“Kami Bertugas Tanpa Full Protection Macam Frontliners Lain” Puteri Dedah Pengorbanan Pramugari Hadapi COVID-19

Selain golongan frontliners di darat, satu lagi kerjaya saf depan dan berisiko tinggi mendapat jangkitan COVID-19 adalah krew udara. Tugas pramugari atau anak kapal yang terdedah dengan beratus-ratus penumpang dalam persekitaran kompak, sebenarnya cukup berisiko tinggi lebih-lebih lagi tanpa pakaian perlindungan yang sesuai.

Pengalaman Puteri Erma Edlinda atau Puteri, isteri kepada bintang Akademi Fantasia 7 Aril Pilus ini jelas menceritakan situasi yang mereka alami. Puteri telah berkhidmat sebagai anak kapal selama 10 tahun dan kini bertugas untuk sebuah syarikat penerbangan di Malaysia.

Puteri bersama suami, Khairil Azam Pilus (Aril AF)

Menceritakan pengalaman terakhirnya sebelum diarah bercuti, Puteri, 34 tahun, telah berlepas ke Hong Kong dan kembali semula pada 30 Mac lalu. “Memang industri penerbangan banyak berubah. Penerbangan-penerbangan dibatalkan dan yang beroperasi cuma 10% saja. Kebanyakan negara menutup pintu sempadan mereka dan jumlah penumpang pun menurun akibat wabak COVID-19.

Bulan ni sepatutnya saya berlepas ke Dhaka dan Taipei, tapi tak jadi. Sekarang saya dan anak kapal lain cuma on standby menunggu arahan. Kali terakhir di KLIA, suasana sangat lengang dan suram. Semua kedai bebas cukai ditutup dan beratus-ratus kapal tersadai di luar.

Saya ada post di IG Story, rakaman video waktu kami meninggalkan airport Hong Kong. Bayangkan airport yang sangat besar tapi landasan mereka penuh dengan kapal. Bersusun-susun di sepanjang runway, terlalu banyak nak dihitung. Itulah petanda yang sangat merisaukan saya.

Tawakal

Sebagai anak kapal, sudah tentu saya risau setiap kali keluar bertugas. Dari pintu KL Sentral lagi, saya dah jumpa orang dari pelbagai tempat then di KLIA, jumpa orang dari pelbagai negara sampailah naik kapal dan tiba ke destinasi.

Macam-macam perasaan ada bila nak melangkah keluar. Kadang saya rasa, ‘Ya Tuhan, ini tak selamat untuk aku. Aku ada keluarga, ada suami, ada anak kecil.’ Tapi kerana tugas, saya terpaksa lawan kerisauan tu walaupun suami selalu susah hati bila saya ke luar negara.

Anak-anak kapal ni frontliners juga sebab tugas kami sangat dekat dengan penumpang. Pekerjaan yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan COVID-19 dan bayangkan kami bekerja tanpa full protection seperti frontliners lain di hospital.

Tanpa sut perlindungan diri, apa yang kami mampu buat hanyalah pakai topeng hidung dan mulut, guna hand sanitizer, sarung tangan dan kerap basuh tangan. Walaupun sebolehnya we try to distant ourselves, tapi dalam kapal yang kecil tu tetap akan dekat juga dengan penumpang.

Ragam Penumpang

Bagi saya semua orang mencurigakan. Walaupun sesama anak kapal sendiri pun saya kurang percaya. Pernah satu hari, saya dapat panggilan dari ibu pejabat bertanyakan kesihatan saya. Ada batuk atau sesak nafas ke. Saya jawab sihat dan mereka nasihatkan supaya ke hospital kalau ada simptom. Terkejut sangat sebab dalam flight

saya tu rupanya ada satu kes penumpang disahkan positif COVID-19.

Sebenarnya kami sendiri pun susah hati. Dari dalam briefing room lagi, kami dah amalkan social distancing, elak bersalaman sesama krew dan duduk berjauhan. Kita tak tahu sesama kami sendiri sudah ke negara mana dan jumpa siapa. Mungkin kita tak ada simptom tapi virus tu ada dalam badan. Semua orang faham keadaan ni dan kami tak ambil hati kalau ada rakan sekerja buat benda yang sama.

Waktu wabak merebak, penumpang pun ada bermacam ragam ketika naik kapal. Ada yang lengkap full equipment, pakai rain coat, face shield, topi full face, mask. Ada juga yang bawa plastik untuk lapik apa yang patut dan risau nak duduk sebelah-menyebelah dengan penumpang lain.

Satu lagi, bukan senang nak kesan penumpang yang sakit. Dalam kapal yang dinaiki beratus-ratus penumpang, susah untuk kesan siapa yang kurang sihat, demam atau batuk. Kadang mereka batuk perlahan-lahan supaya orang tak dengar.

Sewaktu masih berkhidmat dengan Saudi Arabian Airlines (2015)
Dalam uniform lama
Dalam uniform baru

Sebagai anak kapal, kami mesti buat laporan dan maklumkan pihak airport untuk tindakan kalau ada penumpang yang sakit. Kapal mungkin dikuarantin sementara agar saringan dapat dijalankan. Ini bagi mencegah dan mengawal pandemik agar tidak menular ke destinasi tersebut.

Sewaktu bertugas dalam flight, saya pakai topeng muka dan hidung sepanjang masa, selalu basuh tangan dengan sabun, pakai hand sanitizer, sembur sanitizer spray pada baju, kasut dan beg-beg. Seboleh-bolehnya saya elakkan dari menyentuh apa-apa permukaan dari awal lagi.

Balik dari bertugas, saya dah maklumkan pada keluarga, kita jangan jumpa dulu. Bagi saya jemur beg-beg kerja, handbag dan trolley bag semua di balkoni untuk 8 ke 12 jam. Lepas tu terus masuk bilik air dengan uniform dan segala benda yang dipakai, rendam dalam air panas dan gunakan sabun pembasmi kuman.

Selepas mandi dan bersyampu bersih-bersih, beberapa jam kemudian barulah saya yakin untuk jumpa suami dan anak. Punyalah lama nak dapat peluk dan cium mereka. Tapi demi kesihatan dan keselamatan semua, itulah yang terbaik bagi petugas frontliners macam kami ni.

Sekarang saya cuma duduk di rumah kerana telah diminta untuk bercuti oleh majikan (force leave). Cuti saya banyak belum berguna dan syukurlah, gaji masih berjalan. Inilah waktu terbaik untuk luangkan masa dengan suami dan anak di rumah. Sambil tu saya cuba tambah amalan, solat berjemaah dan mengaji, yang mana sebelum ni mungkin tak sempat dibuat kerana sibuk bekerja.

Tip Puteri

  1. Bila basuh tangan, nyanyi lagu Happy Birthday dua kali.
  2. Sambil nyanyi, saya ikut rules yang sepatutnya, cuci 20 saat dan sental kuku-kuku.
  3. Pakai hand sanitizer dengan kadar 70% alkohol.
  4. Jangan sentuh mata, hidung, mulut atau telinga kerana virus masuk melalui rongga-rongga badan kita.
Share
Published by
Norzalina