Nama Nur Dhabitah Sabri cukup sinonim dalam arena sukan akuatik dan bergelar ratu terjun negara. Sepanjang pembabitannya sebagai atlet, dia berjaya meraih 25 pingat dalam pelbagai kejohanan sukan asia dan dunia.
Atas pencapaian membanggakan dan konsisten mengharumkan nama negara di persada sukan dunia, Dhabitah berjaya mewakili negara dalam temasya sukan terbesar dunia iaitu Sukan Olimpik sebanyak dua kali di Rio pada tahun 2016 dan Tokyo 2020.
Tahun ini isteri kepada Jiggy berkenaan sekali lagi tersenarai dan layak ke temasya Olimpik Paris 2024 yang bakal berlangsung pada 26 Julai nanti.
Berita gembira tersebut dikongsikan baru-baru ini selepas Dhabitah menjadi pilihan Persekutuan Renang Malaysia (MAS) untuk bersaing di pentas Sukan Olimpik Paris 2024 selepas MAS diberikan satu slot tambahan bagi acara 3 meter papan anjal individu wanita oleh pihak Akuatik Dunia.
Antara atlet renang yang layak ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024 ialah Tan Rouxin dan Khiew Hoe Yean.
Minggu lalu, Chef de Mission ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin mengadakan lawatan dan tinjauan persiapan Nur Dhabitah Sabri di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.
Pada lawatan tersebut, Datuk Hamidin meluangkan masa meninjau sesi latihan dan mendapatkan maklumat terkini mengenai persiapan atlet berusia 24 tahun berkenaan.
Dhabitah sah bergelar isteri kepada pelawak, Jiggy atau nama sebenarnya Mohammad Aizat Ahmad Nazri pada 28 April 2023.
Ketika menyertai persiapan Kejohanan Dunia di Fukuoka, Jepun pada Jun tahun lalu, Dhabitah terpaksa berjauhan daripada suami tercinta selama sebulan meskipun waktu itu mereka masih dalam tempoh berbulan madu dan kira-kira dua bulan mendirikan rumah tangga.
Malah Dhabitah dan Jiggy juga akur menangguhkan majlis resepsi mereka demi komitmen atlet berkenaan kepada negara. Bagaimana pun, majlis persandingan pasangan romantis ini berjalan lancar yang diadakan pada November tahun lalu.
Semoga kejayaan sekali lagi berpihak kepada Dhabitah sekaligus membawa pulang pingat buat kontinjen negara di temasya sukan Olimpik Paris 2024!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Seraut wajah lembut dan penuh sifat keibuan, senantiasa membayangi kecantikan Raja Permaisuri Agong ke-16 kesayangan rakyat Malaysia ini.
KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj meraikan sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan ke-61 hari ini.
Di seluruh media sosial, rakyat jelata mendoakan KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku agar sentiasa berada dalam lingkungan dan rahmat Allah, dipanjangkan usia dan dikurniakan kesihatan yang berpanjangan.
ANAK JOHOR
Raja Permaisuri Agong telah diputerikan pada Jumaat, 5 Ogos 1960 bersamaan 11 Safar 1380H, di Istana Bukit Stulang, Johor Bahru.
Baginda merupakan puteri yang ketiga kepada pasangan Almarhum Sultan Iskandar Ibni Sultan Ismail bersama Almarhum Enche’ Besar Hajah Kalsom Abdullah.
Baginda juga memiliki empat orang adik-beradik termasuk kakandanya, Sultan Johor iaitu Sultan Ibrahim Ismail Ibni Sultan Mahmud Iskandar.
KEHIDUPAN
Pendidikan awal Raja Permaisuri Agong bermula di Sekolah Taman Kanak-kanak Tunku Ampuan Mariam, Johor Bahru. Baginda seterusnya bersekolah di Sekolah Perempuan Rendah Sultan Ibrahim, Johor Bahru, dan meneruskan pendidikannya ke peringkat menengah di Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru.
Baginda berkahwin dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada bulan Mac 1986. Baginda berdua telah dikurniakan dengan 4 orang putera dan dua orang puteri.
MENYENANGKAN
Kegemaran Raja Permaisuri Agong pada masa lapang ialah membaca, memasak, menjahit, bermain golf dan paling utama menjaga dan bermain-main dengan paduka-paduka anakanda serta berbakat dalam bidang penulisan.
Patik dan sekalian warga kerja Majalah Nona merafak sembah setinggi-tinggi tahniah kepada Raja Permaisuri Agong sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-61. Daulat Tuanku!
Sumber: Istana Negara
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Marian Rivera yang kini berusia 35 tahun dan mempunyai darah kacukan Sepanyol-Filipina ini baharu saja melahirkan anak keduanya sebulan yang lalu. Marian terlalu bersyukur dengan kelahiran anak lelaki yang sudah dinantikan selama tiga tahun.
Namun, mata tak berkelip memandang sosok tubuh Marian Rivera apabila baru-baru ini seorang pereka fesyen terkenal di Filipina telah memuat turun gambarnya di laman sosial miliknya. Ramai yang mengagumi pelakon cantik Filipina ini apabila berjaya tampil langsing hanya dalam sekelip mata saja.
Pereka fesyen, Rosanna Ocampo-Rodriguez juga seakan-akan terkejut melihat penampilan Marian yang pernah berlakon dalam drama MariMar ini saat menyarung baju hasil rekaannya. “Didn’t she just give birth a month ago??? Beautiful mother of two Marian Rivera wearing our Xandrita dress,” kongsinya.
Cantik sungguh wajah Marian ini walau baharu sebulan bersalinkan anak lelakinya, Ziggy. Tak puas mata memandang melihat kecantikan asli miliknya sebaik sahaja disolek oleh mekap artis, Steven Doloso.
Pelakon cantik ini sebelum ini mempunyai puteri sulung, Maria Letizia Dantes yang kini berusia 3 tahun. Marian Rivera turut berkongsi cerita tentang anak sulungnya sedang menyesuaikan diri sebagai kakak dengan kehadiran adik lelaki dalam hidupnya.
Kongsi Marian Rivera di laman Instagramnya, “How sweet is this photo of Letizia and Sixto? I know that you two will forever watch out for each other the same way that I will love, support and protect both of you,” cerita Marian Rivera yang merupakan isteri kepada pelakon terkenal Filipina, Dingdong Dantes.
Wanita yang sering melemparkan senyuman manis ini turut mengendalikan perniagaan membekalkan bunga-bunga segar yang dikenali senagai Flora Vida by Marian. Bukan itu sahaja malah pelakon cantik ini sering turun padang mengembirakan kanak-kanak sumbing menerusi Smile Train Philippines Foundation.
Baru-baru ini sempena sambutan Hari Ibu, Marian Rivera telah menghasilkan coklat dan hasil jualannya disalurkan kepada yang memerlukan. Salah satunya adalah dengan menyumbang kepada kanak-kanak yang dilahirkan sumbing.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Karisma dan pemikiran optimis Dr. Abdullah @ Maliq Alias dalam mengemudi empayar perniagaan estetik miliknya wajar menjadi inspirasi kepada individu yang mahu bergelar usahawan.
Meskipun sedar industri kosmetik dan kecantikan masa kini berdepan banyak persaingan namun anak jati kelahiran Johor ini nekad mendalami lapangan kerjaya berkenaan bersandarkan niat murninya untuk memberikan khidmat rawatan terbaik dengan cara yang selamat.
Menelusuri latar belakang Dr. Abdullah @ Maliq atau mesra disapa Dr. Maliq, beliau yang merupakan Pengarah Urusan Dr Cute International Sdn Bhd memiliki 15 tahun pengalaman dalam bidang perubatan dan berpengetahuan luas dalam dunia kecantikan selama tujuh tahun.
Graduan Ijazah Sains Bioperubatan ini menerima pentauliahan Doktor Kesihatan Pekerjaan (OHD) pada tahun 2015 dan pengiktirafan sebagai Doktor Estetik dua tahun kemudian.
Terdahulu, Dr. Maliq pernah berkhidmat di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai Ketua Unit Non-Communicable Disease (NCD), Ketua Unit Penyelidikan dan Ketua Unit Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar (KPAS). Pada tahun 2016, Dr. Maliq membuka klinik pertamanya iaitu Poliklinik Desaru di Johor Bahru.
Mengulas pembabitannya dalam dunia kecantikan, anak bongsu daripada lapan beradik ini memberitahu beliau sendiri tidak menyangka mampu menguruskan pusat kecantikan estetik sendiri biarpun minat terhadap kesihatan dan kecantikan mula bercambah dalam diri sejak kecil lagi.
“Tahun 2016 saya bina kerjaya sebagai General Practice dengan buka klinik sendiri dan kegembiraan itu tak berpanjangan kerana ibu saya meninggal dunia pada tahun sama. Saya rancang buka klinik estetik tapi bila berlakunya Covid-19, saya mula ubah nature bisnes dan lebih fokus kepada online.
Maka tahun 2021 lahirlah jenama Dr Cute atau DC. Alhamdulillah walau tak pernah terlintas hendak jadi doktor kecantikan pada mulanya. Tapi saya syukur dengan percaturan Allah,” ujar Dr. Maliq yang mendedahkan penyebab utama beliau menjadi doktor estetik kerana masalah kulit berjerawat yang dialami hingga membuatkannya mahu menghasilkan produk penjagaan kulit formulasi sendiri.
“Saya sendiri buat R&D dan kumpulkan bahan-bahan untuk formulasi produk. Semuanya bermula dua tahun lepas dengan kerjasama beberapa kilang. Sebelum dijual, kami terlebih dahulu uji keberkesanan produk itu. Kalau keputusan baik dan tak memudaratkan baru ia dikomersial di pasaran.
Seperti fesyen, dunia kecantikan juga berubah-ubah dengan pantas. Bila ada new ingredient yang dipercayai berkesan untuk kulit, saya sebagai doktor tak mahu masyarakat kita ketinggalan supaya produk tempatan memiliki kualiti yang setanding antarabangsa.”
Sepanjang dua tahun DC berada di pasaran, Dr. Maliq sudah menghasilkan 10 rangkaian produk termasuk penjagaan kulit dan supplemen seperti pembersih wajah, krim pencerah, sunscreen, serum, set jeragat, vitamin C dan minuman pelangsingan.
“Produk DC tergolong gred perubatan, bermakna proses formulasi produk kulit itu melibatkan ramuan aktif yang lebih fokus membantu masalah kulit misalnya kalau pengguna berjeragat, kami akan gabung bahan seperti alpha arbutin dan niacinamide bagi merawat masalah berkenaan.
Satu kelebihan bila doktor menjadi pengasas produk ialah kami hasilkan produk yang selamat serta tidak mengandungi bahan-bahan terlarang seperti merkuri yang dikategori di bawah racun terkawal.”
Aktif memasarkan produk secara atas talian, nama Dr Cute bukan lagi asing dalam platform media sosial terutamanya TikTok.
Dr. Maliq memiliki ratusan ribu followers di media sosial tersebut dan menggunakan pengaruhnya untuk memperjuang produk kulit selamat kepada pengguna khususnya golongan wanita. Bahkan dia sering menjadi rujukan warga maya berkaitan isu kesedaran produk berbahaya dan seumpamanya.
Tak hairanlah dalam tempoh dua tahun jenama DC diasaskan ia berjaya mencapai jualan mencecah enam angka.
“Tahun ni kita dah pecah rekod dan berjaya capai jualan sasaran RM7,000,000. Saya pun dah ada kilang sendiri di Kuala Terengganu tahun ini. Kami looking forward untuk ada lebih banyak produk.
Saya syukur ia diterima baik masyarakat dan klien. InsyaAllah sedikit waktu lagi, kita akan berkolaborasi dengan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk penyelidikan berkaitan kesihatan kulit.
Tak dinafikan bila saya selaku pengasas lantang bersuara mengenai produk berbahaya di media sosial dan beritahu kebenaran, ada segelintir pihak yang rasa kurang senang dengan mengatakan saya cuba tutup periuk nasi orang dan mahu lariskan produk sendiri.
Hakikatnya, keselamatan pengguna menjadi keutamaan kerana saya juga seorang doktor yang perlu jaga keselamatan mereka,” telus Dr. Maliq yang pernah menerima ugutan dan kecaman di media sosial.
Sudah menjadi lumrah usahawan dan pengasas yang tidak terlepas daripada berdepan pelbagai cabaran sebelum mendaki puncak kejayaan. Begitu juga Dr. Maliq yang tidak terkecuali menerima kritikan dan tohmahan pihak tertentu sepanjang berkecimpung dalam industri ini.
“Sepanjang bergiat aktif secara online, saya dapat banyak sangat tentangan, ugutan dan dikecam teruk. Kalau dulu, bertugas sebagai doktor saya tak expose diri ke hadapan. Apatah lagi saya pun seorang introvert.
Bila dikecam, saya menangis. Waktu itu saya rasa keliru adakah ini jalan yang saya pilih. Tapi bila mengenangkan idola saya iaitu Rasulullah SAW, saya kembali bangkit.
Saya kena kuat dalam perjuangan ini supaya saya dapat kesedaran kepada masyarakat tentang bahayanya produk merkuri yang bukan sekadar menjejaskan kulit tapi juga kesihatan tubuh badan.
Semua orang nak cantik, putih dan miliki kulit mulus tapi berpada-pada. Pilihlah produk atau item yang selamat sebab nyawa kita hanya satu. Bila buah pinggang rosak, tak boleh ganti.
Sepanjang saya kerja di klinik dan bertugas sebagai doktor di KKM, saya jumpa ramai pesakit yang menderita sebab nak cantik. Paling teruk, pesakit umur 20an yang alami buah pinggang rosak disebabkan ambil supplemen berbahaya, drip putih dan pakai produk merkuri. Ada juga masalah kemandulan disebabkan produk merkuri,” tegasnya.
Sebelum mengakhiri perbualan, doktor berusia 41 tahun ini memandang persaingan positif dengan keistimewaan produk keluarannya biarpun kebanyakan pengasas produk kecantikan terdiri daripada individu popular seperti selebriti dan pempengaruh media sosial.
“Saya suka persaingan sihat ini dan untuk saya sebagai seorang yang mempunyai latar belakang perubatan, saya lebih fokus kepada memberi pengetahuan dan kesedaran kepada masyarakat. Bukan semata-mata untuk melariskan produk jualan sendiri.
Pada akhirnya, produk yang berkesan dan berkualiti akan kekal lama di pasaran. Selagi boleh beri yang terbaik, saya akan berusaha sebab kita tahu bisnes ini kalau lihat dari perspektif lebih luas ia menjurus kepada menyelesaikan masalah orang. Bagaimana kita nak bawa diri dan berikan yang terbaik kepada komuniti.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!