Sifat ibu yang penyayang kebiasaannya membuatkan anak-anak lebih rapat dan selesa meluahkan perasaan berbanding dengan ayahnya. Tapi menurut penceramah motivasi Siti Aminah Sulaiman, peranan ayah sebenarnya sangat penting dan berkesan untuk emosi mereka, malah ini turut diceritakan dalam kitab suci Al-Quran. Jom baca perkongsian bermakna ini!
Selama ni saya fikir kerja orang lelaki hanya cari nafkah untuk beri anak bini makan dan pakai. Tapi rupanya saya silap.
Dialog yang dirakam dalam Al-Quran telah mengubah persepsi saya mengenai tugas seorang ayah. Sebenarnya 14 dialog antara ayah dan anak telah dirakam dalam pelbagai surah dalam kitab suci ini.
Antaranya dialog antara Nabi Yusuf dan ayahnya Yaakub, Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail, Nabi Nuh dan anaknya serta nasihat Luqman.
Segala puji hanya bagi Allah kerana melalui Al-Quran kita dapat belajar ilmu parenting yang sangat berharga. Pasti ada sebab mengapa dialog ayah-anak ini dirakam!
==================
Power sangat ke kata-kata seorang ayah pada anak?
Kajian dari King College London dan Universiti Oxford mengatakan bahawa anak yang mempunyai hubungan akrab dan sentiasa berinteraksi dengan ayah akan kurang risiko untuk mempunyai masalah tingkah laku apabila dewasa.
Al-Quran dan kajian terkini sudah membuktikan powernya kata-kata seorang ayah. Tapi bila nak nasihatkan anak mesti tahu SENI BERBICARA.
Barulah sampai direct nasihat yang diberikan, ibarat panah dilepaskan terus sampai ke hati anak! Ini antara tip seni bicara ayah-anak yang sangat berkesan dirakam dari Al-Quran:
(a) Ayah perlu ‘kamceng’ dulu dengan anak
Rapatnya Nabi Yusuf a.s dengan ayahnya Nabi Yaakub a.s hingga Nabi Yusuf terus datang pada ayahnya untuk ceritakan mimpinya. (Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya:
“Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku”. (Surah Yusuf: 4)
Ini menunjukkan Yusuf ada special connection dengan bapanya Yaakub. Jarang sebenarnya anak nak bercerita pada ayahnya apa-apa yang dialami, biasanya mak tempat anak mengadu segala masalah.
Seorang ayah perlu RAPAT dengan anak hingga menjadi tempat pilihan untuk anaknya mengadu masalah dan luahan hati. Luangkan Quality Time hanya anak dan ayah saja yang terlibat. Walaupun untuk masa yang pendek tapi impaknya pasti luar biasa.
(b) Ayah perlu kenal hati budi anaknya
Jawapan Nabi Yaakub dalam Surah Yusuf juga sangat mengejutkan saya. Nabi Yaakub menasihati Yusuf supaya jangan sesekali ceritakan mimpinya kepada abang-abangnya.
Kerana Yaakub sangat KENAL HATI BUDI anak-anaknya yang mempunyai perasaan hasad kepada Yusuf. Bapanya (Yaakub) berkata:
“Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia.”
(Surah Yusuf: 5)
Sayangnya berapa ramai ayah zaman sekarang yang masih kenal hati budi anak-anaknya? Biasanya emak yang lebih kenal anak. Sebab itu ayah perlu memainkan peranan dan rapat dengan anak hingga kenal siapa anaknya dan apa masalah anak. Barulah nasihat yang diberikan efektif dan berkesan ikut situasi serta masalah anak.
(c) Tidak akan jatuh EGO/MACHO seorang ayah apabila panggil anak dengan penuh kasih
Lihat bagaimana Al-Quran merakam dialog para Nabi atau insan pilihan (Luqman) dalam al Quran. Mereka memanggil anaknya dengan panggilan penuh kasih seperti “Wahai Anakku” (Ya Bunayya).
Mereka tidak memanggil dengan nama seperti ‘Wahai Yusuf’ atau ‘Wahai Ismail’. MasyaAllah. Bila telusuri nasihat ayah ini hampir saya mengalir air mata kerana dapat saya rasakan perasaan kasih ayah bila menasihati anaknya.
Tidak akan jatuh macho seorang ayah apabila panggil anaknya dengan penuh kasih seperti ‘sayangku.. anakku.. anak ayah..” Panggilan ini mampu melembutkan hati anak bila waktu kita ingin menasihati mereka.
(d) Nasihati anak dengan emosi yang terkawal
Ini perkara yang sangat penting. Tanpa kawalan emosi kita akan mudah menghamburkan kata-kata yang tidak enak didengar. Saya perasan suami saya mempunyai kawalan emosi yang lebih baik apabila tegur kesilapan anak dan saya percaya orang lelaki lebih hebat kawalan emosi berbanding perempuan.
Kalau kita lihat pada nasihat Luqman dalam Al-Quran menunjukkan Luqman seorang yang sangat terkawal emosinya. Kupasan Ibrah Surah Luqman dari Ustaz Syaari menceritakan bahawa Luqman hidup pada zaman jahiliyah (banyak persamaan dengan zaman Nabi Muhammad SAW).
Dia tetap meneruskan nasihat yang baik kepada anaknya tanpa terkesan dengan keadaan masyarakat sekeliling. Luqman tidak menyerahkan remote control emosinya pada orang lain.
(e) Bukan hasil yang Allah pandang, tapi USAHA kita dalam mendidik
Ini apply untuk kedua mak dan ayah. Jika hari ini kita nasihati anak tetapi mereka tetap tidak berubah, jangan kecewa. Jangan label anak ‘tiada harapan’ atau ‘tak guna’.
Lihatlah bagaimana Luqman tetap teguh menasihati anaknya, walaupun ada pendapat yang mengatakan anaknya non-muslim. Lihat bagaimana Nabi Nuh berkali-kali dakwah pada anaknya yang akhirnya anak itu mati dalam keadaan kafir.
Si ayah tetap tidak berputus asa kerana beliau sedar Allah tidak pandang pada hasil atau natijah. Tetapi Allah lihat bagaimana USAHA kita konsisten menasihati anak kita dengan hikmah, sabar dan kasih sayang.
==================
Saya doakan setiap yang membaca post panjang ini dikurniakan HIKMAH dalam mendidik anak-anak. Mendidik anak bukan sesuatu yang mudah. Bukan kerja dalam sehari saja. Mohonlah kekuatan dari Allah kerana kita tidak akan mampu untuk amalkan ilmu tanpa petunjuk dari-Nya.
Sumber: Facebook Siti Aminah Sulaiman