“Kakaklah idola saya untuk menjadi seorang doktor perubatan,” luah pegawai perubatan, Jabatan Perubatan Keluarga, Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM), Dr Nurul Huda Mohd Nor.
Beliau yang juga pensyarah di Jabatan Anatomi Manusia, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UPM berkata kakaknya, Dr Khadijah Mohd Nor merupakan insan pertama yang menghadiahkan beliau stetoskop.
Dr Khadijah merupakan pensyarah perubatan dan pakar bedah dalam Otorinolaringologi (ORL) HPUPM yang memberikan khidmat bagi masalah berkaitan telinga, hidung, dan tekak (ENT) dan pembedahan kepala dan leher (HNS).
Menurut Dr Huda, dirinya tertarik menjadi doktor apabila melihat kakaknya menyambung pengajian dalam bidang perubatan selain ibu bapa mereka yang memberi pengaruh serta penerapan daripada kecil sungguhpun ibu bapa mereka bukan seorang doktor.
Bagi Dr Khadijah pula, ibunya menjadi inspirasi untuk menjadi seorang doktor walaupun cita-cita asalnya mahu menjadi seorang guru.
“Sejak kecil Emak sering kata, cikgu dan doktor ini bagus dan sesuai untuk perempuan. Akhirnya rezeki saya menjadi kedua-duanya iaitu pensyarah dan doktor.
“Saya merupakan anak kedua daripada lapan beradik dan perempuan sulung. Jadi, saya juga memberi dorongan serta galakan kepada adik-adik untuk menjadi doktor. Syukur, lima daripada kami merupakan doktor” katanya.
Tambahnya, buku teks bidang perubatan juga mahal maka beliau akan berkongsi buku dan mengurangkan beban masing-masing.
Mengulas lanjut, Dr Khadijah berkata beliau yang melihat adik-adiknya dilahirkan di rumah oleh bidan menjadi antara titik permulaan minatnya menjadi doktor.
“Saya lahir pada 1979 dan pada zaman itu ramai ibu-ibu yang bersalin di rumah. Setiap kali bidan keluar daripada rumah semua orang gembira. Saya kagum melihat keajaiban ini pada ketika itu.”
Bagaimanapun, kedua-duanya tidak merancang untuk bekerja di HPUPM bersama kerana Dr Huda terlebih dahulu memulakan karier sebagai doktor pelatih di UPM pada 2014 manakala Dr Khadijah pada 2016 sebagai pensyarah perubatan dan Pakar Bedah ORL.
Menurut mereka, menjadi seorang doktor bukan sesuatu yang mudah bahkan dalam kehidupan pasti ada jatuh bangunnya.
Namun, anak kelahiran Pahang ini sentiasa berpegang kepada nasihat ibu agar tidak berhenti melakukan perkara yang sudah dimulakan.
“Emak kami selalu nasihat, berehat jika perlu tetapi jangan berhenti. Bergerak ke hadapan. Nasihat ini sehingga sekarang semua anak-anaknya gunakan.
“Selain itu, jadikan juga pekerjaan sebagai satu ibadah.”
Semoga Dr Khadijah dan Dr Huda kekal sukses dalam karier masing-masing seterusnya menjadi inspirasi kepada seluruh wanita.
Sumber: www.upm.edu.my
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
This website uses cookies.