Tiga beradik ini sememangnya membanggakan kedua ibubapa mereka apabila berjaya memperolehi ijazah doktor falsafah (PhD) serentak di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) baru-baru ini.
Adik-beradik ini merupakan anak kepada pasangan bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) iaitu Dr Mohd Marsin Sanagi, bekas pensyarah Sains Kimia dan Pensyarah Sains Fizik, Dr Noriah Bidin.
Mengambil semangat ibu bapa yang berkelulusan doktor falsafah (PhD), tiga beradik ini nekad menyambung pengajian pada peringkat PhD sebelum sama-sama memahat kenangan indah pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Ke-66, semalam.
Faridah Mohd Marsin, 39; bersama dua adiknya, Jamilia, 36; dan Aishah, 32; berkongsi kegembiraan itu apabila hasrat menamatkan pengajian dan bergraduasi bersama-sama tercapai. Faridah yang juga anak sulung enam beradik berkata, ia majlis graduasi paling manis buat dia dan keluarga.
“Kami tidak pernah rasa segembira ini. Kami dapat sokongan ibu bapa dan merekalah inspirasi kami.
“Memang kami dah rancang harap-harap dapat konvo bersama. Memang kami ‘push’ (sokong) untuk sama-sama selesaikan tugasan Viva dan Alhamdulillah, akhirnya kami dapat tamatkan pengajian dan hari ini bergraduasi bersama-sama,” katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen di UTM Skudai di sini, hari ini.
Sementara itu, Jamilia pula berkata, sejak kecil mereka adik-beradik sentiasa menyokong antara satu sama lain bukan sahaja dalam soal pembelajaran, tetapi juga hal keluarga dan anak-anak.
“Kita memang ada berbalah dan berbeza pendapat kerana biasalah adik-beradik, bagaimanapun kami tetap akan menyokong antara satu sama lain.
“Tetapi, pendorong utama kami dalam menyambung pengajian sudah pasti ibu bapa kami yang penting ada minat dan kesungguhan untuk belajar,” kata anak kedua itu.
Ibu bapa tiga beradik itu, Dr Mohd Marsin Sanagi dan Dr Noriah Bidin, masing-masing pernah bertugas sebagai pensyarah Pensyarah Sains Kimia dan Pensyarah Sains Fizik di UTM Skudai, namun kedua-duanya sudah bersara.
Faridah mencapai PhD Kimia Analisis, Jamilia pula PhD Seni Bina, manakala Aishah berjaya dengan PhD Kejuruteraan Bioproses.
Bagi anak kelima, Aishah, cabaran mereka tiga beradik sepanjang pengajian apabila perlu menyeimbangkan masa antara belajar, keluarga dan kerjaya.
“Kami semua sudah berkeluarga dengan masing-masing mempunyai anak seramai tiga, empat dan lima orang. Tetapi, itulah cabaran kami apabila perlu menyeimbangkan kesemuanya antara belajar, keluarga dan bekerja.
“Kami perlu kuat semangat sebab kadang-kadang memang ada sampai tahap penat kerana banyak pengorbanan yang perlu dibuat, sebab itu perlunya sokongan keluarga,” katanya.
Tiga beradik itu antara 539 graduan yang menerima PhD dan Ijazah Sarjana pada sesi pagi majlis konvokesyen itu.
Sumber: Sinar Harian.