“Kalau Nak Jaga Hati, Jangan Panggil Saya Pengkritik,” Komen Pedas ZULIN AZIZ Digeruni

2034

Dalam episod pertama program realiti digital pencarian makeup artist Fabulous MUA 1 November lepas… selain para peserta, pastinya kehadiran salah seorang juri jemputan iaitu Zulin Aziz antara yang terkesan di hati penonton. Mana tidaknya, setiap komen yang diberikan Zulin sangat jujur dan ‘tajam’ hingga membuatkan para peserta turut merasa gementar. Iyalah, selama ini ramai yang mengenali perwatakan Zulin sebagai pelawak. Tak sangka pula dia rupa-rupanya seorang yang tegas!

IKLAN

Berpeluang bertemu Zulin selepas penggambaran selesai, persoalan pertama yang diajukan kepada aktres ini tentunya mengenai kelantangannya dalam memberikan komen. Sambil tersenyum, dia menyusun kata. “Sebab kalau saya baik, mereka tak belajar. Saya pun sebenarnya belajar dari director yang garang… daripada benda-benda yang ‘pedas’. Daripada benda yang ‘pedas’ tu, membakar semangat untuk berjaya.

IKLAN

‘Kau tunggulah Zulin, satu hari nanti aku akan jadi makeup artist berjaya. Muka kau pun aku tak pandang!’ Benda tu yang kita nak!”

Tambahnya lagi, “Jangan bila kita marah dia sebagai peserta, dia rasa lagi down. Sebab apa yang saya cakap tu jujur. Nak saya jaga hati ke? Kalau nak jaga hati, jangan panggil saya pengkritik. Panggil saya pemuji… saya akan datang puji je. Tapi sebab kita datang sini, kita nak bagi komen. Bukan saja mengkritik. Tapi kalau lawa, kita kata lawa… kalau tak betul, kita kata tak betul. Berdasarkan apa yang saya pandang.

Sudut mata makeup artist lain, sudut mata dari seorang klien pun lain. Saya mewakili klien. Sebab saya artis, saya yang bakal hire mereka. InshaAllah, mana tahu kan? Jadi apa yang boleh saya cakap adalah… semua ini sebenarnya nak bagi mereka buka mata dan jangan play safe. Sebab dalam industri ni dah ramai makeup artist dah. Tapi apa yang membuatkan kita nak dia (makeup artist) adalah, apa yang saya cakap itu tadilah.”

Biarpun secara luaran Zulin disifatkan sebagai seorang yang ‘sempoi’ dan penuh lawak jenaka, hakikatnya apabila menyentuh soal kerja… dia cukup komited dan teliti! Lebih-lebih lagi melibatkan solekan wajah ketika penggambaran drama atau program hiburan. Sepanjang lebih 12 tahun terlibat dalam industri, dia mengakui tidak terlepas daripada mengalami igauan ngeri solekan daripada makeup artist.

“Saya ni orangnya particular bab mekap. Kalau saya sendiri mekap, saya tahu yang saya ni malas ke time tu. Tapi orang (makeup artist) tak boleh, sebab kita klien dia kan. Dia tak boleh bagi alasan macam mana saya bagi alasan kat diri saya.

Macam hari ni saya malas… saya comot. Tapi kalau saya hire dia sebagai makeup artist, dia tak boleh bagi saya alasan yang dia malas.

Ada satu insiden tu… saya tak tahu dia makeup artist dari mana. Dia mekap saya untuk live show. Dia pakaikan bulu mata saya, terlebih atas. Saya pula tak tengok cermin sebab saya dah lambat. Bukan je bulu mata terlalu ke atas, eyeliner comot dan bila saya commercial break, saya tengok muka saya… saya menjerit.

Tapi demi menjaga hati dia, saya macam buat relax je. Sebenarnya saya buka balik bulu mata tadi dan mekap sendiri,” terang Zulin penuh jujur.

Zulin Aziz dijemput selaku juri undangan Fabulous MUA episod 1 yang disiarkan menerusi Youtube, Facebook dan laman web Majalah Nona pada 1 November lalu.