‘Kami Mendengar & Kami Mohon Maaf!’ Ini Pula Reaksi NOOR NABILA Berhubung Pelancaran Be Lofa, Isnin Lalu!

Kesal dengan insiden yang menimpa perniagaan dan kehidupan Neelofa, Noor Nabila Mohd Noor yang juga Pengarah Urusan NH Prima International Sdn Bhd dan kakak kepada selebriti popular berkenaan tampil memberi kenyataan hari ini. Memohon maaf kepada semua penyokong kuat Naelofar Hijab dan individu yang terkesan dengan situasi tersebut pada Isnin lalu, Nabila menerusi kenyataannya tidak menyangka ia menjadi isu perdebatan dan menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak.

“Sepanjang majlis pada malam itu, kami telah mengambil setiap langkah berjaga-jaga untuk memastikan apa-apa jenama dan botol-botol minuman keras, gelas serta perkakas diasingkan dan dikeluarkan sepenuhnya daripada tempat tersebut sebelum berlangsungnya majlis.

Akses ke bar dan kelab lain juga ditutup dan merokok adalah dilarang sama sekali. Kami juga mendapatkan katerer luar untuk menyajikan makanan halal. Semua perkakas termasuklah sudu, garfu dan gelas yang digunakan para tetamu juga disediakan oleh katerer terlibat.”

Bagi menjernihkan keadaan, Nabila turut menyatakan lokasi majlis itu dipilih kerana kemudahan yang ada selain kekosongan ruang sewa pada setiap hari Ahad dan Isnin memandangkan ia tidak dibuka untuk kunjungan umum.

“Sistem pencahayaan yang memberi efek neon, sistem bunyi, paparan LED serta sokongan teknikal adalah antara kemudahan yang diperlukan untuk menjayakan majlis ini dan semuanya didatangkan dalam satu pakej yang ditawarkan oleh pihak ruang acara.

Kami kini telah mengambil langkah segera untuk membetulkan situasi ini. Tiada yang lebih penting dari mendapatkan kembali kepercayaan dan keyakinan semua. Kami mengambil serius dan mendengar semua komen serta akan menggunakannya untuk membimbing kami secara positif bagi mengelak insiden sama berulang.

Kami akan pastikan isu keagamaan dan kebudayaan akan dititikberatkan dalam setiap keputusan yang dibuat pada masa hadapan. Kami amat berharap agar diberi peluang untuk memperbaiki diri dan memperbetulkan keadaan,” kongsi Nabila penuh ikhlas.

Moga dengan kenyataan Nabila ini semua pihak dapat mengambil iktibar. Bak kata pepatah, ‘Buang yang keruh, ambil yang jernih.’

 

Share
Published by
Suzi