“Kami Saling Memberi & Menerima Cara Masing-Masing” NURUL ALIS Akur Dengan Cinta Jarak Jauh

Di sebalik keperibadiannya yang tenang serta murah dengan senyuman, Nurul Alis Aidil Akhbar atau Kiki pernah melalui fasa ‘pedih’ dalam rumahtangga. Biarpun tiga kali pernah gagal dalam perkahwinan namun Kiki tak pernah serik untuk mencari cinta sejati.

Berkat kesabaran dan redha dengan ketentuanNya bekas pembaca berita televisyen ini yang cukup sebati dengan dunia permotoran berkuasa tinggi kini mampu mengukir semula senyuman bahagia apabila bergelar isteri kepada Brig Jen Dr Faizal Baharuddin yang merupakan Pegawai Memerintah 96 Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM Lumut. Ini merupakan perkahwinannya kali ke-4 yang baru menjangkau dua tahun.

DETIK PERKENALAN

“Sekitar tahun 2014 ketika saya menjadi wakil presiden Kelab Ducati Malaysia, suami juga menjadi ahli kelab. Waktu tu saya tak mengenalinya secara peribadi tapi tahu beliau seorang doktor.

Suami seorang yang sangat berani. Beliau bertemu terus dengan ibu dan kakak saya untuk melamar secara personally. Walaupun pada mulanya saya tak suka dengan caranya itu tapi kakak saya telah memberi keyakinan bahawa suami benar-benar ikhlas dan serius untuk menyunting saya sebagai isteri.

Kakak juga banyak beri nasihat kepada saya agar lebih terbuka dan jangan terlalu risau untuk membuat keputusan. Lupakan kisah lalu dan harungi masa depan dengan tenang. Just do it..  Selepas tu barulah saya yakin dan nampak keikhlasannya. Anak-anak pun dah besar dan boleh menerima. Paling penting doa agar semuanya dipermudahkan.”

TERPAKSA BERJAUHAN

“Suami sangat positif dan tak pernah mengeluh. Kami sedaya upaya cuba to make it fun

. Kalau kebetulan turun ke Lumut, saya akan bertemu dengannya. Suami pula biasanya akan berjumpa saya dan anak-anak pada hujung minggu. Selalunya kami akan melakukan aktiviti bersama seperti menunggang motosikal atau buat short trip dalam negara bersama anak-anak.

Memandangkan saya seorang yang aktif dan tak boleh duduk diam, saya tiada masa nak fikir tentang sunyi tanpa suami. Kalau rindu atau ada apa-apa nak dibincangkan kami akan manfaatkan Skype, video call atau WhatsApp. Paling penting saling memahami, menghormati, percaya serta memberi dan menerima cara masing-masing.”

JAGA MAKAN DAN MASAK SENDIRI

“Saya memang jaga makan sejak dulu lagi. Waktu umur 20-an saya jarang makan di luar sebab suka masak sendiri. Masak ringkas-ringkas saja pun tak mengapa asalkan dapat masak sendiri. Segala jenis makanan ringan saya elakkan. Memandangkan saya asal Negeri Sembilan semestinya makanan pedas menjadi kegemaran. Saya juga amalkan makan buah dahulu sebelum makan nasi. Turut diamalkan ialah makan sayur-sayuran, ulam dan minum air putih secukupnya setiap hari.

Kalau nak tahu saya bukanlah seorang gym person. Namun saya pastikan mendapat tidur dan rehat secukupnya setiap hari. Manakala aktiviti hujung minggu pula semestinya riding bersama rakan-rakan mahupun suami agar sentiasa cergas dan dapat keluarkan peluh secara sihat.”

Kredit Foto: Instagram Nurul Alis Aidil Akhbar

Share
Published by
Amy Mohd