Nona berkongsi coretan yang pernah dibuat sewaktu arwah Datuk Wira Dr. Maznah Hamid masih bersama kita. Pemergiannya masih dirasai dan beliau di antara wanita inspirasi terbaik buat semua wanita Malaysia. Semoga arwah ditempatkan bersama orang-orang beriman di sana, amin.
==========================
Saya melontar kata ini untuk pembaca jadikannya sebagai inspirasi, motivasi dan kesedaran kepada semua. Jika saya boleh, anda semua boleh! Tidak kira anda anak penoreh getah, pesawah padi atau siapa sahaja dari mana asal usulnya, paling penting apa akhirnya… anda boleh menjadi diri sendiri!
Saya tidak mahu wanita merasa mudah tertindas, merana ikut emosi hingga hidup tidak teratur dan tidak bangun semula. Saya tidak mahu mereka mengalah dan harus bangun kembali berjuang supaya hidup ini dihadapi dengan kuat biarpun pelbagai cabaran. Kita perlu enjoy menikmati kehidupan dan hadapi cabaran untuk menjadi lebih kuat.
Saya orang kampung, bila ibu bapa bercerai saya dijaga oleh nenek sebagai cucu sulung. Saya juga dibesarkan dalam sawah bendang dalam suasana yang sememangnya tidak mengenali erti kekayaan atau kemewahan.
Tetapi mungkin bagi sesetengah manusia, keadaan begini akan membuatkannya menjadi lemah dan pasrah. Namun saya jadikan keadaan ini sebagai satu rahmat untuk bangun berjuang, kebal dan never say die attitude akhirnya.
Dahulunya saya seorang yang sensitif, takut, pemalu dan tidak bijaksana. Saya seorang gadis biasa dengan kebiasaannya. Tetapi saya berikrar tidak mahu jadi sebegitu selamanya. Saya ingin mencipta 3K… kejayaan, kekayaan dan kesenangan.
Itulah yang saya rasa perlu ubah segala-galanya. Saya keluar dari kepompong tersebut, lalu menjelajah dunia untuk belajar untuk memperoleh pelbagai ilmu bagi mencapai kejayaan.
Pada peringkat permulaan saya mula berniaga di awal 80-an, saya gagal untuk mendapat sebarang bantuan kewangan kerana saya seorang wanita. Kata mereka, “Maznah, you salah pilih bidang! Perempuan mana boleh buat perniagaan yang melibatkan senjata api dan sebagainya. Ini bukan mainan wanita, lelaki sahaja boleh berjaya.
Tetapi saya berdoa kepada Allah untuk memberi kekuatan kerana saya ingin buktikan kemampuan untuk melakukannya. Kerana saya percaya wanita seperti saya mempunyai nilai kejujuran, kepercayaan dan amanah yang tinggi. Inilah asas paling utama dalam pelaksanaan apa sahaja bidang perniagaan sekalipun selain daripada kuat untuk menghadapi cabaran.
Perniagaan saya ini melibatkan mereka yang ternama dan kaya raya, menjaga keselamatan secara menyeluruh. Bukan mudah untuk melalui semua keadaan ini… tapi saya boleh berjaya daripada lelaki. Wanita kadang-kadang tidak faham keistimewaan dan keunikan yang Tuhan berikan. Kekuatan dalaman yang diberikan tidak digunakan dan diperkuatkan.
Wanita hanya melihat dia lemah fizikal atau beremosi mengikut perasaan, seharusnya wanita perlu cabar untuk menghadapi pelbagai cabaran di abad ke-21 ini. Seperti saya, saya ingin menjadi wanita luar biasa, tidak mahu sama sekali dikatakan lemah, putus asa, ‘mandom’ dan ‘loy’ – loghat bahasa orang utara Kedah.
‘The best man for the job is a woman’ kata-kata ini setiap pagi saya baca. Ini kerana perniagaan utama saya ialah keselamatan, senjata api, kereta kebal dan monitor dengan penggunaan sistem teknologi terkini. Jadi orang ingat wanita hanya sesuai buat perniagaan tradisi seperti memasak, mengandam, menjahit dan sebagainya.
Saya ingin menjadi seorang yang luar biasa. Lelaki yang berada dalam dunia kerjaya wanita, akan menjadi hebat dan begitu juga wanita apabila berada dalam dunia lelaki, dia akan menjadi perkasa dan bertambah powerful. Jadi wahai wanita, keluarlah daripada bidang tradisi mu.
Saya bersyukur kepada Allah SWT telah mengubah keperibadian saya dahulu menjadi wanita perkasa disebabkan perniagaan saya ini. Sekarang karakter berani dengan kekuatan dalaman yang kuat, mempunyai personaliti yang tidak mudah ‘terancam’ tetapi ‘mengancam’. Tidak mudah tergugat tetapi menggugat.
Walau bagaimanapun, ciri-ciri perubahan ini bukanlah sesuatu perkara yang mudah untuk dicapai. Ia tidak datang bergolek begitu sahaja, ia memerlukan latihan demi latihan, mengharungi pelbagai cabaran dan godaan yang tidak henti tanpa noktahnya.
Sebab itu saya percaya kalau kail panjang sejengkal jangan lautan hendak diduga. Kita haruslah berupaya untuk membuat persediaan yang rapi untuk mempunyai keupayaan mengharungi segala-galanya.
Namun saya tidak menafikan, sebagai wanita biasa, saya juga tidak terlepas untuk meluahkan perasaan sedih dengan menangis. Tetapi saya melatih diri saya untuk jangan menangis seperti dahulu, kecuali untuk perkara yang membantu saya. Suami dan anak-anak saya, kalau saya menangis semua akan menjadi takut kerana saya jarang menangis.
Tetapi kadangkala saya menangis mungkin kerana saya gembira bukan kecewa. Andai kata musibah berlaku dan kalau saya ingin menangis, saya akan masuk bilik kecil dan menangis sekurang-kurangnya sejam. Selepas itu saya akan menarik nafas dan memohon pada Tuhan untuk memberi saya kekuatan dan keluar untuk menghadapi cabaran dunia ini.
Jelas untuk menjadi wanita perkasa bukan mudah sebenarnya. Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana memberikan saya seorang suami terbaik, life partner, business partner and sleeping partner yang cukup memahami serta menghormati keistimewaan serta keunikan saya.
Dan alhamdulillah, saya kini mengecap segala keseimbangan ini. Saya bersyukur perjalanan hidup saya sempurna sebagai seorang wanita, isteri, ibu dan nenda yang terbaik… Dan kini saya ingin kembalikan segala-galanya kepada masyarakat untuk berjaya bersama. KR
DATUK WIRA DR. MAZNAH HAMID