Hubungan ibu dan anak adalah kompleks dan berbeza-beza dalam setiap hubungan. Ada yang best friends, ada yang hanya bercakap di telefon seminggu sekali, ada yang berjumpa sekali seminggu, atau tinggal berjauhan dan jarang sekali bertemu.
Ada yang bertengkar secara konsisten dan ada yang cuba untuk mengelakkan konflik dengan tidak berkongsi perasaan masing-masing dan ada juga yang berkongsi segala-galanya.
Begitu luas dan berlainan sungguh hubungan di antara seorang ibu dan anak-anaknya.
Ada tak yang bila anak mempertikaikan keputusan ibu, kata-kata ini akan terpacul, ”Tunggulah nanti bila kamu dah besar dan ada anak sendiri baru nanti kamu faham perasaan mak.” Pastinya pada waktu tersebut anda masih tidak dapat menerima dan memahami kenyataan seorang ibu, sambil darah muda terus memberontak.
Hubungan ‘panas’ di antara seorang ibu dan anaknya bukanlah sesuatu perkara yang luar biasa. Ada yang tertanya-tanya mengapakah hubungan anak dengan ibu saya kadang-kadang penuh konflik sewaktu kita ingin membesar. Tetapi bila dewasa ia berubah, bila ibu dan anak bisa berbual-bual di telefon kadangkala berjam-jam lamanya.
Cantik bukan perjalanan kehidupan begitu, manis masam, pahit lengkap segalanya. Yang pasti penghujungnya indah berbunga!
Apa yang kita perlu sedari, walaupun dalam keadaan apa jua sekalipun apabila kita mempunyai masalah atau cabaran yang besar dalam hidup, tiada orang lain yang akan kita pergi mengadu tetapi kepada ibu tercinta.
Walaupun ibu mungkin tidak dapat menyelesaikan masalah kita, tetapi hanya dengan berkongsi perasaan dengannya sudah cukup untuk memberi kita semangat terus berjuang dalam kehidupan ini.
Sebagai seorang anak, kita tidak memikirkan ibu kita itu sebagai memainkan peranan yang lain selain dari sebagai seorang ibu. Kita lupa bahawa dia juga seorang isteri, anak, teman, wanita dan yang paling penting adalah ibu kita juga seorang makhluk Allah SWT yang biasa dan tidak lepas daripada kelemahannya dan juga cabaran hidupnya sendiri.
Ibu kita tidak perfect tetapi di dalam segala imperfections mereka, tidak ada ibu di dalam dunia ini yang tidak mendoakan dan mahukan kebaikan dan kejayaan untuk anak mereka.
Walaubagaimanapun sebagai seorang ibu, mereka, berusaha menjalankan tanggungjawab yang telah diberikan oleh Allah SWT. Itulah naluri semulajadi yang terdapat dalam setiap ibu di mukabumi ini. Itulah sebabnya yang dikatakan seorang ibu sanggup berkorban apa sahaja termasuk nyawanya sendiri untuk anak-anaknya.
Berikut adalah tip untuk mempunyai hubungan yang lebih baik dengan ibu kita.
(1) Tunjukkan penghargaan anda
Luangkan masa untuk ibu anda. Anda tidak akan dapat memperbaiki hubungan anda tanpa memberikan komitmen masa yang konsisten- walaupun hanya dengan membuat panggilan 5 minit melalui telefon dengan kekerapan yang realistik seperti sekali seminggu atau dua kali sebulan. Anda juga boleh membuat panggilan atau kunjungan secara surprise.
(2) Aturkan temu janji dengan ibu
Aktiviti mengatur temu janji bersama ibu untuk meluangkan masa berkualiti bersama tanpa gangguan. Sebagai contoh, ambil berat dalam menyempurnakan sesuatu perkara yang kecil tetapi bermakna terhadap ibu anda dengan memberi hadiah yang menunjukkan keprihatinan anda sewaktu menyambut hari lahir ibu.
Ini tidak bermakna sesuatu yang mahal harganya tetapi mungkin sesuatu yang bermakna seperti foto lama anda berdua. Sudah tentu ibu kita akan rasa terharu, seperti juga sekiranya anak kita melakukan yang sama terhadap kita sendiri.
(3) Luahkan perasaan anda
Berkongsilah perasaan anda yang indah dan sebaliknya dengan ibu anda tetapi mestilah dengan pendekatan yang positif. Jangan sampai keadaan bertambah tegang. Seperti mana-mana hubungan, janganlah menggunakan ayat-ayat yang meletakkan beban kesalahan di atas ibu anda sekiranya anda tidak berpuas hati mengenai sesuatu perkara.
Pastikan ibu anda tahu yang tujuan anda berkongsi perasaan tersebut adalah untuk mencari jalan penyelesaian dan bukan bermaksud untuk menyalahkan sesiapa.
Di dalam budaya kita, menjadi sesuatu yang sukar untuk memberitahu kepada ibu kita mengenai perasaan kasih kita terhadap mereka. Kita beranggapan yang perasaan kasih seorang anak terhadap ibunya adalah sememangnya pasti dan tidak perlu diberitahu.
Tetapi, seperti kita juga, ibu kita akan rasa berbesar hati dan dihargai dengan ungkapan sebegitu. Kalau dirasakan sukar, tuliskan sahaja di dalam sebuah kad bersama hadiah yang kecil seperti sejambak bunga untuk diberikan kepada ibu anda semasa anda berkunjung untuk melawat ibu anda.
(4) Realistik
Akhir sekali, sekiranya hubungan anda dengan ibu anda sememangnya agak sukar, janganlah mengharapkan keadaan akan berubah dengan sekelip mata. Untuk memperbaiki mana-mana hubungan pun memerlukan masa tetapi sebagai seorang ibu, saya sendiri dapat merasakan yang saya akan dapat memaafkan anak-anak saya atas kesalahan mereka walaupun mungkin akan mengambil masa dan walaupun kesalahan itu setinggi gunung.
Begitulah juga saya yakin perasaan ibu kita terhadap diri kita. Yang penting adalah pendekatan yang kita gunakan dan lakukan dengan penuh rasa hormat dan kasih sayang.
Selamat Hari Ibu.
This website uses cookies.