Nama Nur Dhabitah Sabri cukup sinonim dalam arena sukan akuatik dan bergelar ratu terjun negara. Sepanjang pembabitannya sebagai atlet, dia berjaya meraih 25 pingat dalam pelbagai kejohanan sukan asia dan dunia.
Atas pencapaian membanggakan dan konsisten mengharumkan nama negara di persada sukan dunia, Dhabitah berjaya mewakili negara dalam temasya sukan terbesar dunia iaitu Sukan Olimpik sebanyak dua kali di Rio pada tahun 2016 dan Tokyo 2020.
Tahun ini isteri kepada Jiggy berkenaan sekali lagi tersenarai dan layak ke temasya Olimpik Paris 2024 yang bakal berlangsung pada 26 Julai nanti.
Berita gembira tersebut dikongsikan baru-baru ini selepas Dhabitah menjadi pilihan Persekutuan Renang Malaysia (MAS) untuk bersaing di pentas Sukan Olimpik Paris 2024 selepas MAS diberikan satu slot tambahan bagi acara 3 meter papan anjal individu wanita oleh pihak Akuatik Dunia.
Antara atlet renang yang layak ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024 ialah Tan Rouxin dan Khiew Hoe Yean.
Artikel https://www.nona.my/naik-seri-pengantin-ratu-terjun-dhabitah-sabri-tampil-memukau-di-majlis-resepsi/
Minggu lalu, Chef de Mission ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin mengadakan lawatan dan tinjauan persiapan Nur Dhabitah Sabri di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.
Pada lawatan tersebut, Datuk Hamidin meluangkan masa meninjau sesi latihan dan mendapatkan maklumat terkini mengenai persiapan atlet berusia 24 tahun berkenaan.
Dhabitah sah bergelar isteri kepada pelawak, Jiggy atau nama sebenarnya Mohammad Aizat Ahmad Nazri pada 28 April 2023.
Ketika menyertai persiapan Kejohanan Dunia di Fukuoka, Jepun pada Jun tahun lalu, Dhabitah terpaksa berjauhan daripada suami tercinta selama sebulan meskipun waktu itu mereka masih dalam tempoh berbulan madu dan kira-kira dua bulan mendirikan rumah tangga.
Malah Dhabitah dan Jiggy juga akur menangguhkan majlis resepsi mereka demi komitmen atlet berkenaan kepada negara. Bagaimana pun, majlis persandingan pasangan romantis ini berjalan lancar yang diadakan pada November tahun lalu.
Semoga kejayaan sekali lagi berpihak kepada Dhabitah sekaligus membawa pulang pingat buat kontinjen negara di temasya sukan Olimpik Paris 2024!
Hampir 2 Dekad Jadi Usahawan, KAK TON Enggan Tunjuk Mewah & Mahu Cetus Inspirasi!
Kejayaan usahawan kosmetik terkenal tanah air atau lebih dikenali sebagai Kak Ton ini nyata bukan calang-calang. Pasti ada keunikan dan tarikan tersendiri yang dimiliki wanita hebat ini hingga berjaya membuatkan perniagaannya kekal bertahan dalam industri selama hampir dua dekad. Bukan tempoh yang singkat tu!
Apatah lagi dengan persaingan bermacam-macam produk kosmetik yang dijual di pasaran ketika ini. Nona percaya, kalau barangan tersebut berkualiti… sudah tentu ia akan terus mendapat permintaan ramai.
Sejak kemunculan Kak Ton sekitar tahun 2002, tagline popularnya ‘Comel Tak Kak Ton’ masih diingati hingga sekarang. Hampir 18 tahun mengemudi perniagaan dan mencipta legasinya sendiri, Kak Ton atau nama sebenarnya Dr Zaiton Hassan merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Pravenus Beauty Sdn Bhd.
Beberapa tahun menyepi dari industri, figura hebat berkenaan kini kembali aktif mengembangkan legasi. Tanggal 1 Disember lepas merupakan ulang tahun kelahiran Kak Ton yang ke-62! Tak sangka, Kak Ton masih tampil awet muda meskipun sudah meniti usia awal 60an.
Baik secara dalam talian mahupun jualan terus, Kak Ton tidak menang tangan menguruskan tempahan pelanggan setia. Mengimbas kembali pembabitan Kak Ton sebagai usahawan kosmetik, dia mengakui antara jenama kosmetik yang berada pada era sepertinya kira-kira 18 tahun lalu termasuklah Sendayu Tinggi yang diasaskan Bonda Rozita dan Nouvelle Visage milik Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya.
“Tahun 2002 saya buat White Pearl dan tahun 2010 pula saya fokus buat Umar dan Beauty Umaira. Nak berniaga ni bukan tengok orang lain buat 10 jenis, kita nak buat juga. Kualiti kena jaga begitu juga keikhlasan berniaga sebab saya tak nak esok-esok mati benda ni ‘berat’. Seperti mana saya selalu pesan dekat anak saya, Nadia Annuar… mimpi biar tinggi yang penting kita kena capai. Mimpilah setinggi mana pun tapi jangan duduk sahaja. Kena pegang mimpi tu.
Bila kita berniaga, ikhlas dan jujur sangat penting. Keselamatan orang awam juga sangat penting. Biar kalau makan selamat dan jangan ambil mudah. Selain itu, kita kena jaga diri dan kesihatan untuk terus beramal ibadah kepada Allah SWT. Memang ujian itu datang dalam macam-macam cara. Saya sendiri pun ada ujian yang tak boleh cerita dengan orang. Cuma apa yang boleh saya cakap, kita terima ujian tersebut dan reda.
Dalam merancang pemasaran dan memastikan produk keluarannya dijamin selamat, Kak Ton turut tidak alpa terhadap tanggungjawab sebagai seorang hamba Yang Maha Esa. Semakin banyak rezeki dan kejayaan yang diperoleh, semakin banyak amal ibadah yang dilakukan. Enggan riak dalam menjaga hubungan dengan Allah SWT, Kak Ton sebaliknya menjelaskan amalan tersebut telah lama dilakukan sejak berpuluh-puluh tahun lepas.
“Dah berpuluh tahun saya buat solat sunat. Bila dah berjaya dan sampai peringkat yang kita mahu, saya akan pastikan saya buat solat Tahajud 4 pagi. Diikuti solat Subuh, solat Tasbih, sampai ke solat Dhuha. Baru saya tidur balik dan bangun pukul 11 pagi,” ujarnya.
Mendengar pengakuan ibu tersayang, Nadia Annuar yang berada di sisi turut menyusun bicara. “Saya sebagai saksi semua perubahan yang mummy alami dalam hidup dia. Sebelum ini, iya… memang mummy mengamalkan. Tapi selepas berjaya, semakin banyak mummy amalkan sebagai tanda bersyukur kepada Allah SWT.
Kredit foto: Instagram Kak Ton & Nadia Annuar
Ustazah Asma’ Harun Kongsi 10 Amalan Boleh Dilakukan Pada Awal Zulhijjah
SubhanAllah, bulan Zulhijjah salah satu bulan haram, bermaksud tidak dibenarkan berperang kerana dianggap sebagai bulan yang suci.
Daripada Abi Bakrah r.a., bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
الزَّمَانُ قَدْ اِسْتَدَارَ كَهِيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللهُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ، السَّنَةُ اِثْنَا عَشَرَ شَهْرًا، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلَاثَةٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُو الْقَعِدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالمُحَرَّمُ، وَرَجَبُ مُضُرٌّ، الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ
Maksudnya: “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zul al-Kaedah, Zul al-Hijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadil Akhir dan Syaaban.”
(HR al-Bukhari, hadis sahih)
Jika bulan Ramadan dikenali dengan keistimewaan 10 malam terakhir, bulan Zulhijjah pula mempunyai keistimewaan pada 10 hari terawal sepertimana firman Allah SWT:
وَالْفَجْرِ ﴿١﴾ وَلَيَالٍ عَشْرٍ ﴿٢﴾
Maksudnya: “Demi waktu fajar, dan 10 malam (serta hari terawal Zulhijjah).”
(Surah al-Fajr: 1-2)
Bahkan ia turut disebutkan dalam hadis Nabi SAW bahawa jihad di jalan Allah SWT tidak dapat menandingi amalan yang dilakukan pada bulan suci ini.
Daripada Ibnu Abbas r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda:
مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ؟ قَالَ: وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ، إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ، فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ
Maksudnya: “Tiada hari-hari yang amalan soleh paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini iaitu Baginda memasukkan 10 hari terawal Zulhijjah. Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?” Baginda bersabda, “Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.”
(HR al-Bukhari, hadis sahih)
SubhanAllah, betapa besarnya nilai amalan pada waktu ini di sisi Allah SWT, maka jangan lepaskan peluang ini untuk merebut keistimewaan pada bulan Zulhijjah ini supaya mendapat redha-Nya dan kebaikan.
Andai tidak berpeluang untuk mengerjakan ibadah haji di bulan ini, masih terdapat pelbagai amalan yang disarankan untuk kita melakukan amal soleh sebanyaknya, seperti:
Sunat untuk tidak memotong, mencabut dan mencukur rambut, bulu mahupun kuku bagi orang yang melakukan ibadah korban bermula daripada 1 Zulhijjah sehingga haiwan korbannya disembelih.
Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ كَانَ لَهُ ذِبْحٌ يَذْبَحُهُ فَإِذَا أُهِلَّ هِلَالُ ذِي الْحِجَّةِ، فَلَا يَأْخُذَنَّ مِنْ شَعْرِهِ، وَلَا مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئًا حَتَّى يُضَحِّيَ
Maksudnya: “Barang siapa yang mempunyai haiwan korban untuk disembelih, maka apabila terlihatnya anak bulan Zulhijjah, janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya, mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai berkorban.”
(HR Muslim, hadis sahih)
Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ وَعِنْدَهُ أُضْحِيَّةٌ يُرِيدُ أَنْ يُضَحِّيَ فَلاَ يَأْخُذَنَّ شَعْرًا وَلاَ يَقْلِمَنَّ ظُفُرًا
Maksudnya: “Apabila masuknya sepuluh (hari Zulhijjah) dan seseorang itu mempunyai haiwan korban yang dia hendak menyembelihnya, maka janganlah dia memotong rambutnya dan jangan dia memotong kukunya.”
(HR Muslim, hadis sahih)
Anjuran untuk tidak memotong rambut, bulu dan kuku ini merupakan pendapat Imam al-Syafi’e beserta ashabnya yang lain dan ia juga adalah pendapat muktamad dalam mazhab al-Syafi’e.
2. BERPUASA PADA HARI ARAFAH
Selain daripada mengamalkan puasa sunat Isnin Khamis dan hari putih, kita digalakkan untuk berpuasa pada hari Arafah iaitu bersamaan 9 Zulhijjah. Ia adalah bersempena amalan berwukuf di Padang Arafah yang merupakan salah satu daripada rukun fardhu bagi umat Islam yang menunaikan ibadah haji.
Daripada Abu Qatadah bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
صِيَامٌ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ أَن يُكَفِّرُ السَّنَّةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالَّتِي بَعْدَهُ
Maksudnya: “Berpuasa pada hari Arafah kerana mengharap pahala daripada Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun sebelum dan sesudahnya.”
(HR Muslim, hadis sahih)
LAFAZ NIAT PUASA SUNAT ARAFAH:
نَوَيْتُ صَوْمَ عَرَفَةَ سُنَّةً لِلّٰهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku berpuasa Arafah, sunat kerana Allah ta’ala.”
Walau bagaimanapun, kita dilarang untuk berpuasa pada hari-hari tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Pada hari tersebut, para jemaah haji sedang melakukan amalan melontar jamrah di Mina.
Manakala bagi umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah haji pula, digalakkan untuk melakukan ibadah korban. Kita dianjurkan untuk menikmati makanan dan minuman sebagai bentuk syukur atas nikmat Allah SWT.
Sabda Nabi Muhammad SAW:
أَيَّامُ التَّشْرِيقِ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ
Maksudnya: “Hari tasyrik adalah hari untuk makan dan minum.”
(HR Muslim, hadis sahih)
3. PERBANYAKKAN BERDOA DAN SALING MENDOAKAN ANTARA SATU SAMA LAIN
Nabi Muhammad SAW bersabda:
خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ، وَخَيْرُ مَا قُلْتُ أَنَا وَالنَّبِيُّونَ مِنْ قَبْلِي: لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ، وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلَّ شَيْءٍ قَدِيْرُ
Maksudnya: “Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga diucapkan para nabi sebelumku ialah, tidak ada yang berhak disembah selain Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”
(HR al-Tirmizi, hadis hasan)
Dalam hadis yang lain, Nabi Muhammad SAW bersabda:
مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللَّهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ وَإِنَّهُ لَيَدْنُو ثُمَّ يُبَاهِى بِهِمُ الْمَلاَئِكَةَ فَيَقُولُ مَا أَرَادَ هَؤُلاَءِ
Maksudnya: “Tidak ada hari di mana Allah membebaskan hamba dari neraka lebih banyak daripada hari Arafah, dan sungguh Dia mendekat lalu membanggakan mereka di depan para malaikat dan berkata: “Apa yang mereka inginkan?”
(HR Muslim, hadis sahih)
Saling mendoakan antara satu sama lain dengan mengucapkan:
تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْك
Maksudnya: “Semoga Allah menerima amalan kami dan kamu.”
Daripada Jubair bin Nufair r.a. katanya:
كَانَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا اِلْتَقَوْا يَوْمَ الْعِيدِ يَقُولُ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ: تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْك
Maksudnya: “Apabila para sahabat Rasulullah SAW bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu).”
(Fath al-Bari, sanad hasan)
4. MENGHIDUPKAN SUASANA HARI RAYA DENGAN TAKBIR
Sabda Nabi Muhammad SAW:
زَيِّنُوْا أَعْيَادَكُمْ بِالتَّكْبير
Maksudnya: “Kamu hiasilah hari raya dengan takbir.”
(HR al-Thabarani)
Al-Bukhari meriwayatkan bahawa Ibnu Umar dan Abu Hurairah r.a. keluar ke pasar pada 10 hari awal Zulhijjah, lalu mereka bertakbir sehingga menyebabkan orang ramai turut bertakbir bersama mereka.
‘Affan turut menceritakan peristiwa ini. Beliau berkata: “Abu Hurairah dan Ibnu Umar datang ke pasar pada 10 hari terawal bulan Zuhijjah, kemudian meraka bertakbir dan orang ramai turut bertakbir bersama mereka. Mereka berdua tidak datang melainkan untuk bertakbir.”
Terdapat dua jenis takbir pada hari raya:
i. Takbir Mursal atau Mutlaq (المرسل أو المطلق)
• Bermula sebaik sahaja terbenam matahari pada malam hari raya (sama ada Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya Aidiladha), dan ia berterusan hinggalah apabila imam mula mengangkat takbir bagi menunaikan Solat Hari Raya.
ii. Takbir Muqayyad (المقيد)
• Bermula dari solat Subuh Hari Arafah (9 Zulhijjah) hinggalah selepas solat Asar pada Hari Tasyrik terakhir (13 Zulhijjah).
5. PERBANYAKKAN BERZIKIR
Hadis Nabi Muhammad SAW:
مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ وَلَا أَحَبُّ إِلَيْهِ مِنْ الْعَمَلِ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ الْعَشْرِ فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنْ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ
Maksudnya: “Tidak ada satu hari yang pahala di hari itu lebih besar di sisi Allah dan beramal di hari itu lebih dicintai di sisi Allah daripada sepuluh hari ini (10 hari awal Zulhijjah). Oleh sebab itu perbanyaklah kalian bertahlil, bertakbir dan bertahmid.”
(HR Ahmad, hadis sahih)
6. PERBANYAKKAN SEDEKAH DAN MENGHUBUNGKAN SILATURAHIM
Daripada Abu Umamah al-Bahili berkata, Rasulullah SAW bersabda:
صَنَائِعُ الْمَعْرُوفِ تَقِي مَصَارِعَ السُّوءِ، وَصَدَقَةُ السِّرِّ تُطْفِئُ غَضَبَ الرَّبِّ، وَصِلَةُ الرَّحِمِ تَزِيدُ فِي الْعُمْر
Maksudnya: “Orang-orang yang melakukan kebaikan akan memelihara diri mereka dari nasib buruk. Sedekah secara rahsia menghapuskan kemurkaan Tuhan dan silaturahim pula menambahkan umur.”
(HR al-Thabarani, hadis hasan)
7. MENTADABBUR AYAT AL-QURAN
Tadabbur bermaksud menghayati atau merenung kisah-kisah yang terdapat dalam al-Quran sewaktu membacanya.
Firman Allah SWT:
أَفَلَا یَتَدَبَّرُونَ ٱلۡقُرۡءَانَۚ وَلَوۡ كَانَ مِنۡ عِندِ غَیۡرِ ٱللَّهِ لَوَجَدُوا۟ فِیهِ ٱخۡتِلَـٰفا كَثِیرا
Maksudnya: “Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi al-Quran? Kalaulah al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.”
(Surah al-Nisa’: 82)
8. MENDIRIKAN SOLAT SUNAT HARI RAYA AIDILADHA DAN TIDAK MENJAMAH MAKANAN SEBELUMNYA
Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a., dia berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالْأَضْحَى إِلَى الْمُصَلَّى فَأَوَّلُ شَيْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلَاةُ
Maksudnya: “Ketika Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah SAW keluar menuju tempat solat (lapangan), dan pertama kali yang beliau kerjakan adalah solat hingga selesai.”
(HR al-Bukhari, hadis sahih)
Sebelum menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha, kita disunatkan untuk tidak mengambil sarapan terlebih dahulu.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Buraidah, daripada ayahnya, katanya:
كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم َلا يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَطْعَمَ وَلا يَطْعَمُ يَوْمَ الْأَضْحَى حَتَّى يُصَلِّي
Maksudnya: “Nabi Muhammad SAW tidak keluar (ke tempat solat) pada Aidilfitri sehingga beliau makan terlebih dahulu, dan beliau tidak makan terlebih dahulu pada Aidiladha sehingga beliau solat terlebih dahulu.”
(HR al-Tirmizi, hadis sahih)
9. MELAKUKAN IBADAH KORBAN BAGI YANG MAMPU
Daripada Aisyah r.a., bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا
Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (haiwan korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).”
(HR al-Tirmizi, hadis hasan)
10. MAKAN DAGING KORBAN DAN BERIKAN KEPADA ASNAF FAKIR MISKIN
Bagi mereka yang bukan melakukan ibadah korban nazar atau korban wajib, disunatkan untuk memakan sedikit daging korban sebagai sekadar mengambil berkat dan menyedekahkan bakinya kepada golongan fakir miskin.
Firman Allah SWT:
فَكُلُوا۟ مِنْهَا وَأَطْعِمُوا۟ ٱلْبَآئِسَ ٱلْفَقِيرَ
Maksudnya: “Maka makanlah sebahagian daripadanya (haiwan korban) dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara dan fakir.”
(Surah al-Hajj: 28)
Menurut Imam Ibnu hajar:
“Secara zahirnya, sebab yang menjadikan 10 hari terawal Zulhijjah lebih utama dari hari yang lain kerana ia menghimpunkan semua amalan utama dalam Islam iaitu solat, puasa, sedekah dan haji. Terhimpunnya amalan-amalan ini tidak berlaku dalam hari-hari yang lain.”
(Fath al-Bari, sanad hasan)
Walau bagaimanapun, masih banyak lagi ibadah sunat lain yang boleh kita lakukan di bulan Zulhijjah ini, namun berikut adalah antara amalan yang boleh kita lakukan. Semoga segala pengorbanan yang kita lakukan diterima Allah SWT dan menjadikan kita lebih dekat kepada-Nya.
تَقَبَلَ اللّٰهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ
كُلُّ عَامٍ وَأَنْتُمْ بِخَيْرٍ
RUJUKAN
Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Bayan Li al-Haj Siri ke-32: Keistimewaan Dan Fadhilat 10 Awal Zulhijjah: Marilah Kita Beramal.
Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Bayan Linnas Siri Ke-110: Kelebihan Hari Arafah Dan Hari Raya Aidiladha.
Almanhaj. Keutamaan 10 Hari Pertama Bulan Dzulhijjah Dan Amalan Yang Disyariatkan.
Kredit: Facebook Ustazah Asma’ Harun
Pernah Popular Dengan Lagu TENDA BIRU, DESY RATNASARI Masih Jelita Di Usia 48 Tahun
Tak sengaja lewat depan rumahmu
Ku melihat ada tenda biru
Dihiasi indahnya janur kuning
Hati bertanya, “Pernikahan siapa?”
Lagu “Tenda Biru” nyanyian Desy Ratnasari ini sememangnya cukup popular di Malaysia. Lagu yang mengisahkan tentang kekecewaan seorang wanita ketika pasangannya telah menikah dengan yang lain ini sering mendapat tempat di kalangan masyarakat Malaysia. Siapa sangka, pelantun lagu berhantu itu kini merupakan seorang ahli politik mewakili Jakarta Selatan di Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) bagi penggal 2019 – 2024.
Walaupun sibuk dengan arena politik, ibu kepada seorang cahaya mata ini tetap anggun walaupun usianya kini telah menjangkau usia 48 tahun. Bukan sahaja terlihat cantik, malah ramai peminat sering memuji kejelitaannya tatkala bergandingan dengan satu-satunya anak perempuan hasil perkahwinan dengan suami pertamanya, Sammy Hamzah.
Desy Ratnasari mendirikan rumahtangga dengan Sammy Hamzah pada tahun 2001.
Namun perkahwinan tersebut hanya bertahan selama dua tahun. Hasil perkahwinan dengan Desy dikurniakan anak perempuan, Nasywa Nathania Hamzah yang kini berusia 20 tahun. Sebelum itu, Desy pernah berkahwin dengan Trenady Pramudya pada tahun 1999 namun perkahwinannya itu hanya bertahan selama satu tahun sahaja dan tidak dikurniakan cahaya mata.
Walaupun sibuk dengan tugas seharian sebagai ahli politik, Desy Ratnasari masih bijak mengekalkan kejelitaannya walaupun bakal menginjak angka 50 tahun. Dari akaun Instagramnya, dapat dilihat jadual sehariannya yang padat dengan pelbagai kegiatan sebagai anggota DPR-RI FPAN Komisi X.
Meskipun sibuk, kejelitaannya tidak banyak berubah sejak dari zaman kegemilangannya sebagai selebriti terkenal di Indonesia. Desy Ratnasari pernah berkongsi rahsia awet muda dirinya dalam satu wawancara berkenaan dirinya.
Bintang filem Joshua Oh Joshua ini tidak gemar memikirkan perkara yang boleh membuatkan dirinya runsing secara keterlaluan. Menurut Desy, itu antara rahsia bagaimana dia memastikan kesihatan fizikal dan mental terpelihara sebaiknya.
“Saya juga menjaga pola kehidupan agar kekal sihat. Apabila usia semakin meningkat, saya lebih memilih pemakanan dan lebih suka mengambil buah-buahan dan madu dalam diet seharian,” ujar wanita yang mepunyai darah keturanan Sunda.
Meski demikian, Desy menegaskan dirinya tidak terlalu rigit soal penjagaan wajah tetapi lebih mengamalkan pemakanan yang seimbang.
“Saya paling malas ke salon, paling malas melakukan perawatan, yang normal-normal sajalah,” ujarnya dalam salah satu video di laman media sosial miliknya. Namun Desy tetap menggunakan krim perawatan kulit maupun bedak yang sesuai dengan jenis kulitnya untuk menjaga penampilan diri secara luaran.
Selain itu, kunci utama rahsia awet muda Desy Ratnasari juga termasuk kebiasannya untuk mendapatkan tidur yang mencukupi dan menghindari cuaca panas secara berlebihan.
Tambah Desy lagi, dia lebih mementingkan kehidupan yang tenang dan positif kerana ia merupakan kunci kesihatan luaran dan dalaman yang terbaik.
“Saya selalu yakin jika memiliki kesihatan fizikal, mental dan pengharapan pada Allah maka ia akan terpancar di wajah. Saya lebih selesa dengan cara itu,” tambahnya.
Sejak akhir-akhir ini, pelantun lagu “Tenda Biru” itu dikhabarkan bakal menikah lagi. Khabar angin bertiup kencang pengacara David Chalik dikatakan sebagai calon suami Desy Ratnasari.
Sumber: Kompas.com