Ibu kepada penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman buat pertama kalinya dilihat hadir ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu bagi memberi semangat kepada anak lelakinya itu, yang berdepan kes dadah.
Sebaik Yasin, 48, dibawa masuk ke kandang tertuduh, Suzanah Abdullah, 73, mendekati anaknya itu untuk bertanya khabar.
Sesekali dia membelai Yasin yang kelihatan semakin berisi selepas dirawat di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak pada Jun lalu.
Sementara itu, adik Yasin, Marwan Sulaiman, 31, berkata, walaupun kesihatan ibu tidak begitu baik, namun tetap hadir ke mahkamah kerana mahu memastikan pelantun lagu ‘Mimpi Laila’ tersebut berada dalam keadaan baik.
“Mengenangkan usianya melewati 70 tahun dan agak uzur, namun ibu selalu menziarahi Yasin di penjara dan ini kali pertama dia menjejakkan kaki di mahkamah,” katanya.
Pada 6 Julai tahun lalu, Muhammad Yasin bernasib baik apabila tidak berdepan peruntukan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 214 gram.
Ia selepas pendakwaan memaklumkan pertuduhan mengedar dadah ditarik balik dan penyanyi dituduh semula atas pertuduhan baharu iaitu memiliki dadah seberat 193.7 gram.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini jam 5.30 petang pada 24 Mac 2022 dan dituduh mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Sumber: Sinar Harian
This website uses cookies.