Setiap pasangan berkahwin sudah tentu mengimpikan rumah tangga yang dibina kekal hingga ke hujung nyawa kerana tidak ada pasangan yang berkahwin atas niat untuk bercerai. Namun tidak semua pasangan mampu terus bahagia menikmati kemanisan berumah tangga kerana ada juga yang kecundang di tengah jalan. Siapa yang tidak sedih apabila perkahwinan yang telah dibina berpuluh tahun lamanya bakal berakhir.
Penantian satu penyiksaan. Itu yang dapat digambarkan dengan situasi terkini penyanyi terkenal Ziana Zain apabila kemelut rumah tangganya bersama suami, Armin Zaharin Ahmad, 53, terus berpanjangan apabila Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Khamis menetapkan 12 Julai depan untuk perlantikan hakam keluarga.
Hakim Syarie, Mohd. Nizar Mohtar menetapkan tarikh tersebut selepas Armin sebagai defendan tidak hadir ke mahkamah tanpa sebarang makluman bagi mendengar keputusan laporan jawatankuasa pendamai kes itu.
Ziana yang ditemui memberitahu kepada para wartawan bahawa dia redha dan bersabar apabila kes perceraian itu masih belum dapat diselesaikan seperti diharapkan selepas Armin tidak hadir ke makhamah.
“Kalau 20 tahun saya boleh sabar, sikit lagi saya kena sabar”, ulas Ziana ketika disoal wartawan.
Selain itu, Ziana Zain juga ada menjelaskan kemelut rumah tangga bersama suami tidak menjejaskan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang disambut bersama keluarga dan anak-anak pada tahun ini walaupun tanpa kehadiran suami.
“Alhamdulillah, semua ok kerana raya tetap raya. Raya tahun ni sangat seronok”, jelas Ziana lagi.
Armin dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam atas pertuduhan mencederakan anak lelakinya menggunakan sebatang rotan, sekitar Februari lepas. Laporan polis dibuat sendiri oleh Ziana pada 27 Februari lalu sebelum dia ditahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.
Perbuatan berkenaan didakwa dilakukan di rumahnya di Denai Alam dekat sini, antara jam 8 malam hingga 10.30 malam pada 24 Februari lalu.
Pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga pada Mei 1998 dan dikurniakan empat cahaya mata, Muhammad Aiman, 19, Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.
sumber:mstar
This website uses cookies.