Sebagaimana yang diketahui tiga jenis vaksin iaitu Vaksin Covid-19 mRNA keluaran Pfizer-BioNtech, Vaksin Covid-19 viral vector keluaran AstraZeneca dan Vaksin Covid-19 inactivated keluaran Sinovac ini digunakan di negara kita.
Namun, mengapa harga satu dos vaksin AstraZeneca jauh lebih murah berbanding dengan vaksin Moderna atau Pfizer. Jawapannya ada pada saintis di sebalik penemuan vaksin Astrazeneca ini.
Profesor Sarah Catherine Gilbert yang merupakan seorang ahli vaksinologi dari Jenner Institute & Nuffield Department of Clinical Medicine, Oxford University ini sepatutnya boleh kaya-raya dengan meraih keuntungan lumayan atas usahanya.
Ini kerana Profesor Sarah menjadi individu mencipta vaksin AstraZeneca yang digunakan secara meluas di seluruh di dunia. Namun, wanita ini telah menolak untuk mematenkan vaksin berkenaan apatah lagi meraih royalti atas usaha kerasnya.
“Saya tidak mahu mengambil hak paten penuh kerana mahu berkongsi intelektual. Sesiapapun boleh membuat vaksin mereka sendiri demi mengatasi pandemik ini,” katanya kepada Reuters.
Kemuliaan hati milik wanita yang berusia 59 tahun ini mendapat perhatian dunia. Malah, Profesor Sarah telah dianugerahkan gelaran Dame Commander of the Most Excellent Order of the British Empire daripada Kerajaan England atas jasanya dan kebaikan hatinya.
Portfolio Mattel, francais ikonik Barbie juga telah mengangkat Profesor Sarah sebagai Suri Teladan buat kanak-kanak. Barbie telah menghargai jasa petugas hadapan dengan membariskan 6 wakil fronliner seluruh negara termasuk saintis hebat ini.
Wajahnya telah diabadikan sebagai salah satu patung ikonik Barbie. Mungkin nanti akan ada kanak-kanak yang bercita-cita untuk menjadi wanita hebat seperti Profesor Sarah ini.
Profesor Sarah berasal dari Northamptonshire, England dan meraih gelaran sarjana ilmu biologi dari University of East Anglia. Setelah itu melanjutkan pelajaran ke peringkat doktor falsafah di Universiti Hull dengan memfokuskan terhadap kajian genetik dan biokimia Rhodosporidium toruliodes.
Sepanjang kariernya, Profesor Sarah banyak melibatkan diri dalam menghasilkan pelbagai vaksin yang berbeza termasuk malaria dan MERS.