Di sebalik senyuman mereka yang sentiasa tenang, tawa kemenangan dan sorakan semangat pasukan yang begitu lantang, siapa tahu bahawa di sebaliknya ada kemurungan. Tekanan untuk menang dan ekspektasi tinggi daripada pelbagai pihak menjadi antara punca gangguan mental yang dialami atlet sukan termasuk legenda bola sepak Brazil, Ronaldo.
Nampaknya realiti hidup atlet dunia tidaklah seindah yang disangkakan. Berusia 46 tahun, Ronaldo atau nama penuhnya Ronaldo Luis Nazario de Lima mendedahkan bahawa beliau sedang menjalani terapi untuk bertarung dengan masalah kemurungan.
Usahawan yang juga pesara bola sepak profesional dan Presiden Kelab La Liga, Real Valladolid
tersebut turut menyatakan rasa terkilan dengan cara kesihatan mental diabaikan sepenuhnya sewaktu beliau bergelar pemain satu ketika dahulu.
DISEGANI
Bekas bintang PSV, Barcelona, Inter Milan dan Real Madrid itu cukup disegani sebagai antara pemain terbaik dalam generasinya.
Ronaldo mewakili Brazil dalam empat edisi Piala Dunia dan memenangi Anugerah Kasut Emas dan Bola Perak dalam kejayaan pasukan itu pada 2002 selepas tidak terlibat ketika Selecao turut menjuarai edisi 1994.
Bagaimanapun, dia hanya memenangi dua gelaran liga (kedua-duanya dalam La Liga bersama Madrid), di mana karier gemilangnya kerap terganggu dengan kecederaan.
Menerusi satu dokumentari baru yang disiarkan DAZN, Ronaldo membincangkan mengenai kesihatan mental pemain bola sepak bersama bekas rakan sepasukannya dalam skuad Brazil dan Madrid, Roberto Carlos.
MENGEJUTKAN
Lelaki hebat yang dipanggil ‘O Fenomeno’ (The Phenomenon) dan R9 itu tanpa berselindung menceritakan tentang derita yang dialaminya hingga menyebabkan kemurungan serius.
“Hari ini, saya perlu menjalani terapi. Saya sudah menjalani terapi selama dua setengah tahun dan saya kini lebih memahami diri saya berbanding sebelum ini.
Tetapi apa pun, saya daripada generasi di mana anda dicampakkan ke dalam arena dan anda perlu melakukan yang terbaik tanpa ada sedikit pun drama.
Apabila saya lihat kembali, benar, kami terdedah kepada kepenatan mental yang amat-amat besar dan tanpa sebarang persediaan untuk menghadapinya.
Juga kerana ia merupakan permulaan era internet dengan kelajuan setiap informasi disalurkan. Pada ketika itu, langsung tiada kesedaran mengenai kesihatan mental pemain.” Ronaldo
Perkongsian Ronaldo ini jelas menceritakan naik turun emosinya sebagai atlet dunia yang jarang didengari. Terpaksa melalui episod tekanan mental selama bertahun-tahun dan berlagak seperti tidak ada apa-apa yang berlaku adalah gejala yang sering mengganggu emosi pesakit penyakit mental.
Hari ini, pemain bola sepak lebih bersedia, diberikan perhatian kesihatan yang mereka perlukan untuk menghadapinya setiap hari dan pemain juga sudah banyak dikaji: profil mengenai setiap pemain, bagaimana mereka memberikan reaksi, bagaimana mereka sepatutnya bereaksi.
“Pada zaman saya, malangnya tiada perkara seperti itu kerana kita semua tahu kehidupan dalam bola sepak akan memberikan banyak tekanan dan akan memberikan kesan yang besar sepanjang hidup kita.” Ronaldo
This website uses cookies.