Mewahnya bilik tidur anak Anzalna Nasir dan suami, Hanif Zaki. Berbeza daripada warna cliche bayi lelaki yang selama ini sinonim dengan rona biru, pasangan romantis ini memilih tona kelabu sebagai hiasan ruang tidur bakal cahaya mata mereka sekaligus menyerlahkan sisi mewah dan tenang. Iya, bukan anak yang bakal lahir itu nanti saja rasa tenang… bahkan bakal ibu ayah ini juga dapat selesakan diri dalam ruang tersebut biarpun terpaksa berjaga pada waktu malam!
Pada 25 April lalu, pelakon Anzalna Nasir dan suami merungkai teka-teki tentang gender anak mereka dalam satu majlis khas dan akhirnya mendedahkan bahawa mereka bakal menimang cahaya mata lelaki.
Menurut usahawan Anzel Hair ini lagi, sejak tahun 1993 keluarganya menunggu kehadiran cahaya mata atau cucu lelaki. Ini kerana Anzalna dikurniakan adik-beradik yang kesemuanya perempuan termasuk 3 anak saudaranya yang juga perempuan.
Berkongsi dekorasi dan video bilik tidur anak di media sosial, Anzalna yang nyata teruja menanti cahaya mata sulung turut memerah keringat menghasilkan lukisan sendiri sebagai perhiasan di bilik itu nanti. Kagum tengok hasil lukisan Anzalna. Memang berbakat!
Terbaru, menerusi entri yang dikongsikan jelitawan ini… Anzalna ada memuat naik video memaparkan keseluruhan bilik indah berkenaan. Dalam nada berseloroh, finalis Dewi Remaja ini berkata… “Kami sudah bersedia untuk berjaga malam Boss dan lakukan apa saja!”
Sejak mengetahui dirinya sudah berbadan dua, Anzalna sudah buat bermacam-macam perancangan untuk menyambut kehadiran ‘orang baru’ dan salah satu daripadanya ialah dengan menghasilkan kira-kira empat buah lukisan untuk dihias dalam bilik anak lelakinya nanti. Cukup sentimental dan penuh kasih sayang.
Demi merealisasikan impian untuk menyediakan ruang yang eksklusif, mewah dan selesa… Anzalna telah mendapatkan khidmat pereka hiasan dalaman, Aifurd Living.
Diserikan dengan perabot dan perhiasan kaca serta dua lampu tidur di sisi katil, dekorasi bilik turut menggabungkan warna putih dalam pemilihan cadar, langsing dan baby cot.
Ternyata, Anzalna mempunyai cita rasa yang tinggi dalam seni hiasan kediaman. Tampak lain daripada lain. Boleh dijadikan juga contoh dekorasi bilik untuk bayi bagi mereka yang bakal menimang cahaya mata.
Kredit: Instagram Anzalna Nasir