Kalau Nak Nampak CANTIK, Bukan Sekadar CANTIK Rupa Tapi CANTIK Luaran Dan Dalaman

Kecantikan merupakan sesuatu yang sangat sinonim buat kaum wanita. Cantik itu sendiri didefinisikan sebagai suatu yang indah dan menarik. Setiap wanita mentafsirkan makna ‘cantik’ mengikut pandangan masing-masing. Lalu, apakah sebenarnya kecantikan pada diri seorang wanita? Ikuti pandangan Azie Sam, Perunding Imej/Hijab Stylist dan Seni Imej Training & Consultanc.

Menurut Azie Sham, cantik itu subjektif. Semua manusia dilahirkan cantik dan mempunyai keistimewaan sendiri. Kecantikan wanita itu lebih terserlah apabila mereka yakin dan selesa dengan diri mereka sendiri. Kecantikan sebenar itu akan terpancar bermula daripada kecantikan dalaman.

“Kecantikan pada wajah itu adalah bonus. Tetapi ianya bukanlah segala-galanya. Kecantikan yang dilengkapi pakej adalah suatu kelebihan. Maksud pakej di sini adalah kecantikan luaran beserta kecantikan dalaman yang membentuk kepada personaliti diri yang menarik. Pepatah ada mengatakan, ‘beauty gets the attention but personality gets the heart.’

“Agar kelihatan cantik pada pandangan mata orang luar, kita perlu bijak membawa diri dan sentiasa bersedia dalam apa jua urusan dan situasi. Serlahkan keyakinan dan lengkapkan diri dengan ilmu. Ilmu asas penampilan dan pembentukan personaliti diri sangat penting untuk kita kelihatan sentiasa cantik dan sempurna pada pandangan orang lain. Penampilan yang baik disertakan dengan tingkahlaku dan komunikasi yang hebat dapat mempengaruhi tanggapan orang lain terhadap diri kita,”ujar Azie.

Sebagai perunding imej, Azie menyarankan agar wanita mengenali diri masing masing dan bentuk personaliti diri yang positif. Cari kelebihan dari dalam diri dan serlahkan. Persiapkan diri dengan ilmu ilmu kecantikan dan berani untuk berubah. Memakai pakaian yang menarik dan bersesuaian memberi impak kepada orang di sekeliling. Ia memberi tanggapan yang lebih baik dan membina kredibiliti awal. Dalam masa yang sama, ia juga dapat membantu dalam meningkatkan keyakinan diri sendiri.

“Ketahui bagaimana membentuk imej positif di mana intergriti dalaman dapat diserlahkan melalui penampilan. Kita yang menentukan mesej apa yang ingin kita sampaikan kepada orang lain melalui penampilan. Penampilan amat membantu untuk seseorang wanita itu untuk kelihatan cantik? Ia mewujudkan first impression untuk membina kredibiliti sebelum kita berbicara.

“Komunikasi bermula dengan cara pemakaian kita. Penampilan turut memainkan peranan penting dalam kejayaan seorang wanita. Tidak bermaksud perlu memakai pakaian berjenama hebat dan berharga ribuan ringgit. Memadai berpenampilan kemas dan bersesuaian dengan diri yang akan memberi impak kepada orang sekeliling untuk menghormati dan dihormati,”jelas Azie.

Diakui pandangan mata kasar lelaki lebih tertumpu pada kecantikan fizikal/luaran semata-mata. Wanita yang cantik rupa paras, tubuh badan menarik, pandai membawa diri, berpesonaliti, manja dan bijak adalah kategori wanita idaman lelaki. Walaubagaimanapun, ingin diingatkan bahawa bukan semua lelaki berpandangan seperti itu tetapi hampir semua jugak lelaki sedemikian.

“Bagi wanita yang telah bersuami pula, jangan hanya nampak cantik ketika berada di luar rumah. Jaga penampilan diri ketika di rumah. Penampilan diri sahaja tidak mencukupi dalam urusan rumahtangga. Selepas berkahwin, cantik pada nilaian seorang lelaki bukan pada kecantikan fizikal atau luaran seorang isteri sahaja, apa yang lebih utama adalah pembentukan diri, sifat, sikap dan kebijaksanaan kita dalam mengemudi alam rumahtangga. Biarlah kecantikan luaran itu seiring dengan kecantikan dalaman. Bukan sekadar dalam diri malah dalam rumahtangga juga,”akhiri Azie.

Tip daripada Azie untuk wanita kelihatan sentiasa cantik luar dan dalam:
*Setiap wanita itu cantik dan mempunyai keunikan tersendiri. Sayangi, cintai, hargai diri dan fahami kekuatan atau kelebihan yang dimiliki.
*Jangan membandingkan diri dengan orang lain atau meniru apa yang orang lain ada.
*Beranilah menjadi diri sendiri, bentuk imej positif dan bina personaliti anggun.
*Mantapkan diri dengan ilmu supaya terserlah kecantikan luar dan dalaman.

 

Share
Published by
Hasliza