“Kalau Ayah Ayah Nak Tegur Anak, Ada Caranya, Ada Kemesraannya” Pesan Dr Wan Azizah Banyak Betulnya!

Nama bekas Timbalan Perdana Menteri, YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang prihatin, sentiasa segar di jiwa rakyat. Bicaranya yang lembut dan tersusun rapi membuatkan ahli politik wanita itu amat disenangi ramai.

Ketokohan Dr Wan Azizah, 68 tahun, sebagai pemimpin dan ibu yang cekal membesarkan anak-anak sewaktu suaminya di penjara, cukup menggambarkan kekuatan beliau yang sebenar.

Dengan kudrat dan tenaga yang terhad, beliau berjaya membesarkan Nurul Izzah, Nurul Nuha, Mohd Ihsan, Nurul Iman, Nurul Ilham dan Nurul Hana dengan baik.

Kenangan Aidilfitri 2021, hanya aplikasi Zoom menjadi perantara mereka bermaaf-maafan dan mengucap rindu

 

Hampir sedekad menggalas tanggungjawab suami; Dialah ibu, dialah bapa kepada anak-anak yang ketika itu masih memerlukan didikan, kasih sayang serta perhatian orang tua.

 

CARA TEGURAN

Dr Wan Azizah pernah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri wanita pertama di Malaysia dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hingga tahun 2020.

Kini sebagai Ahli Parlimen Pandan dan Presiden Pakatan Harapan, setiap amanat dan nasihat bekas pakar oftalmologi ini menjadi rujukan.

“Allah sudah menyatakan dalam Surah Luqman bagaimana seorang bapa menasihati anaknya dengan bijaksana. Kalau seorang bapa nak menegur anaknya, jalinan kemesraan tu mesti ada.

Kak Wan selalu terfikir… Dalam Al-Quran selalu kata, (seharusnya) bapa yang memberi nasihat pada anak-anak, bukan ibu. Selain mencari nafkah yang halal, beliaulah yang patut memberi kasih sayang kepada isteri dan anak-anak.

Kadang-kadang kita rasa bila kahwin, ilmu jadi ibu bapa itu datang secara natural. Tidak. Ilmu itu adalah sesuatu yang kita patut belajar kerana tiap-tiap masalah anak adalah berlainan.” Dr Wan Azizah

Menerima hadiah bola Piala Dunia 2022 daripada Duta Qatar

 

TELADAN

Nona tertarik berkongsi kata-kata Dr Wan Azizah tentang ciri-ciri personaliti Rasulullah S.A.W ketika beliau merasmikan forum Bapa Penyayang secara online sempena sambutan Hari Bapa 2021.

“Pagi tadi (19 Jun) saya merasmikan Forum Bapa Penyayang dan melancarkan Pertubuhan Pemberdayaan Bapa Penyayang secara maya bersempena sambutan Hari Bapa 2021.

Antara lain saya menekankan empat ciri personaliti seorang bapa yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W.

Antaranya ialah sabar dan ikhlas mencari rezeki halal dan memberi nafkah serta menjadi pembimbing utama dan pendidik anak-anak.

Dua lagi ciri ialah berakhlak mulia dan menjadi contoh ikutan anak-anak serta bergaul dan melayani anak-anak dengan kasih sayang.

Saya juga meletakkan harapan yang tinggi agar Bapa Penyayang dapat memainkan peranan dan bermanfaat dalam membina peribadi seorang bapa.” Dr Wan Azizah

 

BAPA PENYAYANG

Pertubuhan Pemberdayaan Bapa Penyayang (Bapa Penyayang) yang dilancarkan oleh Dr Wan Azizah merupakan sebuah NGO kekeluargaan terbaharu.

Ia dibangunkan untuk memberdaya peranan, tanggungjawab, mengukuh hubungan kekeluargaan suami dan isteri terutama dalam menangani gejala rumah tangga yang hancur.

 

Bapa Penyayang juga tekad menggerakkan agenda advokasi, kesedaran disamping latihan kebapaan dalam masyarakat disamping akan terus berkolaborasi dengan agensi-agensi keluarga dan sosial, jabatan agama-agama Islam seluruh Malaysia bagi memberdaya peranan bapa dalam keluarga.

Sumber: Facebook Dr Wan Azizah

Share
Published by
Norzalina