Gemuruh suara penonton di Dewan Plenary KLCC bergema, bahkan sebelum Dato’ Sri Siti Nurhaliza naik ke atas panggung. Malam terakhir Konsert Music of The Soul ini seakan mengubat rindu para peminat untuk menyaksikan persembahan penyanyi No. 1 Malaysia itu, sekaligus menjayakan misi Yayasan Nurjiwa selaku penganjur untuk mengutip dana bagi meneruskan kerja-kerja amal mereka.
Di sebalik konsert yang menghiburkan, Dato’ Sri Siti Nurhaliza menjalankan peranan kecilnya buat masyarakat. Siapa tahu kalau sebenarnya beliau sebagai penaung Yayasan Nurjiwa sedang mengajak peminat sama-sama berbuat kebaikan, mengumpul sumbangan melalui jualan tiket dan ‘memanjangkan’ pahala itu untuk pelbagai misi bantuan kemanusiaan?
Iya, inilah salah satu kehebatan anak Kuala Lipis yang bukan saja ligat berniaga, malah menjadi duta kepada jenama antarabangsa seperti Cuckoo, Farm Fresh, Universiti Binary, Vivo serta banyak lagi. Jenama ‘Siti Nurhaliza’ cukup diyakini, lantaran peribadi sang empunya badan yang bukan sekadar menyenangkan, tapi disayangi hampir seluruh rakyat di negara ini.
Lebih 26 tahun menghiasi dunia seni hiburan tanah air, namun kedudukan Dato’ Sri Siti Nurhaliza sebagai penyanyi kesayangan ramai dilihat tidak pernah goyah, meskipun muka-muka baru dalam industri silih berganti.
Tidak hanya popular di atas pentas, wanita hebat ini turut melakar nama sebagai usahawan berjaya dan duta pelbagai jenama terkemuka.
Genap berusia 43 tahun pada 11 Januari lalu, Dato’ Sri Siti Nurhaliza pernah mencipta sejarah apabila namanya tersenarai dalam kelompok 100 artis paling banyak memenangi anugerah sepanjang zaman.
Antara anugerah yang pernah diraih adalah 42 anugerah di Anugerah Industri Muzik, 25 anugerah di Anugerah Bintang Popular, 28 anugerah di Anugerah Planet Muzik, 20 anugerah di Anugerah Juara Lagu, empat di Anugerah MTV Asia, tiga di World Music Awards dan dua di Anugerah Muzik Indonesia. Selain itu, beliau juga turut memegang dua rekod dalam Malaysia Book of Records.
Sentiasa mengikut arus perubahan semasa, Queen of Pop Malaysia dan Voice of Asia ini sentiasa bersedia menerima perubahan agar terus relevan dalam industri yang kian mencabar.
Tambah ibu kepada Siti Aafiyah Khalid, 3, dan Muhammad Afwa Khalid, 1, itu lagi, setiap pekerjaan menuntut proses dan tiada jalan singkat untuk maju kecuali melalui semua proses dengan bersungguh-sungguh.
“Saya sangat bersyukur kerana Allah SWT sudah aturkan perjalanan hidup yang terbaik dari segi sebagai seorang penyanyi, usahawan dan juga isteri serta ibu.
Tanggungjawab sebagai penyanyi sebenarnya sangat besar. Saya bermula dengan menyanyi. Bidang ini sebenarnya banyak memberi pengaruh positif kepada kehidupan saya yang lain.
Bagi meneruskan momentum agar terus diingati dan relevan dalam industri, sekarang ini bukan masa untuk saya bersaing dengan orang lain termasuk BBNU.
Saya mahu terus kekal dengan rangkaian lagu serta produk yang bagus. Saya juga perlu selalu tampil dengan sesuatu yang baru.
Apabila seorang artis itu sentiasa hadir dengan koleksi single terbaru itu yang akan membuatkan orang akan selalu ingat dengan kita. Janganlah kita terlalu lama sangat ‘duduk diam’ kerana orang akan bertanya adakah kita masih menyanyi atau tidak?
Maka, tiket untuk terus diingati ialah sentiasa tampil dengan produk baru tidak kiralah dalam bidang nyanyian atau perniagaan.
Saya sendiri selalu mengeluarkan single sekurang-kurangnya satu dalam setahun, ataupun dua tahun sekali.
Saya akan memastikan lagu-lagu yang ingin diperdengarkan berkualiti termasuk persembahan yang bagus agar ia menjadi ‘buah tangan’ yang sentiasa segar dalam ingatan peminat.” Dato’ Sri Siti Nurhaliza
PERNIAGAAN
Diam tak diam, sudah 16 tahun penyanyi kesayangan Malaysia ini bergelar isteri dan bahagia dikurniakan dua orang cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga.
Sepanjang tempoh tersebut, kewibawaan Dato’ Seri Khalid Mohamad Jiwa telah menjadikan Dato’ Sri Siti Nurhaliza lebih disegani daripada seorang penyanyi iaitu pemilik empayar perniagaan yang hebat. Beliau kini merupakan Presiden CTDK Holdings.
Menjadikan mentor usahawan, Datuk Wira Dr Azizan Osman sebagai pembimbing mereka dalam melebarkan lagi empayar bisnes ke peringkat antarabangsa, rentak selebriti itu dilihat semakin ligat.
Selepas pandemik reda, program Bangkit Bisnes Bersama CTDK Holdings kian rancak diusahakan termasuk menggelar keluarga kecil mereka sebagai Sitizen.
“Tidak dinafikan usahawan kecil atau besar terjejas dengan pandemik COVID-19. Saya juga tidak terkecuali. Oleh kerana suami seorang yang cepat bertindak terutama hal-hal berkaitan perniagaan beliau akan lebih serius.
Beliau akan segera mencari penyelesaian. Katanya, kita tidak boleh mudah mengalah. Kena teruskan dan cari solusi terbaik.
Kami all out dengan menguatkan platform online dan website. Sebagai pengasas saya yang turut ambil tanggungjawab contohnya membuat makeup tutorial menggunakan produk serta cara menggunakan produk yang betul.
Saya juga sentiasa update laman sosial tentang perniagaan, produk-produk yang dijual dan promosi. Cara ini amat berkesan.”
Baca artikel perjuangan bisnes penerima Nona Celebrity Business Award, Dato’ Sri Siti Nurhaliza ini dalam naskhah edisi khas Nona Superwoman 2022 di pasaran Januari 2023.
Penulis: Norzalina Mohd Alias
Foto: Siti Nurhaliza Productions
This website uses cookies.