Kali Terakhir Bersalin 12 Tahun Lepas, SYURA BADRON Timang Anak Ketiga Muhammad Umar Eusoff Nama Diberi

Penyanyi bersuara lunak dan juga juara program realiti TV Masterchef Malaysia, Syura selamat melahirkan seorang bayi lelaki di sebuah pusat perubatan di Masai, Johor kira-kira jam 9.01 malam pada Isnin. Berita gembira tersebut dimaklumkan dia dan suaminya,  Muhamad Farizat Ismail menerusi sebuah muat naik posting di laman Instagram hari ini.

“Syukur Alhamdulillah.. Pada 13 Mac 2023 isteri saya telah selamat melahirkan seorang putera seberat 2.5 kilogram (kg) secara normal pada pukul 9 malam.

“Syura dirawat sempurna oleh Dr. Thokha Muhammad di Regency Specialist Hospital, Johor Bahru.. Terima kasih di atas segala doa yang tak hentio-henti dari semua. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas segala doa kalian. Terima kasih sayang untuk anugerah terindah ini..” tulis suaminya di Instagram.

Menerusi hantaran sama, pasangan sama cantik sama padan ini turut mendedahkan nama anak lelaki mereka di akhir kapsyen tersebut.

“Assalamualaikum dan selamat datang sayang daddy mummy, Muhammad Umar Eussof,” tambahnya.

Untuk rekap, Syura berkahwin dengan pilihan hatinya, Farizat pada 22 Januari tahun lalu. Ini merupakan perkahwinan kedua Syura di mana beliau pernah berkahwin Mohd Fadhly Md Yassin pada 16 April 2006 namun berpisah pada Ogos 2015.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Nurul Dania Irdani, 15, Nurul Qaisara Sofia, 13, dan Muhammad Irfan Aryan, 11.

Share
Published by
Wan Firdaus