“Kalau Suami Masih Izinkan Saya Mengandung, Setiap Tahun Saya Mahu Ada Anak” Datin Noor Kartini

Perkongsian kisah keluarga ibu Neelofa, Datin Noor Kartini Noor Mohamed…

Sememangnya kasih sayang mempunyai indikasi paling dekat di hati seorang wanita bergelar ibu. Begitu juga dengan saya, ibu yang mempunyai 10 cahaya mata yang menjadi penyeri kehidupan saya setiap hari.

Bergelar ibu kepada selebriti popular, Noor Neelofa Mohd Noor nyata bukan perkara mudah bagi saya. Biarpun pada awal pembabitan anak ketiga daripada sembilan beradik itu dalam industri seni menerbitkan perasaan gusar di hati, namun saban tahun saya sudah mampu menyesuaikan diri dengan tempias dunia glamor Neelofa.

Kini, dunia glamor itu bukan sahaja dirasai oleh Neelofa malah Nabila serta anak perempuan bongsu, Ameera Khan.

Saya bersyukur sebab Allah pelihara dan kurniakan kesenangan untuk menjaga semua anak-anak. Alhamdulillah, mereka dengar cakap dan tahu peranan masing-masing.

Anak lelaki saya, Mohamed Aqief misalnya yang paling senang jaga antara anak-anak lain. Mohamad Faliq, anak bongsu pula sudah mampu solat lima waktu tanpa tinggal dan rajin berzikir.

Saya terkejut dengan perkembangan Faliq sebab kebanyakan ilmu tentang solat, dia dapat dekat YouTube. Dari situlah dia belajar doa qunut, bacaan tahiyat dan sebagainya.

Memang sejak Faliq kecil lagi saya akan perdengarkan dia Asmaul Husna dan ceramah agama Mufti Menk setiap pagi. Sebelah malam pula saya ajar dia baca surah Al-Mulk sampai dia boleh hafal,” terang anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini.

“Kalau suami masih beri keizinan mengandung lagi setiap tahun saya mahu ada anak. Saya memang sukakan budak-budak dan dari kecil sudah terbiasa dengan adik-beradik ramai.

Ikutkan anak saya sudah ada 10 orang. Tapi tak ada rezeki sebab masa kandungan saya masuk tujuh bulan, anak meninggal dalam perut.

Itu cerita beberapa tahun lepas dan satu-satunya kelahiran yang saya lalui secara pembedahan. Sembilan anak yang ada sekarang ini semuanya lahir normal dan mudah. Paling senang dilahirkan ialah Nabila dan Neelofa sampai bersalin pun dekat rumah saja. Tak sempat pergi ke hospital.

Sama ada suami atau saya sendiri, kami tak pernah pilih kasih dalam mendidik anak. Semua layanan sama rata saja. Jadi, kalau ada yang tanya apa saya buat untuk anak pandai dalam akademik hanya kata-kata perangsang.

Tiada ajaran istimewa pun sebab pada akhirnya nanti kemahuan untuk berjaya itu ada dalam diri sendiri. Tak ada sesiapa yang mampu ubah kalau bukan empunya diri. Saya juga yakin setiap anak mempunyai kelebihan tersendiri serta kebolehan dan minat masing-masing.

Sebagai ibu, saya sentiasa memberi sokongan dan dorongan untuk mereka berjaya di dalam apa jua yang mereka ceburi.

Saya bukanlah seorang ibu yang menetatapkan standard tertentu untuk keputusan pelajaran anak-anak. Memang Neelofa anak yang paling pandai dan tidak pernah hutang ‘A’ sama seperti Aqief dan Nur Athisha.

Saya lebih gemar memberi sokongan dan dorongan untuk mereka berjaya. Begitu juga kasih sayang yang dicurahkan terhadap mereka, semuanya sama.

Mereka sememangnya amat rapat di antara satu sama lain dan saya merupakan tempat mereka merujuk atau sumber rujukan mereka dalam apa jua sekalipun memandangkan bapa mereka lebih tegas dalam mendidik anak-anak.Namun ketegasan tersebut membentuk keseimbangan di dalam support system kekeluargaan.

Semoga ikatan kasih sayang dan kekeluargaan ini menjadi dorongan untuk masing-masing mengeratkan lagi ukhuwah dan persaudaraan sesama Islam pula, insyaAllah.”

Share
Published by
KR