“Kalaulah Saya ‘Padam’ Masa Tu…” Pengakuan NORMAN HAKIM Cuba Bunuh Diri 10 Tahun Lalu Cetus Iktibar!

Siapa sangka di sebalik kebahagiaan hidup yang dikecapi hari ini, rupa-rupanya Norman Hakim pernah melalui detik hitam hingga nekad mahu bunuh diri! Pengakuan mengejutkan itu didedahkan Norman sendiri ketika ditemui pada sidang media memperkenalkan hos terbaharu Program Bual Bicara Mingguan Wanita sekitar Jun lalu.

Amat mengharapkan agar perkongsian ini mampu memberi iktibar dan pengajaran berguna kepada masyarakat… Norman sama sekali tidak kisah sisi peribadinya diketahui umum asalkan tiada lagi insan yang tersilap langkah melakukan perbuatan sama kelak. Mengimbas kembali memori sukar berkenaan, suami Memey Suhaiza ini menjelaskan hal tersebut berlaku 10 tahun lepas akibat kekhilafan diri hingga rumah tangga yang dibina gagal diselamatkan.

Dengan penuh rasa sayu, dia menyusun bicara. “Sejujurnya, 10 tahun lepas saya pernah buat keputusan untuk bunuh diri. Iya, orang menilai tentang betapa bahagianya kehidupan saya sekarang tapi mereka tak tahu bagaimana hidup saya suatu masa dulu. Kalaulah saya ‘padam’ masa tu…,” perbualan Norman bersama kami ketika itu tiba-tiba terhenti. Seolah-olah dia hilang kata-kata.

Mengenang betapa berdosa dan rasa bersalah yang menyelubungi diri hingga ke saat ini, dia kembali berbicara. “Masa tu tak fikir panjang. Kita ni pula tengah tertekan dan mudah terpengaruh. Dalam pukul 3 ke 4 pagi… tanpa fikir saya terus ambil paracetamol yang sepapan ada 10 biji tu. Saya hancurkan 10 biji pil tersebut dan minum dengan coke.

Lepas dah telan semua, saya menangis call mak ayah dan minta maaf dekat mereka dalam keadaan sedih dan tertekan. Saya tak sedar apa yang berlaku lepas tu dan tahu-tahu saja, saya terbangun pukul 8 pagi. Bermula dari saat terjaga pagi itulah yang menjadi turning point untuk saya berfikir semula kesilapan yang dah saya buat.

Kebetulan pagi tu cuaca sangat hening. Waktu tu saya hilang keluarga, saya bercerai, saya rindu anak-anak… macam-macam. Tapi itulah sebenarnya turning point yang membuatkan saya segera bangkit untuk hidup. Mungkin Allah panjangkan umur saya sebab Dia nak tunjuk yang kalau kita ada masalah, ada orang lain yang hadapi masalah lebih besar.

Start dari situ saya beli buku keagamaan berkaitan solat-solat sunat. Sebelum ni pun memang tahu tentang solat-solat sunat ni tapi tak pernah hendak pergi belajar secara mendalam. Lepas beli dan baca buku ini, saya buat dan cuba istiqamah. Saya ingat lagi masa tu dalam penghujung tahun 2008.

Salah seorang yang menyedari keadaan saya waktu itu ialah Datuk Dr Fadzilah Kamsah. Dia tepuk bahu saya dan cakap, “Norman, awak teruk ni.” Beliau jugalah yang meminta saya berjumpa dengan gurunya. Bulan 5 tahun 2009, saya pergi berjumpa dengan Ustaz Shahrom. Dari situ saya belajar satu persatu, saya istiqamah dan sebagainya. Saya juga mula jaga kesihatan dan fitness,” 

telusnya panjang lebar.

Ditanya resipi kebahagiaan yang diamalkan hingga berjaya satukan isteri tercinta, Memey Suhaiza dan bekas isteri, Abby Abadi… Norman berkata dia cuma kembali melaksanakan suruhanNya.

“Saya ambil iktibar atas kelemahan saya dalam rumah tangga dulu dan bersyukur kerana Allah pilih dan satukan kami. Walaupun bukan lagi sebagai suami isteri tapi saya, Memey dan Abby saling menyayangi satu sama lain. Ilaahi Taala.

Saya bahagia dapat isteri dan bekas isteri yang juga ibu kepada anak-anak yang saling menyayangi untuk sama-sama membesarkan mereka. Nak dapat apa yang dihajati ini bukan hanya amalkan dalam setahun dua dah boleh nampak hasilnya. Kena ambil masa dan istiqamah.

Contohnya bagi saya, saya akan bangun pagi bertahajud, berserah kepada Allah Taala dan paling penting sekali, kita buat solat sunat taubat. Minta ampun kepada Allah atas dosa yang telah kita buat selama ini sebab kita manusia tak lari dari khilaf. Keduanya lepas taubat, kita buat solat tahajud dan kita buat solat hajat untuk kita meminta kepadaNya.

Sebab memang dah sebut dalam hadis, waktu tahajud apabila minta kepada Allah Taala ibarat kita memanah dengan keadaan yang tepat. Jadi kita kena istiqamah. Pada saya, itu adalah terapi spiritual yang sangat membantu. Kita Islam, ini adalah cara kita. Inshaallah, setiap tindakan, perlakuan, perkataan yang keluar dari mulut kita untuk menyelesaikan sesuatu masalah… Allah akan ‘kawal’ kita. Segala-galanya pada atas. InshaAllah, percaya dan perbaiki diri kita setiap tahun.

Dulu saya nak baca sepotong ayat pun rasa begitu berat. Tapi alhamdulillah, daripada sepotong ayat dapat baca hingga empat ayat, daripada hanya satu halaman sehari setiap pagi… sekarang dapat baca sampai empat halaman Al-Quran.

Jadi, dari apa yang saya dapat daripada bacaan Al-Quran itulah saya kongsikan kepada isteri dan kemudian dia akan turunkan kepada anak-anak pula. Kita kena istiqamah,” ungkap Norman. Sebelum akhiri perbualan, dia sempat berpesan perkongsian ini dibuat bukan kerana mahu menunjuk-nunjuk sebaliknya sebagai pengajaran kepada semua terutama lelaki bergelar suami agar terus cuba memperbaiki diri demi isteri dan keluarga tersayang.

 

 

Kredit foto: Instagram Norman Hakim

Share
Published by
Suzi