Rasanya seakan masih segar lagi pertemuan Nona dengan adik-beradik selebriti Neelofa sewaktu penggambaran cover depan, Januari lalu. Teringat salah satu impian kakaknya iaitu Noor Nabila mahu berusaha menimang cahaya mata sendiri tahun ini.
Tiga hari lepas, teka-teki peminat tentang berita kehamilannya terjawab apabila dia berkongsi gambar imbasan kandungannya di laman Instagram.
Nabila turut meluahkan rasa syukurnya dengan kehamilan tersebut yang dianggap sebagai anugerah terindah buatnya dan suami.
“Alhamdulillah berkat doa semua, kami dianugerahkan rezeki dan hadiah terindah dari Allah SWT. Doakan segala urusan kami dipermudahkan dan doakan baby sihat sempurna, insyaAllah,” tulisnya pada kapsyen.
Perkongsian tersebut telah menarik perhatian para pengikut di laman Instagramnya dan dihujani dengan ribuan ucapan tahniah dan doa.
Sementara itu, Sharnaaz juga turut mengesahkan perkara itu dan memberitahu sebab kenapa mereka mengambil masa untuk mengumumkan berita tersebut.
“Sebelum ini ramai yang bertanya, tetapi belum masanya untuk kami berkongsi kerana masih terlalu awal. Alhamdulillah, kandungan isteri baik membuatkan kami tidak mahu bertangguh lagi untuk berkongsi berita gembira ini,” katanya tentang kandungan isteri yang kini berusia tiga bulan.
Noor Nabila, 33, yang juga isteri kepada pelakon tampan, Sharnaaz Ahmad telah mendirikan rumah tangga pada 31 Mac 2017. Kakak kedua Neelofa ini juga merupakan Pengarah Urusan NH Prima International Sdn. Bhd. yang menerajui jenama popular, Naelofar. Tahniah Nabila!
Gejolak Palestin Kian Marak, 5 Wanita Muda Ini Lantang Pejuangkan ‘Nasib’ Rakyat Di Bumi Anbiya!
Saban tahun, berita pergolakkan negara Islam di Timur tengah iaitu Palestin seakan merupakan ‘acara tahunan’ yang menggemparkan seluruh umat Islam di seluruh dunia. Kita sering ‘dihidangkan’ dengan berita-berita mengenai rakyat Palestin yang sering ditindas.
Malah perperangan serta serangan terhadap negara di bumi anbiya berkenaan seolah tidak berkesudahan meskipun berkali gencatan senjata dilaksanakan, Palestin masih gagal temui kedamaian. Konflik antara Palestin dan Israel yang bermula sejak 1947 masih menjadi isu kemanusiaan yang belum berakhir sampai saat ini.
Lima aktivis yang terdiri daripada wanita-wanita muda ini punya keberanian terutama ketika berucap di persada antarabangsa. Selain aktif dalam bidang sosial, mereka juga lantang menyuarakan hak kebebasan demi membela nasib rakyat Palestin.
LEANNE MOHAMAD
Leanne Mohamad, 22, seorang aktivis hak asasi manusia dan penceramah awam dari London. Kerana kedua ibu bapanya berasal dari Palestin, Leanne mengambil pendirian tegas menentang pendudukan Israel di Palestin dan mempertahankan haknya untuk kembali ke tanah air suatu hari nanti.
Dia mula menjadi tumpuan pada usia 15 tahun dalam pertandingan pengucapan awam. Ketika itu, Leanne menyampaikan ucapan bertajuk “Burung Bukan Bom.” Dalam ucapan itu, Leanne mendedahkan kesedihan menjadi warga Palestin dan menyeru kebebasan untuk semua orang yang hidup di bawah penjajahan.
Bagaimanapun, ramai yang memberi respon yang negatif sehingga menyebabkan dia terkeluar daripada pertandingan itu. Namun, detik ini sebenarnya membuatkan ramai yang berminat. Ucapannya, yang menyampaikan mesej yang begitu kuat, menjadi tular.
Sejak dikenali, Leanne menggunakan pentas untuk berucap di pelbagai acara termasuk di hadapan lebih 200 ribu penunjuk perasaan di London. Leanne terus bercakap secara terbuka mengenai jenayah dan keganasan Israel terhadap rakyat Palestin.
LAILA EL-HADDAD
Seorang penulis Palestin dan penceramah awam dari Amerika Syarikat. Dilahirkan di Kuwait, Laila sering menghabiskan musim panasnya di Gaza. Selepas menamatkan pengajian dari Universiti Duke dan Harvard, Laila memutuskan untuk berpindah ke Gaza.
Laila mendedahkan masalah dihadapi rakyat Palestin setiap hari semasa bekerja sebagai wartawan Al-Jazeera di Gaza. Laila turut membuka akaun Twitter peribadinya @gazamom di mana dia berkongsi kisahnya membesarkan anak-anak di Gaza.
Selain menyiarkan resipi untuk makanan tradisional Palestin semasa tinggal di AS, Laila masih terus menyiarkan dan meningkatkan kesedaran orang lain tentang keadaan di Palestin, dan mengumpul wang untuk membantu mereka di bawah penjajahan Israel.
AHED TAMIMI
Sepupu Janna Jihad Ahed ini juga seorang aktivis muda dari Tebing Barat. Dia terkenal kerana mengambil bahagian dalam protes yang menyatakan bantahannya terhadap perluasan penempatan Israel. Berusia 22 tahun, dia dikenali sebagai pejuang kemerdekaan Palestin.
Ahed telah berulang kali mendapat populariti. Pertama, ketika dia berumur 11 tahun ketika cuba menghalang ibunya daripada ditangkap. Fotonya menjadi tular apabila dia melambai di hadapan seorang askar Israel ketika abangnya ditangkap. Sikapnya yang paling menonjol ialah apabila dia menampar seorang askar Israel pada 2017 yang membawa kepada penahanannya.
Ahed dikenali sebagai kuasa yang memberi tenaga kepada mereka yang telah dilemahkan oleh penempatan Israel selama beberapa dekad. Dia terus berusaha membawa perubahan kepada negaranya dengan ijazah undang-undang yang sedang diceburinya.
RANA NAZZAL HAMADEH
Merupakan artis dan aktivis Palestin-Kanada yang menggunakan fotografi serta pembikinan filem bagi menggambarkan perpindahan dan pembasmian di Tebing Barat Palestin.
Rana mengadakan pameran di Kanada untuk menunjukkan kepada orang-orang di Barat bagaimana kehidupan di Palestin dan hubungan mereka dengan tanah air.
Dia kerap turun ke jalan Ramallah untuk membantah kerajaan dan menyeru kemerdekaan Gaza.
JANNA JIHAD
Dilahirkan dan dibesarkan di Nabi Salih, sebuah kampung di Tebing Barat Palestin. Janna Jihad ialah seorang aktivis dan wartawan belia. Gadis berusia 17 tahun ini mendokumentasikan konflik selama beberapa tahun dengan cara yang tidak dilakukan oleh kebanyakan media. Dia juga memberikan pandangan yang tepat tentang tanah kelahirannya.
Pada usia tujuh tahun, Janna mula melaporkan konflik Palestin-Israel selepas melihat dua ahli keluarganya terbunuh. Dia merakam bantahan di kampungnya dan memuat naik rakaman itu dalam talian. Ia dilihat oleh lebih 300 ribu orang seluruh dunia.
Sejak beberapa tahun lalu, Janna telah mengembara ke negara-negara seperti Jordan, Turki dan Afrika Selatan untuk menyebarkan kesedaran tentang keganasan yang sedang berlaku di wilayah Palestin. Popularitinya yang semakin meningkat menyebabkan dia mendapat gelaran “Wartawan Termuda di Palestin”.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula. Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Sumber Foto: Instagram Janna Jihad, Leanne Mohamad, Gaza Mom, Ahed Tamimi & Rananazzalh
“Benda Boleh Diam, Kenapa Nak Kecoh?” Wakili Para Isteri Tersakiti, DR SAY SHAZRIL Tegur ‘Content’ Poligami Abang Tesla!
Isu apa yang kecoh dan sedang hangat diperkatakan kini? Sudah tentunya tentang poligami yang melibatkan kandungan yang dihasilkan oleh pempengaruh dan usahawan Abang Tesla.
Memandangkan isu poligami ini cukup sensitif, rata-rata ramai pengikut dan warga maya terkesan dengan kandungan yang direka, menganggap lelaki tersebut tidak peka dan sensitif dengan perasaan kaum wanita, terutama sekali seorang isteri.
Turut berkongsikan pandangannya tentang isu Abang Tesla ini ialah doktor selebriti, Dr Say Shazril yang sempat menegur Abang Tesla dan menganggap kandungan yang dikongsikan tidak matang dan tidak bijak.
“Saya mewakili persatuan wanita-wanita & isteri-isteri tersakiti terpanggil dengan kisah abang Tesla. Bila dicontentkan dirinya selesai solat & kahwin isteri kedua 3 jam lepas tu, apa yang bermain dalam pemikirannya eh?,” tulis ayah kepada dua orang cahaya mata ini.
Jelas Dr Say lagi, pemikiran Abang Tesla boleh dianggap cukup sempit jika kandungan video dimuatnaik yang menyatakan niatnya untuk berpoligami kepada isteri menerusi perbuatan solat berjemaah adalah bagi beroleh persetujuan dan restu isteri pertama.
“Kalau betullah niatnya “aku nak tunjuk kat suami luar sana aku melakukan act yang betul yakni memberitahu isteri pertamaku yang aku nak kawin lain berbanding suami-suami yang poligami belakang isteri pertama” well pikirannya sempit tersepit di situ. Tambahan bila netizen korek video lamanya belanja first wife kereta Mini, travel sana sini, dating acap kali kemudiannya paap berpoligami lagilah silap mencapap di situ.”
Tambah Dr Say lagi, “tambahan ayat bebal tebal “isteri pertama untuk dihargai & isteri kedua untuk dicintai” kalau dapat kat orang kampung nogori den direply mereka “apo p**d*knya ayat ekau jang?”. Ibarat habis madu sepah dibuang isteri pertama tu eh?
Tak pernah ke berfikir sejenak yang whatever you have now including Tesla tu berkat isteri pertama? Lepas tu mintak maaf kat para suami sebab buat isteri-isteri triggered. Isteriku relax je, tapi daku yang triggered dengan ketidakbijaksanaanmu. Buat content berpada-pada lah. Kalau nak famous congratulations memang satu Malaysia kenal dah cuma are u famous for the right reason?
“Saya tak menolak poligami sebab Islam tidak melarang mahupun mewajibkan poligami cuma apabila poligami “dicontentkan” sebegitu rupa dengan harapan untuk menormalisasikan poligami, to me its clearly wrong.
Benda boleh buat diam-diam kenapa nak kecoh-kecoh? Cukuplah family members, kenalan rapat, neighbourhood tahu, kenapa nak kecoh satu Malaysia? Walaupun daku tidak mengenalimu tapi dari short pengenalanku terhadapmu, kamu tewas dengan “kesetiaan lelaki diuji saat dia memiliki segalanya”. Next time buat content otak letak kat kepala bukan kat Tesla. Sekian dari Abang Jaguar,” akhiri Dr Say.
Melihat pada perkongsian Dr Say, rata-rata ramai bersetuju dengan pandangannya dan ada yang turut memberikan pandangan masing-masing tentang hal ini.
Untuk rekod, Dr Say dan Dr Azura melangsungkan perkahwinan 30 Mac 2014 dan dikurniakan dua orang cahaya mata lelaki. Dr Azura kini sedang hamil anak ketiga.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Zalimnya, Mayat Amah Pakistan Ini DIRENJAT ELEKTRIK & DICAMPAK Ke Longkang!
Tak berperikemanusiaan! Apalah dosa pembantu rumah Pakistan ini sampai si majikan sanggup meragut nyawa gadis tersebut dengan tangan sendiri. Sudahlah tak diberikan hak sebagai manusia dan dibiarkan kebuluran… tanpa rasa bersalah, dicampak pula mayat mangsa ke dalam longkang. Memang zalim!
Mula berkhidmat sebagai amah di rumah majikannya sejak lapan bulan lalu, fizikal Uzma Bibi yang hanya berusia 16 tahun berubah daripada seorang gadis yang ceria dan sihat… menjadi tak terurus, kurus kering dan lebam-lebam.
Memetik laporan sebuah televisyen Pakistan, insiden tersebut mendapat perhatian meluas masyarakat di sana dan dikhabarkan Uzma turut mengalami keretakan tulang akibat kerap dibelasah. Awal minggu ini, kepala gadis berkenaan mengalami kecederaan serius akibat hentakan objek tajam oleh majikannya.
Semuanya gara-gara Uzma mengambil sedikit makanan dari pinggan anak majikan. Aduh, tak luak pun kalau hanya ambil sedikit!
Rentetan hentakan itu mangsa tidak sedarkan diri. Lebih menyedihkan, walaupun keadaan Uzma cukup serius… namun majikannya tetap enggan membawa pembantu rumah ini ke hospital. Sebaliknya menggunakan renjatan elektrik dalam usaha ‘menghidupkannya’ kembali.
Sebuah lagi stesen televisyen, Dunya TV melaporkan Uzma turut dicekik dan mayatnya dicampak ke longkang. Mungkin kerana takut dan mahu menutup perbuatan jahatnya itu.
Hasil kerjasama masyarakat dan pihak berkuasa, tiga suspek wanita ditahan untuk membantu siasatan dan polis mengesahkan kesemua mereka mengaku melakukan penderaan tersebut ketika disoal siasat.
Satu persatu ‘kerja’ buruk mereka terbongkar apabila video memaparkan Uzma dalam keadaan tidak bermaya dipaksa makan, menjadi viral di media sosial. Susulan penularan berita dan video malang Uzma, ramai yang mendesak Perdana Menteri Pakistan campur tangan dan mahu ketiga-tiga suspek dijatuhi hukuman mati.
Moga si pelaku mendapat hukuman setimpal dan dengan penularannya kisah ini dapat membuka mata masyarakat supaya tidak sesekali menganiaya pembantu rumah hingga menjurus kepada kematian.