Wanita anggun yang memiliki semangat luar biasa ini bukan sahaja lambang wanita inspirasi bahkan seorang isteri, ibu dan anak yang serba membahagiakan. “Saya merupakan kanser survivor, sebab itu apabila saya melakukan kerja amal melalui Breast Cancer Foundation ia menjadi lebih bermakna dan saya faham serta kenal sangat masalah dan cabaran yang mereka hadapi.
Bercakap sahaja nampak mudah tetapi sukar untuk menyeimbangkan kehidupan sebagai pesakit, ibu, isteri, anak dan macam-macam peranan menjadi tanggungjawab pesakit kanser. Memang besar cabaran untuk menyeimbangkan kehidupan dan saya bersyukur kerana dengan ‘kurniaan’ ini saya benar-benar dapat mendalami hati dan perasaan pesakit kanser,” tutur Puan Sri Dato’ Azrene Abdullah.
Apabila diminta untuk mengulas tentang ramai wanita lain yang menjadikan Puan Sri Dato’ Azrene sebagai inspirasi kehidupan mereka, balasnya dengan nada tenang, “Kerana saya merupakan seorang survivor, secara tidak langsung komuniti kanser payudara ini begitu rapat dengan saya.
Apa sahaja yang saya lakukan adalah semata-mata untuk memperkasa dan menyuntik inspirasi kepada wanita agar bahagia dalam kehidupan walaupun setelah didiagnosis sebagai pesakit kanser. Itu adalah objektif saya.
Apa yang saya lakukan ini umpama telah ditetapkan oleh sang Pencipta dan meletakkan saya di dunia ini untuk melakukan kerja amal ini. I am happy to do it. Apabila melihat transformasi yang positif telah menguatkan semangat untuk terus berusaha memperkasakan pesakit kanser ini.
Apabila ramai wanita yang menganggap saya sebagai sumber inspirasi mereka ini menggalakkan saya untuk beri yang lebih dalam kerja amal begini. I will do this until I die, insyaallah,” terang isteri kepada Tan Sri Kamaludin Abdullah yang merupakan anak sulung bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi ini.
Sebagai Pengerusi Breast Cancer Fondation pula, “Terdapat banyak program yang telah dan bakal dianjurkan memperkasakan pesakit kanser ini bagi menyuntik inspirasi meneruskan kehidupan dan mengobarkan semangat bahawa masih ada sebuah kehidupan walaupun sudah didiagnosis sebagai pesakit kanser.
Melalui Breast Cancer Foundation ini saya dapat membantu ramai wanita. Saya gelar mereka breast cancer warriors. Ia merupakan suatu kepuasan diri untuk membantu mereka yang memerlukan. I become very passionate about breast cancer and I told myself that I would dedicate my life to help other cancer patient.
Anda tidak boleh merasai sendiri perasaan atau kepuasan mampu membantu pesakit kanser di tempat lain. Jika bukan melakukan kerja amal pasti tidak akan dapat merasai perasaan begini,” ungkap Puan Sri Dato Azrene.