Penyanyi bersuara lunak dan juga juara program realiti TV Masterchef Malaysia, Syura selamat melahirkan seorang bayi lelaki di sebuah pusat perubatan di Masai, Johor kira-kira jam 9.01 malam pada Isnin. Berita gembira tersebut dimaklumkan dia dan suaminya, Muhamad Farizat Ismail menerusi sebuah muat naik posting di laman Instagram hari ini.
“Syukur Alhamdulillah.. Pada 13 Mac 2023 isteri saya telah selamat melahirkan seorang putera seberat 2.5 kilogram (kg) secara normal pada pukul 9 malam.
“Syura dirawat sempurna oleh Dr. Thokha Muhammad di Regency Specialist Hospital, Johor Bahru.. Terima kasih di atas segala doa yang tak hentio-henti dari semua. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas segala doa kalian. Terima kasih sayang untuk anugerah terindah ini..” tulis suaminya di Instagram.
Menerusi hantaran sama, pasangan sama cantik sama padan ini turut mendedahkan nama anak lelaki mereka di akhir kapsyen tersebut.
“Assalamualaikum dan selamat datang sayang daddy mummy, Muhammad Umar Eussof,” tambahnya.
Untuk rekap, Syura berkahwin dengan pilihan hatinya, Farizat pada 22 Januari tahun lalu. Ini merupakan perkahwinan kedua Syura di mana beliau pernah berkahwin Mohd Fadhly Md Yassin pada 16 April 2006 namun berpisah pada Ogos 2015.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Nurul Dania Irdani, 15, Nurul Qaisara Sofia, 13, dan Muhammad Irfan Aryan, 11.
Laporan Autopsi Lisa Presley Terbongkar, Pakar Dedah Komplikasi Pembedahan Bariatrik Ragut Nyawanya!
Nak cepat kurus, kini ramai memilih pembedahan bariatrik bagi mengecilkan saiz perut, mengawal selera makan dan mengurangkan penyerapan makanan oleh usus. Sayangnya ia sangat berisiko tinggi, malah mengundang maut seperti yang dialami anak mendiang Elvis Presley, Lisa Marie Presley.
Menurut Sinar Harian, kematian Lisa Presley pada 12 Januari lalu mengundang perhatian ramai. Pelakon dan penulis lirik itu dilaporkan ditemui tidak sedarkan diri akibat jantung terhenti mengejut (cardiac arrest) sebelum meninggal dunia di sebuah hospital di Los Angeles.
Enam bulan selepas pemergiannya, laporan autopsi yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Los Angeles mendapati punca kematian mendiang dikaitkan dengan pembedahan bariatrik.
Jika allahyarhamah Rohana Jalil berdepan komplikasi kebocoran usus, mendiang Lisa Presley pula berdepan komplikasi usus kecil yang tersepit. Ia mengakibatkan tisu melekat berkembang selepas pembedahan bariatrik yang dilakukannya beberapa tahun lalu.
Menerusi E! Online, laporan autopsi bintang terkenal itu juga mendapati tahap terapeutik dua jenis opiod dan ubat anti psikotik yang dikesan tidak menyebabkan kematiannya.
Difahamkan, laporan autopsi turut mengatakan Lisa Presley mengalami kesakitan pada perut beberapa hari sebelum kematiannya.
Kehilangan mendiang dirasai para peminat. 10 hari selepas pemergian, ratusan ahli keluarga dan kenalan menghadiri pengebumian di Graceland, Memphis manakala lebih daripada 1.5 juta menonton upcara itu menerusi penstriman langsung.
Lisa Presley pernah berkahwin dengan penyanyi Michael Jackson, pemuzik Danny Keough, aktor Nicholas Cage dan pemain gitar, Michael Lockwood.
Pemergian beliau meninggalkan tiga cahaya mata iaitu aktres Riley Keough, 33, dan pasangan kembar, Harper dan Finley Lockwood, 14. Anak lelakinya, Benjamin Keough telah meninggal dunia pada tahun 2020.
Kesimpulannya, tidak semua orang sesuai menjalani rawatan ini. Tiada jalan singkat untuk menjaga kesihatan dan menurunkan berat badan kecuali menjalani gaya hidup sihat serta mengamalkan pemakanan seimbang.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/usia-26-tahun-anak-saudara-raja-pop-dunia-ini-jadi-jelmaan-michael-jackson/
Arab Saudi Lancar Aplikasi Digital Bersepadu Pertama NUSUK Versi Bahasa Melayu Bagi Kemudahan Jemaah Haji
Pihak Pelancongan Arab Saudi baru-baru ini menganjurkan roadshow bersama 22 rakan kongsi termasuk DMC, pengusaha hotel, syarikat umrah serta persatuan pelancongan di Kuala Lumpur, Malaysia.
Ia bagi mengumumkan pelancaran Nusuk (nusuk.sa) platform digital bersepadu umrah baharu yang mengalu-alukan jemaah dari seluruh dunia merasai pengalaman umrah.
Nusuk merupakan inisiatif yang dilancarkan oleh pihak pelancongan Arab Saudi dengan kerjasama Vision 2030 Pilgrim Experience Program. Turut hadir Menteri Haji dan Umrah, Tuan Yang Terutama Dr Tawfiq bin Fawzan Al-Rabiah.
Nusuk bakal memperluaskan rangkaian pilihan dan meningkatkan pengalaman umat Islam yang melawat Arab Saudi. Ia juga membolehkan prosedur ketibaan yang lebih mudah untuk pelawat menunaikan umrah.
Menurut Dr. Tawfiq bin Fawzan Al-Rabiah, “Kami berharap dapat menyediakan pengalaman tempahan yang lancar, dengan pilihan perjalanan yang diperluas seterusnya membawa mereka ke sebuah kembara rohani merentasi tarikan yang berbeza antara Mekah dan Madinah.”
Ketua Pegawai Eksekutif dan Ahli Lembaga Pengarah pihak pelancongan Arab Saudi serta Pengarah Urusan Nusuk, Fahd Hamidaddin menjelaskan: –
“Kami komited untuk menjadikan Arab Saudi mudah diakses oleh pelawat. Untuk jemaah haji kami melancarkan platform digital Nusuk yang direka untuk jemaah haji dan pelawat merancang perjalanan mereka.
“Jemaah haji dari Malaysia boleh memohon e-visa di platform Nusuk dan boleh menempah pakej istimewa ke Mekah, Madinah dan seterusnya. Kami juga bekerjasama dengan rakan kongsi bagi menggalakkan jemaah haji meneroka negara kita yang indah dari pelbagai aspek melalui program Umrah+ kami.
“Ini memberi peluang perniagaan baharu untuk rakan kongsi yang ingin menawarkan pengalaman di Arab Saudi.”
Kongsi Alhasan Aldabbagh, Presiden Nusuk-APAC: –
“Platform Nusuk versi Bahasa Melayu ini mempamerkan ketangkasan kami untuk bertindak balas terhadap keperluan pasaran. Kami berharap dapat mengalu-alukan lebih ramai pelancong dari Malaysia.”
Malaysia sudah pun menjadi pasaran sumber pelancongan utama untuk Saudi yang sedang mengeratkan hubungan dengan rakan kongsi dan komited untuk melabur dan bekerjasama rapat dengan pemain tempatan. Tahun lepas, Saudi mengalu-alukan 312,000 pelawat Malaysia dan tahun ini sasarannya adalah untuk menggandakan bilangan pelawat.
Bagi mencapai matlamat, pihak pelancongan Arab Saudi mengumumkan dua inisiatif utama iaitu pakej Umrah+ dan Visa Persinggahan.
Visa Persinggahan yang diumumkan baru-baru ini terbuka kepada semua pengembara, perniagaan dan keagamaan yang terbang di SAUDIA dan flynas. Pengembara boleh melakukan persinggahan di Arab Saudi sehingga 96 jam dan menikmati penginapan hotel percuma satu malam. Ini menjadikan Arab Saudi destinasi sempurna untuk rakyat Malaysia yang melancong ke Eropah, UK dan AS.
Ramadan Bulan Munajat, PROF MADYA DR SHARIFAH HAYAATI Titip Nasihat Elak ‘Kluster Dunia’ Melalaikan
Bagaimana kita dapat memanfaatkan bulan penuh keberkatan ini yang hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi dalam suasana norma baharu?
Walaupun pergerakan kita dikawal namun ia sebenarnya mengawal kita daripada melakukan dosa-dosa kepada Allah SWT. Ia juga mengawal hati kita supaya tidak terus leka serta lalai kepada perintah Allah SWT.
Selain itu, ia juga mengawal emosi kita supaya sentiasa meningkatkan rasa syukur, tenang dan tabah. Sekarang Allah SWT sedang menduga kita dengan ujian berat yang tidak pernah kita fikirkan dan lalui. Maka dengan sebab itulah kedatangan bulan Ramadan kali ini menjadi begitu istimewa bagi kita sebagai umat Islam.
Prof Madya Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail berkongsi huraian yang cukup menarik untuk panduan kita bersama.
“Ramadan merupakan sebaik-baik bulan. Dalam banyak-banyak bulan, bulan ini ada satu malam yang cukup istimewa iaitu malam lailatul qadar, yang lebih baik daripada seribu bulan.
Dalam bulan ini juga ada sebaik-baik doa di mana apabila ‘diangkat’ doa itu akan menjadi mustajab di sisi Allah SWT. Bulan ini juga adalah masanya untuk seseorang itu beramal soleh demi mendapatkan keredhaan Allah SWT sebagai tanda dirinya bertaqwa kepada Allah SWT.
Seseorang itu juga akan menghitung dosa-dosanya untuk memohon keampunan Allah SWT. Maka ia akan menjadi amalan yang lebih baik berbanding amalan-amalan yang dilakukan sebelum bulan Ramadan. Amalan-amalan itu juga akan diganda-gandakan pahalanya oleh Allah SWT.
Apabila seseorang itu menghulurkan kebaikan-kebaikannya seperti bersedekah termasuk kepada ahli keluarga, kaum kerabatnya dan masyarakat di sekeliling maka sedekah itu akan menjadi sebaik-baik sedekah kerana bersedekah dalam bulan Ramadan.
Pendek kata, apa yang dilakukan dalam bulan Ramadan menjadi lebih baik daripada bulan-bulan yang lain. Marilah kita sama-sama berdoa, dengan doa yang ringkas ini.
“Ya Allah Ya Tuhan Kami, sampaikanlah kami dalam bulan yang penuh keberkatan ini”
Inilah masanya untuk kita benar-benar bertaubat, benar-benar beribadah kepada Allah SWT, benar-benar bermunajat kepada Allah SWT. Ada hikmah di sebalik situasi yang kita lalui sekarang ini. Namun sedarlah, kita tidak bersendirian kerana bukan hanya Malaysia yang merasai detik kesukaran ini bahkan di seluruh dunia. Sudah tentu ia memberikan keinsafan yang tinggi buat kita.
Persiapan pertama, niatkan bahawa bukan hanya rantaian wabak COVID-19 yang hendak kita putuskan bahkan juga rantaian dosa-dosa. Niat untuk meningkatkan keinsafan dalam diri kita sepanjang Ramadan yang berlainan pada tahun ini. Niat yang lebih tinggi untuk meningkatkan taubat kita kepada Allah SWT. Maka, betulkan niat kita.
Kesilapan dan kealpaan kita datangnya dari musuh-musuh pelbagai ‘kluster’ antaranya ‘kluster syaitan’. Sebelum bulan Ramadan pun syaitan tetap datang mengganggu kita. ‘Kluster nafsu’ pula lebih kepada nafsu makan terutama ketika berbuka puasa. Orang yang sentiasa menjaga iman dengan baik, ibadahnya pasti tidak akan terganggu dengan mudah.
Mudah mudahan kita bukan sekadar dapat memutuskan rantaian virus COVID-19 tetapi juga rantaian ‘kluster-kluster’ ini yang boleh merosakkan jiwa, akal, emosi serta fokus kita. Semua ini datangnya daripada kluster syaitan, kluster nafsu yang jahat, kluster dunia yang melalaikan dan kluster orang-orang yang merosakkan.
Di dalam satu hadis Rasulullah SAW menyebut “Setiap amalan bergantung kepada niat kamu. Dan kamu akan mendapat apa yang kamu niatkan.” Maka niatkanlah yang baik-baik, fikirkan yang baik-baik, hasratkan yang baik-baik.
Persiapan kedua, banyakkan memohon ampun kepada Allah SWT. Sekarang apabila diuji kita reda, kita tabah. Istighfar selalu contohnya sambil memasak, sambil buat apa sahaja kerja pastikan lidah kita banyak beristighfar.
Semoga Allah SWT ampunkan dosa-dosa kita, ahli keluarga, masyarakat, apa sahaja dosa-dosa kita dahulu yang kita sedar dan tidak sedar. Mohon ampun dengan Allah SWT. Persiapkan hati, minda dan emosi. Baca perkara-perkara yang baik, elakkan provokasi yang menjuruskan kita untuk memikirkan perkara-perkara yang tidak baik.
Bacalah sesuatu yang boleh memberi inspirasi untuk kita terus membuat kebaikan khususnya dalam bulan Ramadan. Kita kekalkan #kitajagakita Bukan sekadar jaga keselamatan, kesihatan, kebersihan dan ahli keluarga tetapi juga jaga hati kita. Apabila hati bersih dan baik, jaga akal fikiran kita supaya sentiasa positif. Jaga emosi supaya sentiasa tenang dan sabar. Fikirkan apa yang lebih penting untuk kita beramal soleh di dalam bulan Ramadan.”