Ramai wanita merasakan berat badan yang berlebihan ini adalah perkara biasa terutamanya jika orang di sekeliling seperti suami, keluarga dan rakan-rakan turut mempunyai masalah yang sama.
Adakala mereka membandingkan diri dengan wanita obes lain yang tidak mempunyai masalah kesuburan atau belum menghidapi sebarang masalah kesihatan lain. Oleh itu mereka merasakan tidak ada keperluan untuk menurunkan berat badan.
Namun kajian telah menunjukkan bahawa penurunan berat badan sebanyak 10 peratus akan merangsang proses ovulasi secara semula jadi. Kitaran haid menjadi lebih baik dan terdapat juga yang berjaya hamil secara semula jadi.
Penurunan berat badan sememangnya merupakan rawatan utama. Selain membantu meningkatkan kesuburan secara semula jadi, ia juga membantu meningkatkan keberkesanan ubat-ubat kesuburan yang digunakan. Sekiranya mereka berjaya hamil, risiko-risiko kesihatan sepanjang kehamilan akan lebih berkurangan.
Wanita yang mempunyai masalah obesiti sememangnya disarankan mengambil langkah serius untuk menurunkan berat badan mereka. Perubahan yang besar perlu dilakukan terhadap gaya hidup, pemakanan sihat di samping menjalani senaman yang teratur dan efektif.
(a) Pemakanan yang sihat bukan bermaksud mengelak makan tetapi menjaga kualiti dan kuantiti pemakanan tersebut. Mula belajar untuk mengira jumlah kalori pemakanan seharian, catat dan kaji diari pemakanan sendiri.
(b) Bersenam juga adalah keperluan mandatori seiring dengan penjagaan diet. Ramai yang kecewa dan tidak dapat bertahan lama dengan perubahan diet sahaja. Kadar metabolik badan akan kekal rendah tanpa senaman dan lemak-lemak badan ini sangat sukar disingkirkan.
Senaman akan meningkatkan kadar pembakaran lemak di samping mula membina otot-otot yang akan terus kekal meningkatkan kadar metabolik badan walaupun semasa rehat. Cari dan amalkan senaman yang praktikal, sesuai dan disukai agar ianya boleh dilakukan setiap hari. Beban kerja harian bukanlah alasan untuk mendapatkan 20 ke 30 minit untuk bersenam setiap hari.
Senaman di rumah sama ada menggunakan alat, mesin senaman atau semudah melakukan aerobik mahupun tarian berpandukan pita video boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja, walaupun seawal pagi atau lewat malam.
(c) Penggunaan ubat-ubatan untuk menurunkan berat badan, turut serta dalam program-program pelangsingan badan dan pembedahan bukanlah perkara mudah selain melibatkan kos yang sangat tinggi. Kaedah ini adakalanya mendatangkan risiko dan kesan sampingan. Mungkin tidak berkekalan sekiranya gaya hidup sihat tidak diamalkan. Walau bagaimanapun rawatan ini mungkin diperlukan bagi mereka yang mempunyai masalah obesiti yang serius (BMI >40-45).
Ubat seperti Metformin/Glucophage kerap digunakan untuk rawatan pesakit PCOS yang obes. Selain membantu mengurangkan masalah kerintangan terhadap hormon insulin dan mengurangkan hormon androgen dalam darah, ianya juga akan mengurangkan penyerapan karbohidrat yang mungkin akan membantu dalam penurunan berat badan secara tidak langsung. Selain itu Metformin juga dapat meningkatkan keberkesanan ubat kesuburan seperti Clomiphene.
Selain penurunan berat badan dan menjalani rawatan kesuburan, wanita yang merancang untuk hamil perlu mengambil asid folik beberapa bulan sebelum memulakan usaha kehamilan. Sekiranya mereka sudah menghidapi penyakit-penyakit seperti diabetes, darah tinggi mahupun kolesterol yang berlebihan, penyakit-penyakit ini perlu dikawal terlebih dahulu. Ada kalanya ubat-ubat yang diambil perlu ditukar, penilaian dan nasihat dari doktor yang merawat mereka turut diperlukan.
Obesiti adalah masalah kesihatan yang serius. Selain mengganggu keupayaan wanita untuk hamil, ianya juga boleh menjejaskan kesihatan ibu dan bayi sepanjang kehamilan. Selain itu boleh menjejaskan kesihatan wanita secara amnya dan menjadi punca kepada beberapa jenis kanser. Oleh itu wanita obes perlu melakukan perubahan besar. Hamizatul Maizan Mohamed