Pelakon terkenal dari Negara Seberang ini bukan sahaja dikurniakan wajah cantik tetapi mempunyai hati yang murni. Oki Setiana Dewi kini sedang berusaha mengutip dana untuk mendirikan sebuah Masjid pertama di Seville, Sepanyol. Menurut Oki di Sepanyol tidak mempunyai masjid dan menyukarkan umat Islam di sana beribadat.
Tertarik dengan perkongsian Oki tentang sifat bersangka baik kepada Allah SWT dalam salah satu Kuliah Dhuha di Ibu Negara. Antara kupasannya berkenaan tajuk ini;
“Dalam hidup kita tidak terlepas dengan ujian. Ada yang diuji dengan harta, keluarga, pekerjaan, pasangan dan sebagainya. Tiada siapa yang terlepas daripada ujian, sebagaimana dalam surah Al-Baqarah, ayat 155 “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar,”.
Kita pasti diuji dengan rasa takut. Siapa yang tak pernah rasa takut? Takut dengan sebuah keadaan, takut dengan penyakit, takut dengan harta dan lain-lain. Allah SWT uji manusia dengan ketakutan. Namun hanya orang-orang yang sabar apabila diuji adalah orang yang menang.
Ujian bukan hanya datang dalam bentuk sedih semata-mata tetapi datang juga dalam bentuk kesenangan. Dalam surah Al-Anbiya, ayat 35, “Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan,”
Ujian kesenangan apabila dikurniakan harta yang melimpah-ruah, anak yang sihat dan bijak dan kesihatan yang baik namun tidak pernah bersyukur. Tapi Allah SWT tetap mengurniakan nikmat, hati-hati ya ini yang dinamakan istidraj. Istidraj adalah apabila Allah SWT akan beri semua kenikmatan di dunia tetapi akan dihitung di akhirat kelak.
Terdapat tiga golongan iaitu;
1. Golongan paling rendah apabila mempersoalkan ujian yang menimpanya.
2. Golongan tinggi apabila ikhlas apabila diuji dengan dugaan hidup.
3. Golongan tertinggi apabila mengucapkan rasa syukur apabila diuji dengan dahsyat sekali.
Jika kita sentiasa bersangka baik dengan ujian yang diberikan akan membuatkan hidup lebih tenang. Allah SWT Maha Adil dan tidak pernah bersifat kejam terhadap hambaNya. Tetapi kita sebagai manusia tidak pernah faham tentang sifat Allah Maha Adil,” jelas Oki.
Oki menyeru agar kita berdoa bersungguh-sungguh dan sentiasa bersangka baik terhadap Allah SWT pasti doa akan dikabulkan.
Oki turut berkongsi tentang sepotong ayat yang menjadi ‘penghibur’ hatinya jika doa tidak dimakbulkan seperti dalam surah Al-Baqarah ayat 216, “Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka pasal sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya,” tutur Oki Setiana Dewi.