Kemelut kenaikan harga minyak sekali lagi pada minggu ini, bukanlah apa-apa jika mahu dibandingkan sengsara yang sedang dialami etnik Rohingya di Myanmar jam sekarang.
Tak terbayang rasanya melihat berita penganiayaan terhadap mereka. Jiwa bergelora, air mata bertakung dan rasa geram menyala-nyala tatkala melihat nasib mangsa rogol dan kekejaman manusia di sana, seolah-olah nyawa tidak berharga! Betapa darah seperti air hujan yang menyiram bumi.
Sebagai wanita, Nona sendiri kelu bicara membaca kes-kes di bawah. Allahuakbar, Tuhan bantulah mereka! Duhai wanita yang lembut hatinya, jika ini tak mampu menyentuh hatimu, mungkinkah ia sudah mengeras seperti batu?
Kes 1: Keranda Terapung
Dalam usaha wanita Rohingya melarikan diri, kebanyakannya berakhir dengan kematian dalam bot ‘keranda terapung’.
Roshida, seorang janda berusia 25 tahun, memberitahu bagaimana dia menaiki kapal bersama seorang anak perempuan berusia sembilan bulan.
Beliau berkata, di atas kapal, dia tersungkur selama berjam-jam dalam keadaan yang menyesakkan dan panas. Kakinya tertindih dengan wanita lain di hadapannya.
“Suatu ketika, anak-anak kapal sedang makan nasi dan anak saya mula menangis kerana kelaparan. Mereka marah dan membakar tangan anak saya dengan puntung rokok.”
Dia juga memberitahu bahawa dia telah melihat ada dua orang mati di dalam kapal tersebut kemudian dibuang ke laut.
Sesungguhnya, beratus-ratus telah meninggal dunia dalam perjalanan laut ini untuk melarikan diri dari penganiayaan dan mencari tempat berlindung, termasuk wanita dan kanak-kanak.
Kes 2: Kubur Besar Pelarian Rohingya
Ibarat ‘menggali kubur’ sendiri, begitulah takdir pelarian wanita yang diseludup oleh para sindiket.
Beratus-ratus kubur telah ditemui oleh pihak berkuasa Malaysia yang ditinggalkan di sempadan Thailand dipercayai untuk menanam mayat Rohingya yang mati akibat kebuluran dan penyakit.
Pada bulan April 2015, kubur besar juga dijumpai di kem tahanan di Songkhla, Thailand, tertanam mayat pelarian Rohingya.
Kes 3: Dipisahkan Daripada Keluarga
Seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun, Yasmine, memberitahu Human Rights Watch yang 12 orang lelaki datang ke rumahnya di Rakhine, dan memaksanya untuk meninggalkan Myanmar.
“Mereka mengheret saya ke perahu, mereka mempunyai kayu dan mengugut untuk memukul saya… Saya menjerit, saya menangis dengan kuat.
Ibu bapa saya juga menangis, tetapi mereka tidak dapat berbuat apa-apa. Saya pergi ke bot dengan tiga lelaki dan diserahkan kepada sindiket.”
Kes 4: Mangsa Penderaan Seksual
Wanita Rohingya yang melarikan diri ke kem transit penyeludupan manusia memberitahu bagaimana wanita dan kanak-kanak perempuan Muslim telah diperlakukan seperti hamba seks oleh pengawal kem.
Nur Khaidha Abdul Shukur, 24 tahun, berada di kem tersebut selama lapan hari dengan bayinya, berkata ada wanita Rohingya yang diperkosa oleh penyeludup dan kemudiannya mengandung.
Di Rakhine, rumah-rumah orang Islam Rohingya dimusnahkan dan diserbu oleh sekumpulan lelaki bersenjata; mereka dipukul dan diculik manakala wanita Rohingya dan anak-anak menghadapi penderaan seksual dan rogol.
Hal ini telah menjadi faktor pendorong kepada mereka kerana terpaksa menghantar anak-anak perempuan mereka jauh ke negara-negara seperti Malaysia.
Tindakan Wanita Malaysia
Saudara kita di Rohingya, anak-anak dan keluarga mereka tidak memerlukan perlindungan sementara atau hanya bantuan kemanusiaan.
Tapi mereka memerlukan keselamatan, perlindungan, hak dan janji kehidupan yang sejahtera yang sepatutnya diperolehi oleh setiap manusia.
Mereka juga mahu menghapuskan air mata dan melupakan kisah silam penderitaan mereka.
Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk melindungi saudara-saudara kita; dan kewajipan Islam kita sebagai orang yang beriman untuk mempertahankan dan mengubah nasib umat Islam Rohingya, kerana Rasulullah (SAW) berkata,
“Adalah tidak beriman sehingga kamu suka saudaramu seperti mana kamu menyukai dirimu sendiri.”
Nona ingin menyeru wanita-wanita prihatin di Malaysia agar menyalurkan sedikit bantuan mengikut kapasiti yang kita ada di saluran yang betul.
Antaranya melalui kempen ‘SINAR4ROHINGYA – Solidariti Untuk Kemanusiaan’ yang digerakkan oleh Sinar Harian & Kumpulan Media Karangkraf.
Menerusi kempen itu, dana turut dikumpulkan untuk pendidikan, perubatan, makanan dan pemulihan kaum Rohingya di Malaysia dan Myanmar.
Anda boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank ‘Sinar Karangkraf SDN BHD’ (tabung Sinar4Rohingya-Solidarity for Humanity), 503033634355.
Semua dana yang terkumpul akan dimasukkan ke dalam sebuah akaun bank khusus untuk program itu.
Dana ini akan diurus oleh Sinar Harian yang akan melantik badan-badan yang bertanggungjawab agar semua sumbangan akan digunakan sepenuhnya untuk membantu masyarakat Rohingya.
Sinar Harian bersama NGO dan juga badan-badan korporat akan melancarkan kempen kesedaran melalui hebahan di akhbar bercetak Sinar Harian, Sinar Online dan Sinar TV bagi meningkatkan kefahaman rakyat mengenai krisis yang menimpa kaum Rohingya.
Sehingga Mei lalu, 133,725 pelarian dari Myanmar didaftarkan oleh United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR) di Malaysia. Norzalina Mohd Alias
This website uses cookies.