penduduk dunia mengenai kemampuan wanita Islam.
Di kota fesyen terkenal seperti New York, London dan Milan… Halima dikenali peminat fesyen kerana penampilannya yang unik ketika menggayakan hijab, headwrap dan turban. Lebih-lebih lagi tatkala berjalan di pentas peragaan. Sering menghiasi muka depan majalah fesyen popular, pertunjukan fesyen berprestij dan kempen jenama mewah, Halima juga tidak terlepas menjadi buruan agensi model antarabangsa. Dia merupakan salah seorang ahli IMG Models yang membariskan model terkenal seperti Bella Hadid, Gigi Hadid, Gisele Bunchen, Miranda Kerr, Hailey Bieber, Karlie Kloss dan Kate Moss. Nama-nama hebat tu!
Mengimbas kembali perjalanan karier Halima, auranya mula bersinar sejak dia menyertai pertandingan ratu cantik Miss Minnesota pada tahun 2016. Waktu itu, Halima merupakan satu-satunya peserta yang mengenakan hijab dan layak ke peringkat semi final. Kongsi Halima, dia sudah mula mengenakan kerudung kepala sejak kecil dan meminta tudung sendiri daripada ibunya ketika baru berumur lapan tahun.
Lebih membanggakan, Halima ialah wanita hijab pertama yang menghiasi muka depan majalah British Vogue sekaligus membuktikan kepada dunia bahawa wanita berhijab sepertinya masih punya tempat dalam peragaan fesyen mewah! Tiga tahun kemudian, Halima sekali lagi melakar sejarah tersendiri apabila menjadi wanita Muslim pertama memperagakan burkini untuk Sports Illustrated Swimsuit.
Gadis yang memiliki ketinggian 5 kaki 5 inci ini juga tanpa berselindung menjelaskan dia dikelilingi dengan wanita berhijab sejak dari kecil lagi dan jatuh cinta dengan penampilan seumpama itu hingga membuatkan dia tertarik untuk turut sama mengenakan tudung. Halima juga menegaskan, memakai hijab adalah pilihannya sendiri dan bukan dibuat atas desakan sesiapa.
Namun, baru-baru ini Halima membuat keputusan mengejutkan apabila dia bertegas meninggalkan dunia penuh glamor tersebut. Halima berpendapat tindakannya selama ini seakan-akan menjatuhkan maruah wanita Muslim. Apatah lagi, sejak pembabitan awalnya dalam industri peragaan dan fesyen… ibu Halima tidak ‘berkenan’ dengan kerjaya itu kerana ia bertentangan dengan agama Islam.
Kongsi wanita berusia 23 tahun itu, “Dia dengan jujur memberitahu, ‘Halima, ibu berusaha keras mengikuti suruhan Allah dan ibu sangat risau dengan akhirat kamu. Jadi fikirkan tentang penglibatan anak-anak gadis berhijab lain yang masuk dalam industri ini kerana pengaruh kamu… kamu juga bertanggungjawab ke atas mereka kelak. Lakukan perkara yang betul di sisi Allah.’ Itu adalah perkara terbaik yang ibu lakukan untuk diri saya!”
Pernah ketika ditemubual BBC Somali suatu ketika dulu dan ditanya jika dia mempunyai perancangan dalam fesyen, Halima berkata jika dia terlibat dalam industri tersebut ia hanyalah sekadar suka-suka untuk mendapatkan wang.
Memetik laporan BBC, salah satu punca dia meninggalkan fesyen kerana kurangnya penata hijab wanita dalam industri di Amerika Syarikat dan ketidakfahaman mereka mengenai pentingnya berhijab bagi wanita beragama Islam. Tindakan Halima untuk ‘bersara’ mendapat sokongan daripada adik-beradik Bella dan Gigi Hadid yang juga beragama Islam serta selebriti Rihanna.
Halima turut menjelaskan dia telah beberapa kali membelakangkan agama demi kerjaya termasuk meninggalkan waktu solat dan bersetuju melakukan peragaan menggunakan barang atau kain tertentu untuk menutup kepalanya dan bukan berhijab seperti yang dituntut Islam. Malah, setiap kali selesai menjalani penggambaran seperti itu dia rasa sangat sedih dan tidak selesa kerana ia bukanlah dirinya yang sebenar.
Bahkan menerusi Instagram, Halima sering menekankan kepentingannya memakai hijab kepada peminat. “My hijab is not going anywhere. Not today, not tomorrow not ever. The road has been long and very painful at times but also so incredibly rewarding. I’m not asking you to stop the criticism or double standards. I’m just asking you to see me as a human being. It’s easy to pass judgement when you’ve never walked a mile in someone’s shoe.”
Credit photo: Instagram Halima Aden
Kencing Berdarah, Petanda Awal KANSER GINJAL!
Kanser Ginjal turut dikenali sebagai antara 10 penyakit pembunuh yang utama di seluruh dunia, jawapan untuk mengenalpasti punca-punca penyakit ini masih samar serta sukar diterangkan.
FUNGSI
Ginjal merupakan sepasang organ kumuh berbentuk kacang merah dan terletak betul-betul di bahagian atas pinggang, tiap satunya di setiap sebelah tulang belakang. Fungsi utama organ ini ialah untuk menapis darah dan menghasilkan air kencing bagi membersihkan tubuh daripada sisa kumuhan. Semasa darah ditapis, bahan sisa dan air yang tidak diperlukan akan di asing keluar. Bahan yang diasingkan, air kencing, akan terkumpul di bahagian tengah setiap ginjal di dalam satu kawasan yang dikenali pelvis renal. Ginjal ini juga menghasilkan sejenis bahan yang membantu mengawal tekanan darah dan mengatur pembentukan sel-sel darah merah.
KEHADIRAN KANSER
Beberapa jenis kanser boleh berkembang di dalam ginjal. Antaranya kanser sel renal, kanser sel karsinoma, kanser pundi kencing dan Tumor Wilm yang lazimnya berlaku pada ginjal kanak-kanak. Sungguhpun penyakit-penyakit ini tidak berjangkit dan tidak diwarisi sejarah keluarga, adalah penting untuk anda mengetahui faktor-faktor risikonya sebagai langkah berjaga-jaga.
Seperti juga dengan kebanyakan jenis kanser yang lain, kajian menunjukkan bahawa risiko kanser ginjal tercetus seiring peningkatan usia. Ia terjadi hampir biasanya di antara usia 50 – 70 tahun. Malah ia juga menjejaskan dua kali ganda kepada lelaki berbanding wanita.
Faktor-faktor risiko lain:
- Tembakau – Individu yang merokok berisiko dua kali ganda untuk mendapat kanser ginjal berbanding mereka yang tidak merokok. Tambahan pula, lebih lama seseorang merokok, lebih tinggi risikonya,
- Obesiti,
- Dedahan tempat kerja – Bukti menunjukkan bahawa kehadiran asbestos di tempat kerja boleh dikaitkan dengan kanser paru-paru dan mesotelium (sejenis membran yang mengelilingi organ-organ dalam tubuh), juga meningkatkan risiko sesetengah kanser ginjal.
- Sinaran – Wanita yang telah menerima terapi sinaran bagi pemeriksaan uterus mungkin berisiko mendapat kanser ginjal.
- Dialisis – Pesakit yang menggunakan dialisis bagi tempoh jangka panjang untuk merawat kegagalan fungsi ginjal yang kronik juga berisiko untuk menghidap sista renal dan kanser renal.
- Penyakit Von Hippel-Lindau (VHL) – Pesakit yang menghidap penyakit warisan ini lebih berisiko tinggi untuk mendapat karsinoma sel renal, serta tumor di dalam organ lain.
GEJALA
Pada peringkat awal, kanser ginjal selalunya menyebabkan tanda-tanda yang tidak nyata atau bermasalah. Namun adalah mustahak untuk anda TIDAK menunggu sehingga berasa sakit sebelum berjumpa doktor. Lebih awal kanser didiagnosis dan dirawat, lebih cerah peluang pesakit untuk sembuh sepenuhnya. Berikut antara gejala-gejala yang boleh diperhatikan apabila tumor ginjal mulai membesar:
- Kencing berdarah – Darah mungkin hadir sekali-sekala ketika pesakit membuang air kecil. Di dalam beberapa kes, seseorang itu boleh melihat sendiri darah tersebut, atau kesan-kesannya boleh ditemui di dalam ujian air kencing.
- Suatu gumpalan atau ketumbuhan di dalam kawasan ginjal.
- Letih.
- Hilang selera makan.
- Penurunan berat badan.
- Demam yang berulang-ulang.
- Rasa sakit / tidak sihat yang berlarutan.
- Tekanan darah tinggi atau jumlah sel darah merah di dalam darah yang tidak normal (anemia).
DIAGNOSIS
Lazimnya doktor akan mengarahkan ujian-ujian yang menghasilkan visual ginjal dan organ-organ berhampiran. Ia biasanya dapat menunjukkan perubahan di dalam ginjal dan tisu-tisu sekitar. Contohnya siri x-ray IVP (pielogram intravena), arteriografi, ujian-ujian imejan seperti imbasan CT, MRI dan ultrasonografi. Sekiranya keputusan ujian berjaya mengesan kehadiran kanser ginjal, suatu biopsi mungkin dilakukan untuk mendiagnosis kanser (ujian dilakukan oleh pakar patologi ke atas sampel tisu tumor untuk mengesan sel-sel kanser).
Selain daripada rawatan di atas, terdapat juga kaedah biasa yang dilakukan di hospital seperti:
- Pembedahan nefrektomi – rawatan yang paling biasa bagi kanser ginjal. Pakar bedah akan mengeluarkan keseluruhan ginjal bersama-sama dengan kelenjar adrenal dan tisu-tisu sekitar yang dilanda tumor. Ginjal yang masih tinggal biasanya dapat melakukan tugas kedua-dua ginjal dalam satu masa,
- Embolisasi arteri,
- Terapi sinaran/radioterapi – sinaran bertenaga tinggi untuk membunuh sel-sel kanser. Rawatan menerusi pancaran radioaktif di luar tubuh ini lazimnya dijalankan lima hari seminggu selama beberapa minggu,
- Terapi biologi/imunoterapi – menggunakan keupayaan semulajadi atau sistem daya tahan badan untuk menentang kanser,
- Kemoterapi – penggunaan dadah untuk membunuh sel-sel kanser,
- Terapi hormon – hormon digunakan dalam usaha untuk mengawal tumbesaran sel-sel kanser.
Bawa Mangkuk Tingkat Ke Bazar Ramadan, Penampilan TENGKU ZATASHAH Curi Tumpuan
Setiap kali kedatangan Ramadan, kelibat Yang Amat Mulia Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Binti Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj membeli juadah berbuka puasa menggunakan mangkuk tingkat pastinya menjadi perhatian ramai.
Mana tidaknya, sudah beberapa tahun anakanda Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ini menjadikan trend membawa mangkuk tingkat ini ke bazar Ramadan sebagai usaha untuk mengurangkan penggunaan plastik.
Umum sedia maklum, Tengku Zatashah merupakan antara penyokong paling kuat kempen #bebasplastik dan larangan pemberian penyedut minuman atau straw. Baginda juga sentiasa melibatkan diri dalam kempen-kempen kesedaran memelihara dan memulihara alam sekitar.
Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), pelaksana Projek Selangor Maritime Gateway (SMG) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Klang (MPK) telah menganjurkan bazar Ramadan berkonsepkan bebas beg plastik di Taman Awam Pangkalan Batu, Klang baru-baru ini.
Terletak berhadapan Sungai Klang, bazar yang mempunyai 33 peniaga itu turut dikunjungi Yang Amat Mulia Tengku Datin Paduka Setia Zatashah dengan diiringi Pengarah Urusan LLSB, Syaiful Azmen Nordin dan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Norita Mohd Sidek.
Anakanda Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ini meluangkan masa lebih 30 minit beramah mesra dengan peniaga dan turut membeli juadah berbuka seperti murtabak, kuih tepung pelita dan air.
Tengku Zatashah yang juga pengasas #sayno2plastic bertitah orang ramai membawa mangkuk tingkat dan bekas minuman sendiri ketika membeli juadah di bazar Ramadan.
Baginda yang sinonim dengan mengenakan busana baju kebaya telah 5 tahun menjadikan amalan membawa mangkuk tingkat atau tiffin ke mana sahaja malah luar negara juga tidak terkecuali untuk membeli makanan untuk dibawa pulang.
“Semua perlu bawa bekas makanan dan minuman sendiri, tidak gunakan beg plastik. Kempen bebas beg plastik ini seharusnya disokong semua pihak dalam melestarikan alam sekitar.
“Konsep bazar Ramadan di Klang ini baharu khususnya di Selangor dan ia amat bagus. Katakan tidak pada beg plastik,” titahnya.
Sementara itu, Syaiful Azmen berkata pihaknya mengambil inisiatif menganjurkan bazar Ramadan dengan konsep itu bagi meningkatkan kesedaran mengenai kebaikan mengurangkan penggunaan beg plastik.
“Ini kali pertama kita adakan bazar Ramadan berkonsep bebas beg plastik sebab berkait rapat dengan aktiviti pembersihan di Sungai Klang.
“Sejak 2016 sehingga kini 85,000 tan metrik sampah dikutip di Sungai Klang, yang mana 40 peratus daripadanya adalah plastik. Jika tidak dibuang dari sungai, plastik pergi ke laut dan ikan makan kemudiannya manusia pula makan ikan,” katanya.
Justeru beliau berharap dengan membawa mangkuk tingkat dan bekas air ia dapat mengurangkan jumlah penggunaan beg plastik yang dijangka bertambah dengan aktiviti bazar Ramadan.
Majalah Nona pun ada di Telegram tau.
Dah follow Telegram Majalah Nona?
Follow kami sekarang di link berikut: https://t.me/majalahnona